Thursday, January 31, 2013

Fahaman Sekular dan Fobia Terhadap Agama


Diluar Masjid Haram - Selepas Solat Maghrib, Menunggu Solat Isyak
Dalam ajaran Islam, apabila kita buat kesilapan atau kesalahan yang bertentangan dengan perintah agama, kita disuruh untuk bertaubat. Bertaubat adalah apabila kita menyesal dengan kesalahan yang kita lakukan dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Seorang yang banyak dosa, apabila benar-benar bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah swt, maka dia diibaratkan seperti kain putih, seumpama bayi yang baru dilahirkan. Islam tidak menyuruh kita menceritakan kesalahan kita pada orang lain. Kita digesa untuk tidak menceritakan aib kita sendiri kepada orang lain apatah lagi untuk kita menceritakan keaiban orang lain. Sungguh cantik dan indahnya ajaran Islam. MasyaAllah! Sebagai tanda sesalan di atas perbuatan kita, selain daripada bertaubat kepada Allah, kita juga perlu banyakan amal agama, seperti solat-solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah, dan lain-lain lagi. Semoga amalan tersebut dapat membantu kita di akhirat kelak selain daripada amalan-amalan yang diwajibkan oleh Allah swt.


Perkara ini amat berbeza dengan ajaran Kristian Katolik yang mana paderi mereka mempunyai kuasa untuk mengampuni dosa atau kesalahan yang telah dilakukan oleh pengikutnya. Di barat, pesalah perlu menceritakan kesalahan yang telah mereka lakukan kepada paderi, kemudiannya paderi tersebut akan mengampuni dosa yang telah mereka lakukan yang dipanggil sebagai "indulgences". Terdapat satu bilik yang diwujudkan khusus beserta satu kerusi iaitu kerusi pengampunan untuk pesalah menceritakan kesalahan mereka kepada paderi yang berada di sebalik tabir.  Sebagai bukti dosa mereka telah diampunkan, sijil pengampunan akan dikeluarkan oleh pihak gereja. Lama-kelamaan, proses pengampunan ini menjadi suatu perniagaan bagi pihak gereja. Setiap sijil pengampunan yang dikeluarkan oleh gereja dikenakan sidikit caj. Mungkin pada masa sekarang dipanggil sebagai caj perkhidmatan, kot?

Namun begitu, Kristian Protestan tidak bersetuju dan membangkang kaedah pengampunan ini. Zaman ini dipanggil sebagai zaman gelap di Eropah. Apabila Galileo Galilei yang merupakan orang pertama mengatakan bumi ini bulat di Eropah, dia dibunuh dan dibakar kerana bercanggah dengan pegangan mereka selama ini dan juga tidak selari dengan ajaran gereja sebagaimana yang terdapat di dalam kitab ajaran mereka. Gereja menyeksa dan membunuh sesiapa sahaja bercanggah pendapat dengan gereja. Zaman ini adalah zaman yang begitu mencengkam ahli falsafah dan saintis mereka agar pendapat yang dikeluarkan mestilah selari dengan ajaran gereja. Apabila mereka dapat keluar daripada cengkeman gereja dengan mengasingkan sains dengan agama, maka mereka lebih bebas dan lebih maju. Lalu mereka membuat kesimpulan bahawa untuk maju, kita tidak perlu kepada agama. Inilah bermulanya fahaman sekular iaitu mengasingkan agama dengan kehidupan dunia ini. Pada pandangan mereka, agama hanya di gereja sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Justeru itu, tidak hairan apaila negara Somalia yang tidak ada kaitan dengan barat apabila hendak melaksanakan undang-undang Islam, Amerika begitu marah sekali. Mereka begitu trauma dengan sejarah lepas. Mereka merasakan dengan agama akan menghalang daripada kemajuan. Mereka melihat agama sebagai tidak lebih daripada satu amalan tradisi dan kolot. Apabila tinggal agama, baru berjaya menurut pandangan mereka.

Lebih menarik lagi, dahulunya bukan setakat penjualan sijil pengampunan oleh pihak gereja tetapi juga sehingga ke tahap penjualan lot syurga. Pihak gereja melihat dengan penjualan lot syurga, mereka akan dapat membuat duit daripada penjualan tersebut. Fitrahnya, semua orang ingin masuk ke syurga kerana nikmat yang tanpa batasan di syurga. Kesempatan ini telah diambil oleh pihak gereja untuk melakukan perniagaan lot syurga.

