Thursday, February 20, 2014

Agama dan Kesannya Di dalam Jiwa Manusia (Bahagian 2)

Sambungan daripada Bahagian 1 sebelum ini.

Seorang ulama yang terbesar bernama Shaqiq al-Balaghī telah menyiasat ilmu seorang muridnya yang bernama Hātim al-Asim dengan katanya: Berapa lama engkau telah berdamping dengan aku? Tiga puluh tiga tahun. Jawab muridnya.
Sekian lamanya engkau telah menuntut, apa bendanya yang engkau dapati?

..delapan masalah”

Innā`lillah wa innā ilaihi raji’ūn, habis umurku bersama-sama mu padahal yang engkau pelajari hanya delapan masalah sahaja?”



“Demi sesungguhnya inilah sahaja wahai tuan. Delapan masalah tidak lebih dan tidak kurang” jawab muridnya lagi. “Cuba sebutkan supaya kudengar.” Sambil membetulkan duduknya maka Hatim pun berkata:

Pertama - Saya telah perhati akan segala makhluk, saya dapati masing-masing tidak lepas dan tidak berenggang daripada apa yang ia cintai tetapi apabila sahaja tiba ke liang kubur maka tinggallah benda ataupun orang yang dicintai itu. Oleh itu saya telah memilih “amal yang baik” menjadi kekasih yang saya sanjung tinggi dan yang sudah barang tentu tidak saya akan bercerai dengannya hatta ke lubang kubur sekalipun! Maka disambut oleh gurunya dengan katanya: “Pandai sungguh engkau memilih!”

Kedua - Saya telah fahamkan dengan sedalam-dalamnya akan firman Tuhan yang maksudnya:

“Dan barangsiapa yang takut akan maqam Tuhannya (menjunjung perintah-Nya) dan menahan dirinya daripada dorongan hawa nafsu maka bahawasanya syurgalah balasannya”.

Saya pun mengetahui bahawa firman Tuhan itulah yang benar, dan kerana itu saya telah bersungguh-sungguh memerangi akan hawa nafsu sehinggalah saya berjaya menjadikan diri saya seorang yang amat taat kepada Allah Tuhan yang Esa.

Ketiga – Kebanyakan anak-anak Adam gemar bermegah-megah dengan tiga perkara. Ada yang dengan harta, yang ada dengan pangkat kebesaran, dan yang lainnya dengan nasab keturunan. Setelah saya selidiki, saya dapati ketiga-ketiganya tidak ada berharga sama sekali. Saya selidiki akan firman Tuhan yang maksudnya:

“Bahawasanya orang yang mulia pada sisi Allah Taala ialah orang yang taqwa”.

Saya pun beramal bersungguh-sungguh dengan taqwa supaya saya menjadi mulia di dalam erti kata yang sebenarnya!

Keempat - Saya siasati hal ehwal kebanyakan manusia, saya dapati masing-masing bermati-mati menyimpan apa jua harta benda yang berharga, tetapi manakala saya menungkan firman Tuhan yang mafhumnya:

“Apa jua harta benda yang kamu menyimpannya (dengan secara kedekut) akan punah-ranah, dan barang yang tersimpan di sisi Allah (sudah tetap) akan kekal selama-lamanya!”

Oleh yang demikian maka bila-bila masa sahaja saya akan mendapat harta benda dan apa jua yang berharga, maka terus saya membelanjakan dia kerana Allah Taala supaya tersimpan di sisi-Nya dengan selamatnya!.

Kelima – Telah menjadi biasa kebanyakan manusia gemar bersenggit-senggit hati dan cerca-mencercai di antara mereka sesama sendiri sedangkan hal ini terbitnya ialah kerana hasad dengki. Saya pun mencari ubat penawarnya di dalam kitab Allah dan sudah barang tentu saya telah jumpai firman-Nya yang bermaksud:

“Kami telah bahagi di antara mereka akan rezeki (sara hidup) di dalam kehidupan dunia ini”.

Semenjak itu saya melontarkan jauh akan perasaan hasad dengki dan saya telah menaruh sepenuh-penuh yakin bahawa rezeki itu sudah tetap kurnia Allah!

Keenam – Kebanyakan manusia gemar berseteru-seteru dan berbunuh-bunuhanan di antara mereka sesama mereka kerana satu desakan yang berupa tamak atau sebagainya. Setelah saya kaji hal ini dari segala seginya maka saya dapati karut semata-mata saya pun mencari siapa dia seteru yang sebenar-benarnya. Akhirnya saya terkenang pada firman Tuhan yang madmunnya: “Bahawasanya syaitan bagi kamu ialah seteru, maka jadikanlah dia seteru (yang sebenar-benarnya) Semenjak itu saya tidak berseteru kepada sesiapa melainkan iblis semata-mata!

Ketujuh – Kebanyakan kita manusia disebabkan sara perut terpaksa menghinakan diri dan menempuh jalan yang tidak halal baginya, tetapi setelah saya selidiki saya dapati Tuhan telah menjelaskan kesulitan hal ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“Tidak ada daripada binatang-binatang (yang melata dan sebagainya) melainkan kepada Tuhanlah rezekinya”. 

Semenjak itu saya amat yakin bahawa rezeki saya telah dijamin oleh Allah Taala dan kerana itulah saya telah bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan saya dan saya tinggalkan alasannya pada sisi Allah pencipta seluruh alam. Inilah yang dinamakan “Al-fanā fī adā`il wājib” – Fana segala perasaan yang berupa mementingkan muslihat diri pada ketika menunaikan kewajipan!

Kedelapan – Saya perhati sekeliling kebanyakan hal manusia, masing-masing bertawakal (berserah tunggang) kepada makhluk semata-mata – yang ini berserah kepada kebunnya, yang itu kepada perniagaannya atau apa pekerjaannya, dan yang lain pula kepada kebolehan, kekuatan atau kesihatan bendanya. Sedangkan kejadian yang demikian ini salah semata-mata, tidakkah Tuhan berfirman yang mafhumnya:

“Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka Allah Taala itulah sebaik-baik tempat bertawakal dan tunggal yang boleh menolongnya.”

Oleh itu, semenjak itu saya tidak bertawakal atau pun berserah melainkan kepada Allah Rabb al-’Alamīn.

Dengan wajah yang berseri-seri maka Syafiq Al-Balaghi telah berkata kepada muridnya Hātim al-Asim:

“Tuhan telah memberi taufiq dan hidayah kepadamu. Saya telah menyelidiki ilmu-ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab suci yang empat – Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Al-Quran) maka saya dapati bahawa segala jenis amal kebajikan dan seraya atau pati segala agama Allah di dunia ini adalah kesemuanya terhimpun di dalam masalah-masalah yang delapan ini. Berpeganglah dengan kukuh kepadanya – diberkati Allah akanmu!"

Demikianlah halnya orang-orang Islam kita pada zaman dahulu mempelajari dan mengerjakan suruhan agamanya. Maka
tidaklah pelik kalau mereka mencapai setinggi-tinggi kemajuan dan telah menempuh zaman yang gilang-gemilang!

Oleh Abdullah Basmeh
Majalah Qalam, Bil 1, 1950

No comments:

Post a Comment