Thursday, January 17, 2013

Pengalaman mengerjakan Haji 2012M, 1433H

Terpilih untuk menjadi tetamu Allah (Duyufur Rahman) adalah sesuatu yang diimpikan oleh semua orang Islam. Alhamdulillah, aku adalah antara yang terpilih untuk menjadi tetamunya pada musim haji tahun 1433H. Syukur.. Dalam usia 35 tahun, aku telah dipilih olehNya untuk melaksanakan salah satu rukun Islam yang mana tidak semua orang dipilih olehNya. Aku sendiri hampir tidak percaya kerana jika diikutkan giliran aku dan isteri adalah pada tahun 2018 Masihi.

KT62 - Mununggu di boarding untuk berlepas ke Jeddah


Berikut adalah catatan perjalanan aku di Tanah suci..

Alhamdulillah..Aku baru sahaja selesai melakukan kerja haji pada 1 Nov 2012 bersamaan 16 Zulhijjah 1433. Walaupun pada 13 Zulhijah aku telah selesai melontar tetapi dua rukun lagi masih belum selesai iaitu Tawaf dan Saei. Bagi jemaah haji yang melaksanakan Haji Ifrad, mereka tidak lagi perlu bersaei kerana telah melaksanakannya selepas tawaf qudum, iaitu selepas tawaf selamat datang.

Sebenarnya aku sengaja memberi laluan kepada jemaah yang awal (KT pertama dan seterusnya) untuk melengkapkan kerja haji mereka memandangkan mereka mempunyai tempoh yang singkat selepas Mabit di Mina sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Jadi, tempoh tersebut menjadi begitu kritikal kerana bukan sahaja mereka yang ingin mengerjakan tawaf dan saei tetapi juga jemaah-jemaah haji daripada negara lain begitu. Masing-masing ingin menyelesaikan kerja-kerja haji mereka dengan segera. Penerbangan paling awal berangkat pulang ke tanah air ialah pada 2 November 2012.
Tabung Haji Kelana Jaya dipenuhi bakal haji dan waris yang menghantar jemaah haji

Setelah selesai mengerjakan ibadah Haji, apa yang ingin aku sampaikan atau pesankan kepada kawan-kawan ialah agar melaksanakan ibadah ini di usia muda. Jika terdapat peluang atau terpilih untuk mengerjakannya, jangan tolak sama sekali. Gunakan peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Mengapa? Nanti aku cuba ceritakan.

Pertamanya, kerja haji banyak melibatkan aktiviti berbentuk fizikal. Semuanya ini memerlukan kekuatan fizikal di samping persediaan mental yang cukup. Ibadah umrah sedikit berbeza dangan ibadah Haji kerana dalam ibadah haji terdapat rukun Wuquf di Arafah, Mabit di Muzdalifah, Mabit di Mina dan melontar Jamrah. Kesemuanya ini tiada di dalam ibadah umrah.

Susah Payah di Tanah Suci
Oleh kerana ibadah haji mempunyai masanya yang terhad berbanding dengan ibadah umrah, kesesakan yang dahsyat berlaku di tempat-tempat di atas dan juga di Masjidil Haram pada sebelum dan selepas wuquf.

Lantaran itu, kita disaran agar banyak bersabar. Haji mengajar kita erti kesabaran. Kita perlu bersabar dengan ketidakselesaan. Semua manusia dilayan sama sahaja, sama ada orang kampung ataupun orang bandar, sama ada berjawatan tinggi atau kuli sahaja. Semuanya sama. Semuanya akan merasai bahang kepanasan yang mencecah sehingga 45c, walaupun pergi melalui agensi swasta atau pakej, apatah lagi jika pergi melalui muassasah Tabung Haji.


Ibadah Haji lebih sinonim dengan kesulitan dan kepayahan sehingga ada yang mengumpamakan haji itu adalah kusut masai. Jika kita fikir bahawa haji itu adalah untuk berjalan-jalan dan berseronok-seronok seperti pergi melancong, sebenarnya itu adalah satu tanggapan yang salah. Semasa di Arafah lagi, tidur kita pasti tidak cukup kerana panas dan juga gangguan nyamuk. Sebenarnya masa seumpama inilah digalakkan agar kita banyak berzikir kepada Allah dan banyakkan membaca Al-Quran. Rugi sekiranya jika kita membiarkan masa berlalu begitu saha atau brcakap yang sia-sia semasa berada di dalam ihram haji.
Tandas di Arafah - beratur panjang untuk buang air


Di Arafah dan Mina, jemaah Haji berkongsi tandas, iaitu dengan nisbah 20 tandas untuk 2000 orang. Tandas yang sama juga digunakan untuk membuang air besar dan tandas yang sama juga digunakan untuk mandi manda. Cuba bayangkan jika ada yang menunggu untuk membuang air besar, sedangkan di dalamnya ada orang sedang mandi. Sebab itulah, jemaah tidak digalakkan mandi pada waktu puncak (peak time). Jemaah haji tidak digalakkan mandi. Jika perlu mandi, kita perlu bertimbang rasa dengan mandi pada waktu malam dengan kadar segera. Kalau mandi macam P Ramlee lagi bagus. Ujian nyamuk pun boleh tahan semasa di Arafah. Maklumlah setahun sekali, nyamuk pun ingin mengambil kesempatan juga. Semuanya ujian daripada Allah swt agar menjadi kifarah terhadap dosa-dosa kita yang lepas.
Pemandangan sebahagian khemah di Arafah

Khemah di Arafah tiada air-cond mahupun kipas (ini berdasarkan pengalaman saya yang pergi melalui muasassah). Wuquf di Arafah adalah pada 9 Zulhijjah apabila masuknya waktu Zohor. Dan dikuti dengan khutbah Arafah. Oleh kerana tempohnya tidak lama, jadi air-cond dan kipas tidak menampakkan keperluan yang terdesak. Lagipun, wuquf di Arafah adalah sehari dalam setahun sahaja. Arafah disebut dalam hadis nabi saw yang mafhumnya bahawa, Haji itu Arafah. Wuquf di Arafah adalah kritikal dalam ibadah haji kerana terluput wuquf di Arafah bermaksud tiada haji bagimu. Oleh itu, pergerakan jemaah haji ke Arafah bermula sejak 8 Zulhijah lagi. Iaitu sehari sebelum hari wuquf. Kawasan ini, dahulunya tiada pokok dan kini sebahagiannya dihijaui dengan pokok-pokok untuk berteduh. Kadang-kadang terdapat angin sepoi-sepoi yang mengurangkan sedikit kepanasan.

Bergerak ke Muzdalifah
Pergerakan ke Muzdalifah untuk mabit di sana bermula selepas Asar pada 9 Zulhijah. Oleh kerana semua jemaah berada di Arafah pada waktu wuquf, untuk keluar daripada Arafah menuju ke Muzdalifah perlu berperingkat-peringkat. Daripada Asar hingga Isyak menuggu bas yang berulang alik untuk mengangkut jemaah daripada setiap maktab. Setiap maktab lebih kurang 2000 orang dan hanya 10 bas yang berulang alik untuk mengangkut jemaah tersebut supaya tidak sesak dengan pergerakan bas yang banyak dijalan raya. Selepas solat Isyak baru dapat giliran saya untuk bergerak ke Muzdalifah. Keutamaan diberi kepada jemaah yang datang melalui pakej, mereka dilayan lebih sedikit daripada jemaah biasa. Mereka menaiki bas yang awal untuk ke Muzdalifah dan juga ke Mina. Solat Zohor dan Asar biasanya dilakukan dengan cara jamak taqdim. Begitu juga dengan solat Maghrib dan Isyak.
Mabit di Muzdalifah tanpa khemah kerana sekejap sahaja

Di Muzdalifah, kita disunatkan untuk mengutip anak batu sebanyak 7 biji bagi tujuan melontar jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah. Semasa mabit di Muzdalifah, aku menunggu bas daripada 10 malam sehingga ke Subuh. Oleh kerana hampir Subuh, aku perlu solat Subuh terlebih dahulu di Muzdalifah sebelum barangkat ke Mina. Bas berikutnya datang selepas terbit matahari. Walaupun jarak daripada Muzdalifah ke Mina tidak begitu jauh, lebih kurang 7 km sahaja, namun masa yang diambil untuk menaiki bas hampir 3 jam kerana kesesakan lalu lintas. Aku sampai ke Mina hampir jam 9 pagi selepas hampir 3 jam berada di dalam bas. Sebelum naik bas, aku beratur dalam keadaan berdiri, dalam bas pula kena berdiri lagi. Semuanya cubaan. Hampir tiga jam berdiri di dalam bas yang menempuhi kesesakan lalu lintas. Dan yang tak boleh aku tahan adalah bas tersebut bergerak seumpama kura-kura dan driver bas tersebut asyik brek sahaja. Aku bertambah pening, lemah dan tidak bermaya kerana aku kurang tidur dan kurang mandi sebelum ini. Kadang-kadang aku hampir terjatuh kerana badan yang lemah di tambah pula keadaan pemandu bas yang begitu lasak, macam mat rempit. Tapi bas tersebut ter'batuk-batuk' kerana usia bas tersebut yang sudah uzur.

