Pengalaman menjadi ketua
di sesebuah organisasi menjadikan kita tidak terlepas daripada menghadapi
kerenah kakitangan bawahan, makin ramai kakitangan, makin banyak ragam. Walaupun
rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Itu hakikatnya insan yang bernama
manusia.
Itulah cabaran sebagai
ketua di dalam organisasi kecil seperti sebuah fakulti, selepas mengetuai
sebuah keluarga. Cabarannya masih tetap sama, bagaimana ingin menegur
kakitangan bawahan dengan cara berhikmah.
Perkataan ‘hikmah’ mudah
disebut tapi sukar untuk dipraktikkan. Ada yang fikir hikmah itu hanya berlemah
lembut. Tidak kurang pula yang fikir
hikmah itu jika buruk dibalas buruk, seperti hukum qisas, bunuh dibalas dengan
bunuh, pukul dibalas dengan pukul dan seumpamanya. Justeru, orang yang berkasar
dalam percakapan perlu ditegur dengan teguran yang kasar juga?
Samakah kita?
Adakah wajar jika kawan
kita bercakap kasar dengan kita, maka kita juga bercakap kasar dengan mereka?
Adakah itu dinamakan hikmah? Atau mungkin itukah dinamakan keadilan? Kalau kita
pun buat sama sebagaimana mereka buat, sebenarnya kita tiada beza dengan
mereka, bukan? Ramai daripada kita menuntut keadilan tetapi tidak pernah terfikir
untuk memberi keadilan. Masyarakat hari ini sibuk menuntut hak mereka tapi lupa
bagaimana untuk memberi hak? Orang yang memberi sebenarnya jauh lebih mulia
disisi Allah swt berbanding dengan orang yang meminta-minta.
Jangan Terus Percaya
Sebagai ketua, sama ada
ketua keluarga atau ketua organisasi, kita jangan cepat percaya cakap-cakap
orang. Sebaliknya, kita perlu periksa terlebih dahulu. Kita perlu siasat. Kita
sendiri yang lakukan siasatan bukannnya menggunakan orang lain. Jangan terus
percaya apa yang kita dapat apatah lagi jika datangnya daripada satu sumber
sahaja. Cuba dapatkan maklumat daripada sumber yang lain juga. Sebagai contoh, cuba
kita teliti cerita di bawah.
Musa
dan Ahmad bekerja di syarikat A. Musa sangat iri hati pada Ahmad. Ahmad selalu mendapat
pujian, anugerah dan sebagainya daripada majikan dan juga pelanggan syarikat.
Ini kerana sikap Ahmad yang mudah mesra dengan pelanggan. Ahmad juga seorang
yang rajin.
Berbeza
pula dengan Musa. Musa seorang yang pemalas, selalu curi tulang. Dia cuba
berusaha untuk menjatuhkan Ahmad. Suatu hari, Musa mempunyai suatu idea
bagaimana untuk kenakan Ahmad. Dia telah menyebarkan satu fitnah tentang Ahmad
yang dikatakan mempunyai perempuan simpanan. Semua rakan sepejabat dengan Ahmad
memandang serong dengan Ahmad.
Tindakan Anda
Sebagai ketua, apakah
tindakan anda? Pertama, anda mungkin akan memecat Ahmad kerana dikatakan telah
mencemar nama baik syarikat. Kedua, anda mungkin tidak terlalu zalim, iaitu
anda memberi pilihan sama ada untuk dia mengambil cuti tanpa gaji atau anda
akan menggantungkannya daripada hadir bekerja dalam tempoh masa yang tertentu.
Ketiga, anda menyiasat terlebih dahulu perkara tersebut dan meminta penjelasan
daripada Ahmad tentang kebenaran khabar angin tersebut.
Islam cukup adil dalam
menangani isu ini. Sebagai majikan yang beragama Islam, maruah seorang Islam
perlu dijaga. Ahmad sepatutnya diberi ruang untuk membela diri. Cuba bayangkan
jika kita berada di tempat Ahmad. Tentunya kita juga meminta agar diberi peluang
untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Berani kerana benar!
Jika Ahmad bersalah, mungkin Ahmad sendiri akan meletakkan jawatan atau
‘menghilangkan’ diri atau ‘ghaib’ daripada syarikat kerana malu dengan
kawan-kawan. Tetapi jika Ahmad cuba mempertahankan dirinya yang beliau
dianiaya, ada baiknya jika kita bersangka baik. Ahmad mungkin terlepas di dunia
ini tetapi tidak sekali-kali di akhirat sana.
Saya tertarik bagaimana
seorang wanita yang telah berzina menemui Rasulullah SAW. Wanita tersebut
datang menyerah diri kepada Rasulullah untuk dihukum. Padahal jika beliau tidak
mengadu pada Rasulallah tentunya dia tidak dihukum. Oleh kerana wanita tersebut
seorang yang beriman dan percaya pada janji-janji Allah, beliau sanggup untuk
dihukum di dunia ini agar bebas di akhirat sana. Beliau tidak ingin bebas di
dunia ini tapi dibelenggu dengan hukuman yang lagi berat di akhirat sana. Bijak
pilihan wanita tersebut. Bijaksana! Bukan bijak sini!
Selepas hukuman
dilaksanakan, dikatakan bahawa Khalid ibnu Walid begitu benci dengan wanita
tersebut lalu membaling sesuatu ke arah wanita tersebut. Rasulullah SAW menegur
Khalid. Wanita itu telah diampun oleh Allah swt atas ketelanjurannya. Apa yang
menarik, Rasulullah saw tidak menanyakan siapa lelaki yang telah berzina dengan
perempuan tersebut. Tentunya lelaki tersebut bebas dan mungkin juga telah
bertaubat pada Allah swt.
Jangan Tegur Di Hadapan Orang Ramai
Antara pantang larang dalam
menegur kesilapan seseorang adalah jangan sekali-kali kita menegur seseorang di
hadapan orang lain. Ini sebenarnya boleh memalukan orang yang ditegur. Jika
kita berbuat demikian, sebenarnya kita telah mengaibkan dia. Kita sendiri tidak
ingin diri kita dimalukan di hadapan orang lain, begitu juga dengan orang yang
kita tegur. Mereka juga tidak ingin diri mereka dimalukan di hadapan orang
lain.
Kesannya, mereka agak
sukar untuk menerima teguran kita walaupun apa yang kita katakan itu betul.
Sebaliknya mereka akan kecil hati, dan lebih teruk daripada itu mereka akan
berdendam dengan kita. Saya pernah tegur pelajar saya di dalam kelas. Ada
seorang pelajar yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada kawannya di hadapan
saya. Saya kata kepadanya, “Kamu tiada adab dengan guru! Mengeluarkan kata
kesat di hadapan guru walaupun kepada kawan kamu”. Mukanya terus berubah.
Daripada senyum menjadi merah padam mukanya. Lantas dia minta maaf dengan saya.
Saya pula tanpa segan silu memohon maaf kepadanya kerana menegur kesilapannya
di hadapan rakan-rakan yang lain. Kita jangan malu untuk meminta maaf!
Walaupun niat kita baik
untuk menegur di hadapan kawan-kawan yang lain untuk dijadikan pengajaran,
namun hati dan perasaan orang yang kita tegur perlu diambil kira juga. Kita jangan
fikir tentang teguran tersebut sahaja, air muka orang yang kita tegur juga
perlu dijaga.
Jangan Sekali-Kali Meninggikan Suara
Tegurlah dengan lemah
lembut, selagi kesalahan yang mereka lakukan tidak sampai ke tahap menyekutukan
Allah atau mensyirikkan Allah. Kadang-kadang kita tidak bijak dalam menegur.
Dengan kesalahan yang kecil, kadang-kadang kita punya marah seolah-seolah
kesalahan yang dilakukan terlampau besar. Kerana marah nyamuk, kelambu kita
bakar! Bijakkah kita? Marah kita perlu berpada-pada. Niat baik kita untuk
menegur kesalahan seseorang perlu selari dengan tindakan kita yang betul. Tegur
dengan penuh adab. Tegur dengan bijaksana. Bagaimana dengan air yang lembut
dapat memberi kesan dan bekas kepada batu. Air dapat melekukkan batu yang
keras. Sifat air yang lembut itu perlu kita contohi. Air tidak pernah putus asa
untuk menitik dan mengalir daripada atas ke bawah. Akhirnya batu tewas. Batu
yang keras tadi dapat dibentuk dengan air yang lembut.
Tegur Sebagaimana Kita Ingin Ditegur
Apabila kita ingin
menegur seseorang, tegurlah sebagaimana kita ingin diri kita ditegur. Atau
tegur sebagaimana kita inginkan anak kita ditegur. Ada sesetengah guru melayan
muridnya begitu kasar sekali. Pengalaman saya menjadi murid dulu (semasa darjah
satu) memang menggerunkan. Saya takut pergi ke sekolah kerana layanan guru yang
macam ‘gangster’ pada masa itu. Saya menjadi phobia untuk ke sekolah. Bukan
kerana rakan-rakan yang nakal tetapi kerana cikgu yang begitu garang, langsung
tiada hikmah dalam menegur. Saya takut bila time
kelas cikgu tersebut. Bukan semua guru begitu, hanya segelintir sahaja. Tetapi,
bilangan yang kecil ini akan merosakkan profesien perguruan.
Bersangka Baik
Dalam menegur, kita
perlu memasang niat yang betul. Tegurlah dengan ikhlas. Penting untuk kita
bersangka baik terhadap orang yang kita tegur kerana mungkin mereka tidak tahu apa
yang mereka lakukan adalah satu kesalahan. Selepas ditegur, kita mengharapkan mereka
akan berubah.
Jangan sekali-kali kita
sangka buruk pada seseorang. Boleh jadi orang yang kita sangka buruk tersebut
jauh lebih baik daripada kita. Kadang-kadang kita terlalu cepat menafsir luaran
atau fizikal seseorang. Saya tertarik dengan cerita seorang ayah dan 2 orang
anaknya menaiki LRT menuju ke Kuala Lumpur. Seorang berusia 7 tahun dan seorang
lagi 5 tahun.
Sebaik sahaja menaiki
LRT, si ayah terus mengambil tempat dan bersandar lalu memejamkan mata sebagai
tanda untuk rehat, iaitu tidur sekejap. Sedangkan si anak pula membuat bising
dan bermain-main di dalam LRT yang sedang bergerak menuju ke KL itu. Si ayah pula
seolah-olah buat tidak tahu apa yang berlaku.
Ada seorang penumpang
yang tidak berpuas hati melihat gelagat anak-anak tersebut lantas mengejutkan
si ayah dan menegur si ayah tersebut agar mengawasi anak-anaknya dengan baik.
Penumpang tadi begitu marah pada ayah kanak-kanak tersebut kerana tidak tahu
menjaga anak-anaknya dengan baik.
Apa kata ayah tersebut
kepada penumpang yang begitu marah kepadanya, bunyinya begini :
“Maafkan Pakcik wahai anak
muda! Sebenarnya Pakcik tak sampai hati nak menegur anak-anak Pakcik pada hari
ini. Pakcik nampak mereka begitu gembira sangat hari ini. Semalam, Pakcik dapat
call daripada pihak hospital yang
mengizinkan Pakcik membawa anak Pakcik menziarah ibu mereka yang terlantar di
hospital kerana barah. Semenjak ibu mereka dimasukkan ke hospital 2 bulan yang
lepas, mereka tidak dibenarkan bertemu dengan ibu mereka atas sebab-sebab
kesihatan. Pakcik tinggalkan mereka di rumah jiran apabila Pakcik pergi
menziarahi ibunya. Dah hampir 2 bulan Pakcik tidak pergi bekerja kerana
berulang alik ke hospital. Selepas pulang daripada hospital, Pakcik menjaga
anak-anak pula di rumah. Itulah rutin Pakcik selama 2 bulan.
Sebelum ini mereka
begitu murung kerana tidak dapat berjumpa ibu mereka. Anak sulong Pakcik yang
berusia 7 tahun tak nak ke sekolah sejak ibunya dimasukkan ke hospital.
Manakala anak yang berusia 5 tahun pula asyik menangis siang dan malam.
Semalam, mereka sangat gambira apabila mendapat tahu yang hari ini mereka dapat
bertemu ibu mereka. Sebelum naik ke LRT tadi, Pakcik dapat satu panggilan yang
membawa berita sedih iaitu ibu mereka telah pergi buat selama-lamanya. Pakcik
tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan berita yang Pakcik baru terima tadi
kepada mereka”.
Terkedu penumpang yang
menegur Pakcik tadi.
Moralnya, tegurlah
dengan hikmah! Jangan cepat kita membuat tafsiran pada pandangan zahir kita sahaja.
Beri
peluang
Kadang-kadang kita sukar
untuk memaafkan orang. Sebenarnya perkataan maaf mudah disebut tetapi tidak
semudah itu pada hakikatnya. Sebab itu, ada unggapan forgive but not forget.
Ini tidak betul, bukan kemaafan namanya. Kemaafan menjadikan kita bersih hati
dan bukannya menjadikan kita berdendam pula. Kita juga perlu memberi peluang
untuk mereka berubah. Jangan cepat melenting. Nabi Muhammad SAW tidak pernah
jemu untuk mendakwahkan kebenaran.
Dalam kita menegur
seseorang, kita memang mengharapkan perubahan yang positif daripada orang yang
kita tegur. Tetapi sabagai insan, tugas kita hanya mampu menegur sahaja. Untuk memberi
taufik dan hidayat adalah kerja Allah. Kita buat kerja kita, tegur dan
setersunya doa agar Allah swt memberi taufik dan hidayat kepada kita dan orang
yang kita tegur.
Jangan Putus
Asa
Sebagai seorang Muslim,
kita tidak sepatutnya berputus asa dalam memberi teguran walaupun hasilnya amat
mengecewakan. Di akhirat nanti Allah swt tidak akan tanya hasil daripada
teguran kita tetapi yang akan ditanya sama ada kita membuat kerja tegur menegur
atau tidak? Adakah kita menegur kawan-kawan yang kita yang buat silap? Adakah kita
tegur orang yang buat kemungkaran? Moga kita dapat menjawabnya suatu masa nanti.
Amin.
No comments:
Post a Comment