Wednesday, March 18, 2009

Kos perbelanjaan di Kuis lebih murah - Dr Halimah

SHAH ALAM, 17 Mac (Hrkh) - Yuran pengajian yang ditawarkan di Kolej Universiti Islam Selangor yang merupakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diuruskan oleh kerajaan negeri Selangor lebih murah jika dibandingkan dengan IPT lain dalam negara.

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali yang menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar yang ingin mengetahui perbandingan kos perbelanjaan di Kuis dengan IPT tempatan dalam bidang yang sama.

Menurut beliau, caj yuran yang dikenakan sangat berpatutan dan kompetitif jika dibandingkan dengan IPT awam dan swasta lain.

"Perbandingan yuran pengajian di Kuis dengan IPT awam dan swasta dengan nama kursus diploma teknologi maklumat dan multimedia, yuran di Kuis RM12,520, di Universiti Teknologi Mara pula sebanyak RM32,886.

"Oleh itu, di Kuis adalah lebih murah walaupun di UiTM diberi subsidi oleh kerajaan pusat sebanyak 96 peratus," katanya.

Manakala menurut beliau, Diploma Sains Komputer, di Kuis yuran pengajian sebanyak RM12,325; Kolej Risda Melaka, RM18,792; Kolej Infometik, RM27,200; Kolej Islam Antarabangsa Gombak, RM14, 260.

"Semua caj ini adalah mengambil kira kemudahan dan mutu pengajian tinggi yang memenuhi piawaian tempatan dan antarabangsa agar setanding dengan IPT awam dan swasta yang lain.

"Antara kemudahan dan kebajikan pelajar yang disediakan ialah kemudahan tempat tinggal pelajar atau asrama dan pangsapuri, masjid, tempat riadah, kemudahan WiFi yang meliputi di asrama dan pangsapuri, perpustakaan pintar, kemudahan pengangkutan pelajar, kemudahan makmal siber, status pelajar secara dalam portal," katanya. - mns_

Muhammad Arif Ismail

Tue | Mar 17, 09 | 2:29:10 pm MYT