Banyak masa digunakan untuk menunggu bas, dan juga berada di dalam bas. Jika kita tidak manfaatkan masa tersebut, rugilah kita. Banyakkan berzikir dan menceritakan kebesaran Allah serta melihat ciptaan Allah swt yang sungguh menarik dan pelbagai. Bentuk muka bumi di Makkah itu sendiri adalah sangat berbeza dengan bentuk muka bumi di Malaysia. Orang-orangnya juga berbeza dan bermacam ragam. Subhana Allah!. Lihatlah kebesaran Allah dalam setiap masa yang terluang. Gunakan penglihatan kita untuk melihat kebesaran Allah dan seterusnya senantiasa berzikir pada Allah swt.

Mabit di Mina dan Melontar di Jamarat
Setiba di Mina, didapati khemah begitu sesak macam sardin iaitu saiznya15 x15 kaki dikongsi untuk 20 orang. Namun agak selesa kerana khemah di Mina  dilengkapi dengan penghawa dingin. Khemah jemaah haji Malaysia biasanya di letakkan berdekatan dengan jemaah haji daripada negara Asia tenggara yang lain seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan lain-lain lagi. Di Mina, aku lihat ramai jemaah yang bergerak menuju ke jamrah untuk melontar pada 10 Zulhijjah dan seterusnya bercukur untuk tahalul awal. Waktu yang afdhal melontar pada hari ke 10 Zulhijjah adalah selepas terbit matahari hingga Zohor. Apabila tahlul awal, maka jemaah haji gugur atau bebas 10 daripada 13 pantang larang dalam ihram, antaranya mereka boleh menukar kain ihram dengan pakaian biasa. Awas! Bagi yang membawa pasangan (suami isteri), anda masih tidak boleh 'bersama' lagi dengan pasangan anda walaupun hanya untuk muqadimmah ke arah itu. Nanti akan dikenakan dam jika melanggar pantang larang tersebut.
Pemandangan Bangunan Jamarat - tempat melontar

Amalan wajib haji di Mina adalah mabit (bermalam) dan juga melontar jamrah. Aku berada di Mina selama 4 hari, 3 malam iaitu hari ke 10 Zulhijah, 11-13 Zulhijjah. Hari ke 10 Zulhijjah kita hanya melontar jamrah Kubra sahaja dengan tujuh biji anak batu yang dikutip di Muzdalifah. Walaubagaimanapun, jika kita tidak berkesempatan mengutip batu tersebut di Muzdalifah, mengutip di Mina pun tidak mengapa tetapi tidak mendapat pahala sunat tersebut. Waktu yang disunatkan pula untuk melontar pada hari 10 Zulhijjah  ialah selepas terbit matahari hingga ke Zohor. Manakala untuk melontar pada hari ke 11-13 Zulhijjah pula disunatkan selepas Zohor hingga Maghrib. Sunat untuk mengutip anak batu di Mina yang mana jumlahnya 21 biji sehari  untuk 3 jamrah iaitu jamrah subgra, wusta, kubra sebanyak 7 biji setiap jamrah) selama 3 hari tasyhriq iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah yang berjumlah 63 biji kesemuanya. Di campur dengan hari kesepuluh Zulhijjah iaiatu 7 biji, jadi jumlah keseluruhannya adalah 70 biji anak batu.
Berjalan melalui terowong untuk menuju ke tempat melontar

Jarak daripada khemah ke tempat melontar (jamrah) agak jauh iaitu 3 km pergi dan 4 km balik dengan berjalan kaki. Semuanya 7 km untuk satu hari. Kita diwajibkan melontar selama 4 hari, jadi keseluruhannya adalah 28 km. Bagi orang muda dan belia, tidak menjadi satu masalah untuk jarak tersebut. Tetapi bagi orang yang agak berumur (70 tahun ke atas) atau orang yang uzur adalah menjadi suatu masalah yang besar. Tabung haji menasihat agar diwakilkan bagi pihak mereka dengan syarat disahkan oleh doktor Tabung Haji berkenaan status kesihatan mereka.
Pemandangan di salah satu jamrah

Untuk jemaah yang membuat Nafal Awwal, mereka tidak lagi perlu melontar pada hari ke 13 Zulhijjah dengan syarat mereka meninggalkan Mina selewat-selewatnya sebelum Maghrib. Bagi mereka yang tidak melakukan Nafar Awwal seperti aku, aku perlu lengkapkan melontar sehingga hari ke13 Zulhijjah dan bermalam satu malam lagi di Mina iaitu pada malam 13 Zulhijjah (12 Zulhijjah, malamnya).

