Monday, March 17, 2025

Antara Hidup dengan Mati Tulisan Jawi

Che Wan Shamsul Bahri C.W.Ahmad, (2019), Antara Hidup dengan Mati Tulisan Jawi. Majalah Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, terbitan Oktober 2019.



Antara Hidup dengan Mati Tulisan Jawi

Sejarah Bahasa Melayu 

Tulisan Bahasa Melayu dahulunya mempunyai pengaruh India iaitu Pallava, Kawi dan Nagari. Pallava adalah merupakan tulisan Sanskrit (Faizuri, 2014). Kemudian, tulisan pengaruh Arab dan Parsi telah mengambil tempat setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Tulisan tersebut adalah tulisan Jawi yang mana digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.

Jenis Tulisan di Alam Melayu

Sumber : Sulaiman, S. (2016).

 

Kebanyakan golongan cerdik pandai pada zaman dahulu menggunakan medium tulisan Jawi sepenuhnya dalam persuratan dan penghasilan karya mereka. Boleh dikatakan pada masa itu, tulisan Jawi digunakan secara meluas bagi skrip Bahasa Melayu dan berfungsi sebagaimana peranan yang dimainkan oleh sistem ejaan Rumi pada hari ini. Sehinggakan orang Inggeris pun terpaksa belajar bagi menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus surat kepada raja-raja dan pembesar Melayu pada masa itu. Bahasa Melayu dipanggil sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa perantaraan dalam kalangan pedagang dan penggunaannya sangat meluas sebagaimana Bahasa Inggeris pada hari ini.

 

Antara bukti awal penggunaan tulisan Jawi di alam Melayu adalah dengan penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 Masihi. Bukti ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi telah wujud sejak tahun 1300 Masihi di Alam Melayu. Ia dikatakan telah digunakan sepenuhnya sejak abad ke-14 Masihi atau mungkin lebih awal lagi.

 

Tulisan Jawi yang kita lihat pada hari ini sebenarnya telah mengalami proses revolusi. Perkembangan tulisan Jawi berlaku secara berperingkat-peringkat sehingga apa yang kita lihat pada hari ini.  Ada teori yang menyatakan bahawa ianya mendapat pengaruh daripada Arab, pengaruh Parsi dan akhirnya pengaruh masyarakat setempat. Ini dapat dilihat daripada kajian sarjana-sarjana sebelum ini dengan beberapa teori perkembangan tulisan Melayu seperti Amat Juhari Moain, Kang Kyoung Seok, Hamdan Abdul Rahman, Hashim Musa dan Wan Mohd Shaghir.  

 

Perkembangan tulisan Jawi ini berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Arab dan Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubahsuai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik. Tulisan Jawi ditulis  seperti Bahasa Arab iaitu dari kanan ke kiri, serta ditambah dengan 6 huruf yang tiada dalam Bahasa Arab, iaitu چ (ca), ڤ (pa), ڬ (ga), ڠ (nga), ۏ (va) dan ڽ (nya). Penambahan huruf yang tiada dalam Bahasa Arab adalah mengesahkan teori bahawa tulisan Jawi adalah pengaruh daripada gabungan Arab dan Parsi. Ini kerana huruf-huruf tambahan tersebut adalah sebahagiannya daripada Parsi.

 

Isu Tulisan Jawi Kini

Isu tulisan Jawi dibangkitkan baru-baru ini adalah rentetan daripada dasar kerajaan terdahulu yang ingin memperkenalkan Tulisan Jawi dan Khat bagi matapelajaran  Bahasa Melayu Tahun 4  di seluruh sekolah rendah termasuklah di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan India. Perancangan tersebut akan mula dilaksanakan pada sesi persekolahan 2020 untuk Tahun 4, sesi persekolahan 2021 untuk pelajar Tahun 5 dan seterusnya pada sesi persekolahan 2022 untuk pelajar Tahun 6.

 

Isu ini telah menjadi viral di media sosial dan banyak dibincangkan secara terbuka. Ia menjadi kekhuatiran kepada ibu bapa terutamanya yang bukan beragama Islam mungkin kerana beberapa sebab sebagaimana yang diperkatakan oleh Mujibu Abd Muis dalam artikelnya di ruangan akhbar Sinar Harian keluaran 8 Ogos yang lepas iaitu “Ketakutan pada tulisan Jawi ini barangkali dapat disimpulkan atas tiga perkara; satu ia dikatakan tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sepertimana yang didakwa, kedua ada kerisauan yang ia akan menambah beban para pelajar dan terakhir kegusaran bahawa ia adalah langkah Islamisasi terhadap bukan Islam.”

 

Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan telah menjawab persoalan tentang pembelajaran Jawi dan seni khat dengan berkata, “masyarakat sewajarnya tidak harus melihat pengenalan Jawi sebagai suatu bentuk asimilasi budaya sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali warisan dan identiti negara. Seterusnya, kerajaan juga tidak mengarahkan pembelajaran tulisan Jawi secara menyeluruh, malah ia turut tidak dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan”.

 

Jawapan Menteri Pendidikan itu sepatutnya telah memberi gambaran yang jelas kepada golongan penentang tulisan Jawi. Bagi golongan bukan Islam yang tidak faham peranan tulisan Jawi yang lebih bersifat sebagai skrip Bahasa Melayu sahaja seperti juga tulisan Rumi, mereka membuat andaian bahawa perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah satu proses Islamisasi ke atas pelajar-pelajar sekolah vernakular yang dijalankan secara terancang.

 

Saya tertarik apabila ramai sarjana Barat seperti Annabel Teh Gallop daripada Perpustakaan British dan Ian Proudfoot daripada Universiti Kebangsaan Australia yang mana mereka bukan daripada orang Melayu yang beragama Islam, namun mahir untuk membaca tulisan Jawi. Bahkan mereka juga adalah pengkaji dengan penuh minat manuskrip-manuskrip Melayu lama bertulisan Jawi.  

 

Daripada Korea, Dr. Kang Kyoung Seok juga adalah seorang pengkaji tulisan Jawi bahkan tajuk tesis Doktor Falsafah beliau adalah berkaitan teori perkembangan tulisan Jawi. Kini, beliau ada melahirkan kebimbangan berkenaan nasib tulisan Jawi pada masa kini terutamanya apabila golongan generasi muda yang ramai buta huruf untuk membaca Jawi.

 

Yamamoto Hiroyuki daripada Universiti Kyoto Jepun juga bukannya seorang Islam yang berbangsa Melayu. Namun beliau adalah salah seorang pengkaji manuskrip Melayu Jawi iaitu Majalah Qalam (1950-1969) dengan kerjasama daripada Klasika Media daripada Malaysia. Beliau boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Jawi dengan begitu baik.

 

Lim Kit Siang juga menyatakan bahawa orang Cina tidak akan menjadi bangsa yang khianat kepada bahasa dan budaya mereka apabila belajar tulisan Jawi. Liew Chin Tong (Timbalan Menteri Pertahanan) pula mengakui pernah belajar kursus Bahasa Melayu Klasik dan tulisan Jawi semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Australia. Beliau sendiri mengakui bertuah kerana dapat menambah pengalamannya melalui kursus tersebut. Menurut beliau, tulisan Jawi bukanlah satu bahasa, tetapi sekadar sejenis tulisan.

 

Walaupun tulisan Jawi dikatakan berasal daripada tulisan Arab dan juga seperti fon al-Quran, namun tulisan ini tidak boleh mengislamkan pembacanya jika artikel atau manuskrip yang mereka baca tidak langsung berkaitan dengan agama Islam. 

 

Jika belajar Jawi boleh menyebabkan masuk Islam, tentunya nama-nama besar seperti Dr. Lee Kim Sai (mantan Menteri Kesihatan), Lee Kuan Yew (mantan Perdana Menteri Singapura) telah lama memeluk Islam kerana mereka telah awal belajar Jawi daripada kita. Jelaslah di sini bahawa Jawi itu hanya sekadar tulisan atau skrip bagi Bahasa Melayu yang berperanan sama seperti tulisan Rumi. 

 

Namun isu ini dijadikan modal politik kepartian. Masing-masing parti politik mengambil peluang untuk menunjukkan yang mereka menjadi hero dalam memperjuangkan isu ini baik daripada parti kerajaan mahupun parti pembangkang.

 

Bukan sahaja parti politik, bahkan juga NGO Cina  seperti Dong Zong dan NGO India juga turut terlibat dalam menyatakan bangkangan mereka dalam pelaksanaan dasar kerajaan tersebut. NGO ini sebenarnya masih tidak faham letak duduknya tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu. Ini diibaratkan mereka boleh menerima Bahasa Melayu sebagai bahsa Kebangsaan namun tidak boleh menerima tulisan Jawi sebagai salah satu dariapada sistem penulisannya. Ini seperti orang yang berkahwin boleh menerima pasangan masing-masing tetapi tidak boleh menerima keluarga mentua mereka. Adakah ini analogi yang tapat?

 

Mengapa Jawi semakin layu?

Menurut Abd. Rahim Abd. Rashid (2004), “Jika tulisan Jawi pupus, maka lenyaplah satu warisan yang pernah mewarnai dan menggemilangkan tamadun bangsa Melayu.  Semakin maju dunia hari ini, semakin tulisan itu dilupakan oleh orang Melayu.” 

 

Kerisauan kita berkaitan nasib tulisan Jawi pada masa dulu nampaknya memang ada betulnya pada masa kini. Tulisan Jawi sering dimomokkan tidak begitu mantap dan tidak konsisten kerana terdapat banyak jenis sistem ejaan Jawi daripada satu zaman ke satu zaman dan kadang-kadang lebih daripada satu sistem pada zaman yang sama. Jika dilihat kepada sistem ejaan Jawi yang terkini adalah Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan. Sistem ejaan ini telah mantap dan diperkemaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sistem ejaan Jawi dalam penulisan Bahasa Melayu

Sumber : Sulaiman, S. (2016)

 

 

Menurut Amat Juhari (1996), usaha Wilkinson untuk mengelirukan orang Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi nampaknya telah berjaya dengan menjadikan orang Melayu kurang berminat dengan sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan kekeliruan. Kata homograf merujuk pada kata yang sama ejaan tetapi berlainan sebutan. Dalam Jawi moden, perkataan ini telah dapat dikurangkan yang dipanggil sebagai homograf hakiki. Contohnya perkataan بيليق  (bilik dan belek) , ڬولوڠ  (gulung dan golong), كليه  (kuliah  dan kelih).

Lantaran itu, orang Melayu merasa lebih selesa dengan sistem ejaan Rumi yang kononnya dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses revolusi dan kematangan sehingga kita dapat melihat ejaannya sebagaimana hari ini. Terdapat juga homograf dalam Rumi seperti perkataan bela, sepak, rendang, semak, perang, sela, tekad, selak, reda dan lain-lain lagi yang mempunyai sebutan dan maksud yang berbeza.

Hakikatnya, orang Melayu lemah dalam mempertahankan tulisan Jawi. Menurut Mahmood Zuhdi, masyarakat Melayu perlu melakukan perubahan. Bukan cakap-cakap sahaja tetapi banyakkan bertindak. Jika kita lambat bertindak, tidak mustahil suatu masa nanti tulisan Jawi akan berkubur.

 

Antara cadangan beliau adalah wujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan Jawi kekal hidup dan relevan dengan perkembangan zaman. Menurut beliau, sesuatu ilmu itu tidak boleh hidup tanpa persekitaran yang kondusif.

 

Orang Melayu sendiri perlu ada kesedaran tentang pentingnya Jawi dalam kehidupan seharian. Bukan hanya pada logo halal JAKIM atau slogan-slogan tertentu sahaja. Kita perlu perbanyakkan kain rentang, sepanduk, bunting, papan tanda, iklan, yang menggunakan tulisan Jawi. Dicadangkan juga lebuhraya-lebuhraya di seluruh Malaysia menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda mereka.

