Saturday, January 19, 2013

Kehebatan Amalan Dakwah/Sunnah

Dulu..dunia ini terdiri daripada air sahaja. Allah telah membuat keputusan untuk menjadikan bumi ini, bermula dengan Mekah, di mana terdapatnya Baitullah.  Pada mulanya bumi ini bergoyang-goyang. Allah jadikan bukit sebagai pasak bumi untuk menjadikannya stabil dan tidak bergoyang. Bukit di Mekah diciptakan terlebih dahulu kemudian diikuti bukit-bukit yang lain. Mekah adalah sebagai pusat bumi, umpama akar bagi pokok, sebab itu di Mekah tiada pokok yang menghijau. Mana ada daun, batang, buah atau bunga pada akar sebatang pokok? Namun begitu, tiada pokok tanpa akar. Akar adalah penting kerana daripada akar akan lahir yang lainnya. Di Mekah ada segalanya. Siapa yang berpengalaman ke Mekah ada dapat lihat pelbagai jenis buah-buahan terdapat di Mekah, contohnya buah mangga, anggur, dan sebagainya. Semua jenis makanan terdapat di Mekah. Ini kerana Mekah adalah pusat (akar) bagi segala khazanah di bumi ini.

Sebahagian Bukit Bukau di Mekah


Oleh kerana Allah swt telah menjadikan bukit sebagai pasak bumi, malaikat bertanya kepada Allah, ada tak yang lebih hebat daripada bukit? Ini kerana dengan bukit tersebut, bumi berhenti bergoyang. Rupa-rupanya ada lagi yang lebih hebat daripapada bukit iaitu besi. Ini kerana, bukit yang kuat dapat dihancurkan oleh besi. Kita dapat lihat bagaimana jengkaut, bulldozer dapat meratakan bukit yang tinggi lagi keras. Inilah antara tandanya kiamat apabila bukit di Mekah mula dihancurkan. Kita dapat lihat pada hari ini, usaha kerajaan Saudi untuk meluaskan Masjidil Haram, banyak hotel-hotel lama dirobohkan dan banyak bukit-bukau diratakan. Ini menguatkan lagi bukti bahawa dunia ini semakin hampir dengan kiamat.

Menara Jam antara sebahagian daripada projek pembesaran Kota Mekah

Malaikat bertanya lagi, "apakah yang lebih hebat daripada besi?", jawabnya, ada iaitu api. Ini kerana api dapat memusnahkan/mencairkan besi yang keras. Subhanallah! Sebab itu kita lihat bagaimana tukang besi menggunakan api untuk mencairkan besi dalam suhu yang begitu tinggi.

Malaikat begitu kagum dengan kehebatan api. Lalu malaikat bertanya lagi, "Adakah yang lebih hebat daripada api?", Jawabnya, ada iaitu air. Malaikat bertambah kagum dengan kehebatan air. Kita dapat lihat air yang menitik sedikit demi sedikit dapat memberi kesan kepada batu yang keras. Hebatnya air. Air juga dapat memadamkan api yang marak membakar.

"Ada lagi yang lebih hebat daripada air?" Jawabnya, ada iaitu angin. Angin boleh membawa air daripada lautan ke darat. Cuba kita renungkan bagaimana dengan kekuatan angin taufan dapat menghasilkan hujan yang lebat seterusnya membawa kepada banjir. Angin yang kuat juga dapat menumbangkan pokok dan bangunan. Kereta juga boleh terbalik jika angin tiup begitu kencang.

Malaikat bertanya lagi sama ada ada lagi tak yang lebih hebat daripada angin. Rupa-rupanya adalah lagi yang lebih hebat daripada 5 unsur tadi iaitu amalan manusia yang bersedekah dengan ikhlas yang dilakukan oleh tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kirinya. Subahanallah!!

Sedekah adalah satu amalan yang kecil sahaja tetapi Allah meletakkan kekuatan lebih daripada semua unsur tadi. Sedekah menjadi benteng daripada bala bencana, terhalang daripada musibah sama ada daripada bumi mahupun langit. Kalau amalan kecil ini sudah dikira hebat, bagaimana pula dengan amalan yang besar? Maksud saya, bagaimana pula amalan yang menggalakan orang bersedekah? Bagaimana pula dengan amalan dakwah yang mengajar orang bukan sahaja bersedekah, tetapi lebih besar daripada itu?

Kalau amalan kecil sudah dikira hebat dan kuat, amalan besar berkali-kali ganda jauh lebih hebat dan kuat lagi. Amalan dakwah adalah lebih hebat lagi. Rasulullah sendiri diseksa, dikutuk, dimaki hamun, dibaling dengan najis serta diugut bunuh kerana amalan dakwah. Hebatnya amalan dakwah!

Lima unsur tadi iaitu tanah, besi, api, air, angin adalah kekuatan makhluk tetapi amalan sunnah nabi SAW seperti dakwah, bacaan al-Quran, zikrullah mengandungi kekuatan Rabbul 'Alamin. Lima unsur tadi nampak besar tetapi zat Allah swt lagi maha besar.

Untuk manusia hebat, Allah kurniakan iman dan amal. Malangnya manusia hari ini kenal kekuatan makhluk tetapi tidak kenal kekuatan amalan nabi SAW. Dalam amalan sunnah ada kekuatan yang luar biasa. Jasad Nabi SAW adalah mulia, apatah lagi amalan yang dikerjakan oleh Nabi SAW. Tanah maqam Nabi SAW lebih mulia daripada arash Allah SWT. Kaabah di Baitullah adalah mulia, namun amalan Nabi SAW lagi mulia dan hebat daripada kaabah. Apabila kita buat amalan yang disukai oleh Allah swt, semua makhluk berada di bawah takhluk kita. Sahabat Nabi SAW sanggup bagi nyawa dan maut di jalan Allah swt.

Oleh itu, kita perlu korbankan masa di jalan Allah swt sehingga dapat menyukakan Allah dan semoga amalan kita diterima selama-lamanya. Perumpamaanya seperti pekerja sambilan. Apabila majikan sudah suka kepada staf tersebut, maka majikan terus menyerapnya sebagai pekerja tetap. Kemudian bila majikan suka lagi, dia akan menjemput pekerja tersebut ke rumahnya, seperti sebahagian daripada keluarganya, dan diajak makan sekali. Kita keluar di jalan Allah untuk buat dakwah sebenarnya adalah supaya Allah sayang pada kita. Apabila Allah sayang pada kita, semuanya kita akan dapat. Bagaimana seorang anak yang begitu disayangi oleh ibu bapanya, semua kehendak anak tersebut akan ditunaikan oleh emak dan ayah mereka. Lebih hebat lagi, Hajratul Aswad yang cium kita apabila maqam kita hebat di sisi Allah swt. Sahabat Nabi SAW, Allah redha kepada mereka. Muaz bin Jabal dihantar ke Yaman untuk menjadi mufti di sana. Bilal bin Rabah menjadi Gabenor di Syam. Allah telah memuliakan sahabat-sahabat Nabi semasa di dunia lagi.

Agama memerlukan pengorbanan daripada kita. Sama-samalah kita merebut peluang untuk disayangi oleh Allah swt dan RasulNya. InsyaAllah.

Dipetik dan diolah daripada Bayan Maulana Syamim,  29 Jun 2011, di Masjid Seri Petaling, KL.

No comments:

Post a Comment