Syukur pada Allah
swt kerana pada malam tadi saya dapat berbuka puasa secara berjemaah bersama
DYMM Sultan Sharifudin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan di Kolej
Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Baginda sudi untuk mencemar duli
bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar KUIS dan penduduk
di sekitar Bangi dan juga Hulu Langat.
Majlis yang bermula
pada jam 6.30 petang itu dimulakan dengan penyampaian bantuan raya kepada asnaf
miskin, fisabillah (untuk pelajar), dan juga untuk mualaf (saudara baru yang
memeluk Islam). Saya kurang pasti berapa orang yang menerima bantuan tersebut.
Daripada pemerhatian saya, jumlahnya agak ramai termasuklah muallaf. Lebih
daripada 30 orang muallaf hadir untuk menerima bantuan tersebut.
Turut hadir
mengiringi Sultan Selangor ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid bin Ibrahim
dan juga Exco Agama YB Dato’ Dr Hasan bin Haji Ali. Kelihatan juga YB Adun
Bangi, Dr Syafie turut serta ke program tersebut. Dato’ Mufti tiba lebih awal
kerana saya bertemu dengan beliau sedang membaca Al Quran di dalam masjid
sebelum jam 6 petang lagi. Nampaknya beliau menggunakan masa yang terluang untuk
menunggu DYMM Sultan tiba dengan membaca Al Quran. Pada fikiran saya, Dato’
Mufti ada target untuk menghabiskan bacaan Al Quran beliau ada hari itu.
Mungkin satu juzuk satu hari atau lebih daripada itu.
Apa yang saya ingin highlight
di sini ialah bantuan kepada asnaf muallaf. Jika sebelum ini saya menghadiri
program di Negeri Sembilan, saya tidak nampak bantuan kepada muallaf (mungkin
pada sesi lain), tetapi pada hari ini saya lihat ada bantuan yang disampaikan
kepada asnaf tersebut.
Tujuan utama bantuan
zakat kepada asnaf muallaf adalah untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam.
Mereka merasa diri mereka dibantu apabila mereka sanggup berkorban meninggalkan
agama nenek moyang mereka dan berhijrah kepada Islam. Pengorbanan mereka patut
dihargai. Islam begitu teliti dalam pengagihan zakat. Inilah cantiknya Islam.
Kalau orang kafir dikenakan cukai, orang Islam dikenakan zakat. Zakat pula
adalah dana terbesar bagi membantu asnaf yang layak menerimanya. Jika tidak
layak, mereka tidak pula digelar asnaf.
Pada pandangan saya,
usaha untuk membantu asnaf ini adalah tugas yang sangat besar. Bukannya hanya
dengan menyampaikan bantuan zakat sahaja bahkan lebih daripada itu. Muallaf ini
perlu dibimibng agar mereka tidak kembali semula kepada agama asal mereka
setelah mendapat taufik hidayat daripada Allah swt. Saya perhatikan kesedaran
ini masih kurang di kalangan masyarakat kita untuk melakukan tugas-tugas murni
ini. Kita serah bulat-bulat pada PERKIM dan badan-badan NGO yang lain.
Saya fikir ada
baiknya jika setiap ketua masyarakat atau imam di sesuatu qaryah mengambil
tanggungjwab ini. Mereka sebenarnya lebih dekat dengan muallaf ini. Mereka
lebih tahu hal ehwal berkenaan muallaf ini. Tugas ini juga boleh dibantu oleh
AJK masjid yang lain. Jadikan agenda untuk membimbing muallaf ini sebahagian
daripada tugasan masjid. Barulah masjid berperanan lebih luas lagi tidak hanya
untuk melaksanakan solat berjemaah sahaja, atau ceramah agama sekali sekala.
Jika kita tahu
ganjaran dan saham yang besar untuk membimbing muallaf ini, sudah tentu kita
akan berebut-rebut untuk mendapatkannya. Cuba kita bayangkan jika muallaf ini
mengamalkan apa yang kita ajar kepada mereka dan juga mengajarnya pula pada
anak-anak dan isteri mereka, Subhanallah! Besar ganjarannya. Kita akan dapat
pahala sebagaimana melakukan amalan tersebut tanpa mengurangi pahala pelaku
amalan tersebut. Inilah perniagaan yang tidak akan rugi!
Semua peniaga tidak
ingin rugi. Inilah saatnya untuk kita menggunakan peluang umur dan masa kita
sebagai modal untuk menjalankan perniagaan ini. Perniagaan untuk mendekatkan
manusia kepada Allah. Perniagaan untuk mengenalkan makhluk kepada Penciptanya
iaitu Allah swt. Pulangannya bersifat kekal dan dibayar di akhirat kelak.
Perniagaan yang membawa pulangannya yang berlipat kali ganda. Tidak berebutkah
kita? Firman Allah swt:
Maksudnya :
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan
amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang
Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(Fushshilat: 33)
Jelas di sini bahawa
tiada perkataan yang lebih baik daripada mengajak manusia kepada Allah.
Mengajak manusia agar kenal kepada Penciptanya.
Mudah-mudahan Allah
swt pilih kita dan ahli keluarga kita untuk melaksanakan kerja ini. Kerja
mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran.
Iaitu kerja nabi-nabi yang telah diutuskan oleh Allah swt sebelum ini. Kerja
yang sangat mulia di sisi Allah swt. Kerja inilah yang saya maksudkan perniagaan
yang tidak akan rugi bahkan mendapat untung yang besar di sisi Allah swt. Kalau
keuntungan dunia yang sementara kita berebut-rebut di antara satu sama lain,
oleh itu keuntungan akhirat yang bersifat kekal sepatutnya kita lebihkan lagi.
Saya menyeru agar kita semua menyahut cabaran ini, cabaran menjadi peniaga yang
ulung, penyebar agama Allah di muka bumi ini. Amin.
Tanggal 19 Ramadhan 1432H bersamaan 19 Ogos 2011
Tanggal 19 Ramadhan 1432H bersamaan 19 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment