“Pakcik pencen masa umur
berapa tahun?”, tanya saya pada seorang Pakcik. “Ketika genap umur pakcik 56
tahun.” Jawab Pakcik tersebut ikhlas.
Kenapa awal sangat Pakcik,
Pakcik kan muda lagi?” tanya saya lagi untuk mengetahui lebih lanjut. Jawabnya,
“Banyak masalah kalau Pakcik teruskan lagi servis”. Pakcik tersebut mula
bercerita lanjut. Saya cuba pasang telinga dan cuba untuk faham kata-kata
Pakcik tersebut.
Itulah di antara
perbualan saya dengan seorang pakcik yang baru sahaja pencen pada usia 56
tahun. Alasannya jelas sekali mengapa beliau pilih untuk pencen awal. Padahal
beliau boleh memilih option 58 tahun
untuk pencen.
Menurut beliau, banyak
sangat benda yang tak betul! Banyak tuntutan palsu, banyak curi tulang dan
pelbagai lagi. Contohnya tuntutan kerja lebih masa, tuntutan perbatuan apabila out station dan juga tuntutan
penginapan/hotel. Katanya, kalau dia tak claim,
kawan-kawan yang lain akan pulaukan dia. Kalau dia tidak membuat tuntutan
kerana tidak out station atau tidak tidur
di hotel, kawan-kawan yang lain akan marah dia. Ini kerana telah menjadi trend untuk membuat tuntutan walaupun
tidak layak atau tidak sepatutnya dituntut. Menurutnya lagi, sebahagian mereka
boleh ‘membeli’ resit hotel dengan mudah sekali untuk tujuan claim. Terkejut saya mendengarnya!
Pengalaman saya begitu
berbeza. Saya tidak pernah buat kerja seperti ini. Saya claim mengikut apa yang
telah saya buat. Kalau saya tidur di hotel, maka saya claim hotel. Pengalaman
saya mengesahkan tuntutan kakitangan fakulti dulu, rasanya tiada kes tipu
resit. Tak tahulah saya jika ada staf yang melakukannya! Saya bersangka baik
dengan mereka. Saya pernah meminta mereka betulkan borang tuntutan atau isi
semula borang baru jika berlaku kesilapan yang besar dan ketara tetapi tiada
kes tipu resit!
Cerita pakcik tersebut
menyebabkan saya terfikir, buat yang betul pun dianggap salah? Benar, dianggap
salah apabila dilihat dari kaca mata orang yang salah. Orang yang selalu buat
salah akan merasa kesalahan itu sebagai satu kebiasaan. Apabila sesuatu itu
menjadi kebiasaan, ia akan dirasai benar. Tindakan mereka dirasakan betul! Bagi
orang lain yang tidak pernah melakukannya, mereka akan merasakan ini sebagai
satu kesalahan! Makan rezeki haram.
Sebagai contoh, orang
yang selalu datang lambat ke pejabat akan merasakan seperti satu keanehan
apabila datang awal ke pejabat. Hari-hari Ali datang ke pejabat jam 9.00 pagi.
Tiba-tiba pada suatu hari dia terpaksa datang awal kerana ada perkara yang
perlu diselesaikan. Semua pekerja lain
akan memandang dengan penuh tanda tanya kenapa En Ali datang awal ke pejabat
hari ini. Sedangkan waktu pejabat yang sebenarnya adalah pada jam 8.00 pagi
hingga 5.00 petang. Adakah En Ali salah untuk datang ke pejabat seawal jam
8.00pagi? Jawapannya sama sekali TIDAK SALAH. Yang salahnya ialah apabila beliau
datang lambat.
Seorang lelaki yang
akhil baligh, sepatutnya solat fardhu lima waktu di masjid atau di tempat azan
dilaungkan. Tetapi En Abu selalu solat di rumah. Tiba—tiba, suatu hari dia
pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Tentunya jemaah masjid yang lain akan
menjeling beliau. Tidakkah begitu? Inilah apabila amalan yang BETUL tidak
dilaksanakan dengan cara yang betul.
Satu kesalahan akan
menjadi satu kebiasaan apabila selalu dilakukan. Apabila ramai orang
melakukannya ia menjadi satu budaya dan budaya ini dianggap sebagai betul dan
diterima ramai pula. Bersalam-salaman antara bukan mahram misalnya. Dari
pemimpin besar negara hinggalahlah ke rakyat jelata melakukannya, ia dianggap
sebagai sesuatu yang betul. Saya lihat amalan bersalam-salaman (berjabat
tangan) ini lebih ketara lagi apabila ziarah menziarahi di hari raya. Dulu saya
ada seorang sepupu perempuan. Sepupu perempuan saya bersalam dengan semua
orang, termasuk lelaki yang bukan mahram ketika ziarah menziarahi. Perbuatannya
tersebut menyebabakan dia dianggap seolah-olah seorang yang sopan dan baik.
Pakcik dan makcik saya merasa bangga kerana anaknya menghormati orang tua. Tapi
sebenarnya, menurut Islam, perbuatan itu nyata SALAH sama sekali.
Bukannya mudah untuk
mengubah amalan SALAH yang telah menjadi budaya dan dianggap BETUL dalam
masyarakat. Ia adalah satu cabaran besar. Perjuangannya memerlukan kita bersedia
menghadapi tribulasi-tribulasi serta ranjau dan liku yang penuh berduri.
Kata-kata kesat dan nista mungkin akan hinggap ke gegendang telinga lantaran
masyarakat yang tidak faham apatah lagi untuk cuba memahaminya. Berdoalah
kepada Allah agar kita dan mereka dikurniakan kefahaman Islam yang sebenarnya.
Maaf dan sabar kerana mereka tidak faham agama dengan erti kata yang
sebenarnya. Kita sendiri pun sebenarnya juga banyak kekurangan.
Saya tertarik apabila
membaca buku “Akhirnya Kutemui Cinta-Mu.. Lalu Aku Pun Memeluk Islam”, terbitan
Utusan Karya Sdn Bhd. Ada di kalangan masyarakat bukan Islam memandang serong terhadap
Islam kerana amalan orang Islam itu sendiri yang tidak faham agamanya. Amalan
orang Islam yang bercanggah dengan kehendak agama. Bagaimana kita ingin
berdakwah kepada orang bukan Islam, sedangkan ramai lagi orang Islam ‘baka’
yang masih tidak faham Islam? Islam hanya pada nama. Dari segi praktikal dan
amalanya sama seperti orang bukan Islam. Orang bukan Islam fikir, apabila masuk
Islam, maka mereka perlu tukar nama kepada Melayu. Oleh itu, apabila masuk
Islam bererti masuk Melayu. Itulah fahaman orang bukan Islam di negara ini.
Mereka tidak ingin menukar identiti bangsa mereka.
Sebenarnya ajaran Islam
jauh berbeza daripada tanggapan dan persepsi mereka. Mereka keliru di antara
orang Melayu dan orang Islam. Sebabnya, ada sesetengah orang Melayu tidak
seperti orang Islam. Mereka keliru juga adakah Islam itu Melayu, atau Melayu itu
Islam? Pada pandangan saya, jawapannya mudah sahaja, Islam itu Islam! Melayu
itu Melayu! Islam itu untuk semua kaum, bangsa dan puak! Islam itu bukannya
untuk Melayu SAHAJA!
Yang salah itu tetap
salah!
Katakanlah kebenaran
walaupun ianya pahit!
No comments:
Post a Comment