Tawaf dan Saei
Selesai melontar, aku hanya tinggal tawaf dan saei sahaja. Dua rukun ini sama seperti umrah bezanya ia tidak wajib diniatkan kerana sudah terangkum dalam niat haji. Tetapi dalam ibadah umrah, niat bagi tawaf dan saei umrah hukumnya adalah wajib. Jika tidak, tawaf dan saei kita dikira tidak sah. Tawaf tetap tujuh pusingan cuma agak sesak dengan manusia berbanding dengan tawaf semasa mengerjakan umrah. Begitu juga keadaannya dengan saei. Aku mengambil kesempatan untuk melakukan tawaf dan saei selepas tengah malam iaitu 2-3 pagi. Waktu ini keadaan di Masjidil Haram agak lengang sedikit berbanding pada waktu siang. Untuk jemaah yang menggunakan kerusi roda, dikehendaki tawaf dan saei di tingkat atas.

Radius pusingan tawaf di tingkat atas agak luas berbanding dengan di bawah. Saya agak lebih kurang 1 km untuk satu pusingan lengkap bagi tawaf di tingkat atas. Jadi untuk melengkapkan tujuh pusingan tawaf jaraknya adalah 7 km atau mungkin setengah daripada anggaran tersebut. Tawaf dan saei pada musim haji di tingkat bawah agak sesak dan beresak-esak yang mana tidak sesuai untuk orang tua dan juga wanita.

Jarak saei pula daripada Safa ke Marwah adalah 420 meter. Untuk ulang alik sebanyak 7 kali jaraknya menjadi 2940 meter atau hampir 3km. Semuanya memerlukan tenaga, baik saei mahupun tawaf. Justeru itu, aku selalu menasihatkan sahabat-sahabat dan saudara mara untuk pergi menunaikan haji dalam usia muda dan bertenaga agar kita dapat melaksanakannya dengan penuh bermakna sekali tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Tidak salah mengupah orang untuk menolak kita menaiki wheel chair tetapi tidak sama jika kita sendiri yang melakukannya dengan sepenuh jiwa tanpa mengaharapkan bantuan orang lain. Setiap peluh dan jerit perih kita amat bermakna untuk dipersembahkan di hadapan Allah sebagai tanda kita hambaNya yang mengikuti syariat yang telah ditetapkan olehNya melalui Nabi Muhammad SAW.

Apa yang menarik
Antara perkara yang menarik adalah aku tidak sabar untuk melontar pada hari ke 10 Zulhijjah, iaitu hari pertama melontar. Aku begitu teruja kerana inilah pengalaman pertama aku melontar. Tetapi Tabung Haji nasihatkan agar jemaah haji Malaysia melontar di sebelah malam iaitu selepas Isyak untuk mengelakkan kesesakan di Jamarat. Tujuannya ialah untuk memberi laluan kepada jemaah haji daripada negara lain terlebih dahulu terutamanya jemaah haji daripada Indonesia yang begitu ramai iaitu 10 kali ganda berbanding jemaah haji Malaysia. Namun, aku dan beberapa orang jemaah haji yang lain pergi melontar  lebih awal iaitu di sebelah petang memandangkan feedback daripada orang yang pergi melontar di sebelah pagi dan tengahari menyatakan bahawa keadaan di Jamarat tidaklah begitu sesak. Jemaah haji dari Asia Tenggara biasanya diminta melontar di tingkat 3 Jamarat. Setiap tingkat Jamarat telah dikhususkan untuk negara/wilayah tertentu.

Pengalaman pertama pergi menunaikan haji adalah amat berbeza dengan pergi mengerjakan umrah. Orang yang pergi umrah banyak kali tetap tidak akan sama dengan amalan haji seperti wuquf, mabit dan melontar. Ini kerana amalan ini begitu istimewa iaitu untuk jemaah haji sahaja.

Menjadi harapan bagi setiap jemaah haji untuk mendapat haji yang mabrur kerana ganjaran haji yang mabrur adalah syurga. Semoga aku dan jemaah haji yang lain memperoleh haji yang mabrur. Antara tanda haji yang mabrur adalah amalan kita lebih baik daripada sebelumnya, iaitu selepas pulang daripada mengerjakan haji sepatutnya iman, ibadah, muamalah, muasyarat mahupun akhlaknya menjadi lebih baik. Semoga aku salah seorang daripadanya. Amin.


5 comments:

  1. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman yang amat berharga.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tn nHj,

    Sememangnya apa yang di nyatakan Tn Hj didalam N3 ini perlu menjadi panduan kepada bakal-bakal haji di musim ini atau tahu-tahun yang mendatang lebih-lebih lagi dengan keadaan Masjidil Haram dalam kerja pengubahsuaian yang lebih memerlukan kesabaran yang amat tinggi dalam menempuhi pelbagai dugaan.....

    Keadaan Masjidil Haram dan persekitaranya amatlah berbeza dengan keadaan semasa saya & isteri menunaikan haji pada tahun 2010/1431.......

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. Waalaikumussalam..
      Mudah2an N3 ini memberi manfaat kepada pembaca..
      Terima kasih 'PESONA'.

      Delete