 

Jika kita tidak mahu berubah, lihatlah dalam dunia moden hari ini tulisan Jawi seolah-olah dianak tirikan. Di zaman revolusi industri 4.0, Jawi dilihat lemah dan tidak mampu bergerak seiring dengan arus kemajuan. Ianya nampak tiada nilai ekonomi pada hari ini. Penggunaannnya begitu terhad, hanya dalam program-program yang berkaitan agama Islam dan diajar di sekolah-sekolah sahaja.

 

Usaha kerajaan Johor harus dipuji dalam memperluaskan penggunaan tulisan Jawi di bawah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ)  bermula 1 Januari 2020 termasuklah anak-anak syarikat JAIJ juga di peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan jabatan tersebut. Siapakah yang ingin memperjuangkan nasib tulisan Jawi, jika tidak kita?

 

Sikap orang Melayu yang sangat berlembut menyebabkan terdapat sesetengah masyarakat dan NGO begitu berani dan tidak gentar mempersoalkan tentang perkara asas yang mana status tulisan Jawi sebagai salah satu daripada skrip tulisan Bahasa Melayu yang telah lama diguna pakai dalam masyarakat Melayu daripada sebelum merdeka lagi. Kita perlu bertegas dalam memperjuangkan hal ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Tiada lagi gunanya apabila nasi telah menjadi bubur.

 

Cadangan Memperluaskan Dan Memperkasakan Penggunaan Tulisan Jawi

Berikut adalah beberapa cadangan dan strategi menambah baik penggunaan tulisan Jawi agar ia kekal relevan dan digunakan secara meluas.

 

  1. Perlu wujudkan persekitaran yang mesra Jawi di mana-mana. Tulisan Jawi sepatutnya dipaparkan di mana-mana seperti di billboard, ruangan menunggu seperti di hospital, lapangan terbang dan sebagainya. Letakkan juga bahan-bahan bercetak seperti majalah, buku-buku dalam tulisan Jawi.
  2. Perluaskan penggunaan Jawi bukan sahaja dalam institusi agama dan sekolah-sekolah sahaja, bahkan dalam apa jua program, aktiviti atau upacara yang berkaitan dengan kerajaan. 
  3. Penggunaan papan tanda Jawi untuk premis perniagaan dan papan tanda arah jalan, lorong, kampung, nama tempat dan sebagainya seperti Kedah, Johor dan Negeri Pantai Timur (Negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu)
  4. Memperbanyakan iklan di televisyen dan media sosial yang menggunakan tulisan Jawi
  5. Banyakkan bahan bercetak dalam Jawi. Masyarakat Melayu perlu memberi sokongan dalam membeli buku-buku dan majalah-majalah dalam tulisan Jawi.
  6. Kerajaan Malaysia melalui JAKIM dan agensi yang berkaitan perlu memainkan peranan dalam menyelaraskan tulisan Jawi pada peringkat yang lebih luas lagi dengan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Selatan Thailand.
  7. Hari Jumaat sebagai hari penggunaan tulisan Jawi - Datuk Seri Mujahid.

 

Rujukan

Faizuri Abdul Latif, F. (2014). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi: Analisis Mengenai Teori Kang Kyoung Seok. Jurnal al-Tamaddun Bil, 9(2), 1-15.

Hamdan Abdul Rahman. (1999). Panduan Menulis dan Mengeja Jawi (1 ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Musa. (2006). Epigrafi Melayu : Sejarah Sistem Tulisan Tangan dalam Bahasa Melayu (2 ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Musa. (2009). Early Jawi Materials and the Creation of a Network of Malay Islamic Centres. The Journal of Shopia Asia Studies, No 27, 9-18.

https://www.sinarharian.com.my/article/45920/EDISI/Johor/Kerajaan-Johor-sokong-JAINJ-guna-jawi-dalam-urusan-rasmi

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/kuat-kuasa-tulisan-jawi-dalam-uusan-rasmi-kerajaan-johor-1.963841

Moain, A. J. (1996). Perancangan bahasa: sejarah aksara Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seok, K. K. (1986). Perkembangan Tulisan Jawi Didalam Masyarakat Melayu. Universiti Malaya.

Sulaiman, S. (2016). Kaedah ejaan Jawi dalam surat Melayu lama abad ke-16 hingga abad ke-18 (Doctoral dissertation, Universiti Pendidikan Sultan Idris).