Apa yang menarik ialah ada dalam kalangan Yahudi yang cerdik pandai ingin membeli lot neraka. "Gereja ada jual lot neraka tak?", tanya Yahudi tersebut kepada gereja. Oleh kerana terdapat permintaan terhadap lot neraka, maka paderi-paderi bermesyuarat untuk membuat keputusan sama ada ingin menjual lot neraka atau tidak. Oleh kerana mereka nampak duit semata-mata, jadi mereka memutuskan untuk menjualkan lot neraka. Yahudi tersebut telah membeli kesemua lot neraka sehingga habis. Lantaran itu, hanya tinggal lot syurga sahaja. Yahudi ini telah menghasut orang yang ingin membeli lot syurga agar tidak berbuat demikian kerana mereka tidak perlu risau kerana lot neraka telah habis. Jadi, semuanya akan masuk ke syurga.

Ini telah menggugat perniagaan lot syurga oleh pihak gereja. "Ini tak boleh jadi!", keluh pihak gereja. Lalu pihak gereja bersetuju untuk membeli semula lot neraka daripada Yahudi tersebut dengan harga yang berlipat kali ganda bagi memastikan lot syurga terjual. Begitu teruknya mereka!! Ini semua berlaku di Eropah yang mereka panggil sebagai zaman 'gelap'.

Kita sebagai orang Islam tidak boleh sekali-kali memisahkan agama dengan kehidupan seharian. Tidak seperti di Barat yang menganggap agama sebagai penghalang kemajuan. Agama bagi mereka hanya di geraja sahaja. Berbeza dengan kita sebagai orang Islam, agama adalah merangkumi seluruh kehidupan kita.

Dalam konteks negara Malaysia, terdapat juga fahaman seumpama itu. Iaitu fahaman sekular yang menyatakan bahawa agama dan dunia perlu diasingkan. Kita lihat ramai orang Islam yang mempunyai kefahaman yang salah terhadap agama Islam. Mereka amal agama mengikut selera masing-masing. Ada yang puasa tapi tidak solat. Bila ditanya, "Hari ni puasa tak?". Mereka begitu marah dan melenting kerana bulan Ramadhan kita wajib puasa. "Haram kalau tak puasa", katanya. Mereka berpuasa tapi tak solat. Sedangkan solat adalah rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Tidak kurang juga yang solat tetapi tidak menutup aurat pula. Pening sungguh!

Mereka yang memilih-milih dalam mengamalkan Islam mengikut citarasa dan selera sendiri tanpa bersandarkan kepada sunnah Nabi SAW, atau dengan erti kata lain tidak mengamalkan Islam dengan sempurna akan  dihina oleh Allah swt kat dunia lagi. Umar ra semasa hendak pergi ke Palestin daripada Madinah untuk mengambil kunci Masjidil Aqsa telah berkata kepada umat Islam bahawa kita mulia disebabkan Islam. Kita akan dihina apabila kita meningggalkan Islam. Pada masa tersebut, paderi yang memegang kunci Masjidil Aqsa hanya ingin menyerahkan kunci tersebut kepada ketua orang Islam iaitu Amirul Mukminin. Pada masa itu Umar ra memakai pakaian yang bertampal-tampal. Dengan itu, paderi tersebut mengesahkan Umarlah orangnya yang layak untuk diserahkan kunci tersebut.

Kita wajib menerima SEMUA hukum yang terdapat di dalam Al-Quran, bukan sebahagiannya sahaja. Sebagaimana sifat fizikal Al-Quran itu sendiri yang mana kita tidak boleh mengubah sama sekali ejaan, atau menukar ayatnya. Bahkan menukar satu huruf yang terdapat di dalam Al-Quran sahaja pun boleh dikira sebagai jatuh murtad.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk mengamalkan Islam dalam segenap kehidupan kita daripada kita mula bangun tidur hingga kita tidur semula, mengikut sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW kerana Nabi SAW adalah semulia-mulia makhluk yang telah diciptakan oleh Allah swt sebagai model kepada kita semua. InsyaAllah. Amin.


*Gereja Protestan biasanya ada salib sahaja, manakala gereja Katolik  ada patung nabi Isa dan salib. Protestan menganggap patung Jesus sebagai berhala dan tidak boleh disembah. Ia amat berbeza dengan gereja Katolik yang terdapat patung tersebut. Kristian Ortodok yang asal tidak percaya kepada konsep triniti, iaitu tiga tuhan.

No comments:

Post a Comment