“Bunyi apa tu?”
Begitulah pertanyaan seorang jemaah surau sebaik sahaja
kami selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah pada 15 Ramadhan yang lalu di
surau berhadapan rumah saya.
“Bunyi lori sampah tu”, jawab saya.
Saya menjengah ke tingkap surau tersebut untuk
mendapatkan kepastian.Benar sekali tekaan saya! Lori sampah datang memungut
sampah pada waktu Maghrib. Persoalan yang bermain di fikiran saya adalah
bagaimana solat magrib mereka? Bagaimana puasa mereka?
Kebanyakan pekerja tersebut adalah Bangladesh yang beragama
Islam. Sebelum bulan Ramadhan, jadual memungut sampah adalah pada waktu siang
iaitu sebelah pagi hingga tengahari, setiap Isnin dan Rabu manakala pada hari
Jumaat pula pada awal pagi iaitu sebelum Subuh (sekitar jam 4-5 pagi). Saya
katakan mereka Islam kerana ada sebahagian daripada mereka yang memberi salam
kepada saya ketika mengutip sampah di hadapan rumah saya, kebetulan saya berada
di depan rumah.
Mengapa mereka mengutip sampah pada waktu Maghrib semasa
bulan Ramadhan? Itu antara persoalan yang perlu saya fikirkan jawapannya.
Mungkin jika mereka memungut sampah pada waktu siang akan mengganggu puasa
mereka. Mereka lebih penat dan dahaga. Itu jawapan yang sempat saya fikirkan
daripada soalan yang saya sendiri ciptakan.
Pada saya jawapan itu semacam kurang tepat. Ini kerana,
mereka ada masa yang lagi sesuai untuk melakukan kerja tersebut iaitu mungkin
pada waktu malam selepas tarawikh dan bukannya semasa orang sedang berbuka atau
semasa orang lain sedang menunaikan solat fardhu Maghrib. Lagipun tempoh waktu
untuk menunaikan solat Maghrib begitu singkat. Dengan erti kata lain, mereka
akan kesuntukana masa untuk menunaikan solat Maghrib!
Adakah majikan mereka Muslim? Andainya majikan mereka
Muslim sudah tentu majikan mereka tidak prihatin dan sensitif pada amalan agama
pekerja meraka. Majikan mereka sepatutnya merasa malu untuk mengaku Islam!
Inilah nasib malang yang menimpa ummat Islam hari ini
apabila mereka tidak dapat membezakan di antara maksud hidup dan keperluan
hidup. ‘Kerja’ di dunia ini atau dengan erti kata lain mencari nafkah
sebenarnya adalah keperluan untuk hidup di dunia atau keperluan untuk survival
hidup di dunia ini. Tetapi malangnya mereka tidak faham apakah maksud mereka
hidup di dunia ini! Apakah tujuan mereka dijadikan oleh Allah swt?
Firman Allah swt :
Maksudnya :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surat
Adh-Dhāriyāt, Ayat 56)
Adakah mereka dijadikan Allah untuk kerja semata-mata
dengan mengorbankan solat dan puasa mereka. Sungguh malang apabila kita sanggup
mengejar cebisan daripada nikmat Allah di dunia ini dengan mengorbankan nikmat
Allah yang tiada penghujungnya di akhirat kelak. Adalah satu kebodohan yang
nyata apabila kita sanggup menukarkan permata yang berharga dengan batu kelikil
di tepi jalan. Kita jahil dalam membezakan di antara batu dan permata.
Sungguh malang juga apabila kita sanggup mengejar nikmat
yang berbentuk sementara dengan nikmat yang berbentuk kekal abadi. Nikmat di
dunia ini adalah bersifat sementara manakala nikmat di akhirat kelak pula
adalah bersifat kekal. Jika ada seseorang memberi pilihan kepada kita sama ada
ingin meminjam duit daripadanya sebanyak RM5000 atau mendapatnya kita secara
percuma. Adakah kita ingin memilih untuk meminjam daripada mendapatnya secara
percuma tanpa perlu meminjam? Tentunnya kita pilih untuk mendapatkannya secara percuma
kerana ianya akan menjadi milik kita secara kekal berbanding dengan duit yang
dipinjam yang mana pemimjam tersebut mempunyai tanggungjawab untuk
memulangkannya semula atau membayar balik pinjaman tersebut dalam masa
tersebut.
Kejahilan mereka sebenarnya mencerminkan kegagalan kita
sebagai saudara seagama yang tidak memperingatkan dan meyedarkan mereka tentang
penting amalan agama dalam kehidupan mereka. Kita membiarkan mereka terus
ditipu oleh syaitan dan hawa nafsu mereka! Zalimkah kita?
Fazakir!
Dengan menjaga solat, kita akan mendapat lima ganjaran
iaitu : -
1- keberkatan rezeki di dunia ini
2- diangkat seksaan kubur
3- menerima buku catatan amal dengan tangan kanan
4- dapat meniti titian sirat sepantas kilat
5- dapat masuk ke syurga tanpa hisab
Justeru itu, untuk mendapat keberkatan rezeki, marilah
kita jaga solat kita. Iaitu dengan menunaikan solat di awal waktu dan secara
berjemaah di masjid. Segala keperluan hidup kita akan dibereskan oleh Allah swt
apabila kita menunaikan maksud hidup kita di dunia ini, iaitu untuk mengabdikan
diri kepada Allah swt.
Jangan sekali-kali kerana kerja, kita tinggal solat!
Ingat letakkan solat di tempat utama. Jangan berkrompromi dengan majikan yang
tidak membenarkan solatsemasa bekerja atau majikan yang tidak menghiraukan
waktu solat pekerja mereka.
Semoga Allah swt memberi taufik dan hidayat kepada saya,
majikan dan pekerja tersebut. Amin.
No comments:
Post a Comment