Wednesday, November 2, 2011

Langkawi, Oh Langkawi

Tempat menarik yang dikunjungi sepanjang 26 - 28 okt 2011 di Langkawi :
  1. Kereta kabel, gunung mat cincang (Tiket - RM15)
  2. Makam Mahsuri (Tiket RM5)
  3. Haji Ismail Group (HIG ) - masuk free tapi keluar kena bayar (jika ada beli barang laa..)
  4. Beras Terbakar (Free)
  5. Underwater World - tak pergi (tiket mahal sangat RM28)
  6. dll
Menginap di Kedawang Beach Inn, di Pantai Cenang dengan harga spesial RM100 semalam (harga adik beradik). Boleh contact En Mangsor, bos besar.

Apa yang menariknya ialah aku terserempak dengan jiran sebelah rumah semasa berada di Langkawi, begitu kecilnya dunia ini! Jiran aku juga ke Langkawi kerana mengikuti rombongan pekerja kilang, tempat dia bekerja.

Dunia ini sememang sempit berbanding dengan syurga Allah sediakan bagi orang yang mempunyai iman yang saiznya sebesar zarah sahaja diganjarkan syurga dengan saiz 10 kali ganda dunia. Subhanallah!!


Thursday, October 13, 2011

Eidul Adha


Eidul Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan juga Hari Raya Qurban. Ini kerana di dalam perayaan ini terdapat dua amalan yang sangat besar fadhilatnya iaitu ibadah Haji sebagai salah satu daripada rukun Islam yang lima dan juga ibadah Qurban. Tidak lengkap keislaman seseorang selagi dia tidak melengkapkan pakej Islamnya, jika dia berkemampuan untuk menunaikan ibadah Haji tetapi tidak melaksanakannya. Itulah satu kerugian yang SANGAT BESAR. Berapa ramai dikalangan kita yang mempunyai kemampuan baik daripada segi fizikal mahupun mental serta kemampuan kewangan masih tidak dapat menunaikan ibadah ini. Alasan seperti ‘belum sampai seru’ sentiasa kedengaran apabila sering diajukan soalan mengapa masih tidak pergi menunaikan ibadah Haji walaupun berkemampuan.

Wednesday, October 12, 2011

Cuti yang tidak cuti

Pada 1 Okt yang lepas aku mula cuti selama 3 tahun daripada kehidupan kebiasaan aku selama 11 tahun yang lepas. Iaitu kehidupan sebagai seorang pendidik.
Bermula 1 Oktober, aku bercuti daripada tugas rasmi tersebut dan memulakan kehidupan baru sebagai pelajar siswazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam tempoh 3 tahun ini nampaknya aku tidak cuti dengan erti kata yang sebenarnya, perjalanan 3 tahun yang sukar di hadapan ini mudah-mudahan dipermudahkan oleh Allah swt dan dapat dilalui dengan tenang.
Target aku agar perancangan aku untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang diberi (iaitu 3 tahun) menjadi kenyataan dan dimakbulkan oleh Allah swt.
Amin.

Saturday, October 1, 2011

Antara maksud dan keperluan hidup



“Bunyi apa tu?”

Begitulah pertanyaan seorang jemaah surau sebaik sahaja kami selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah pada 15 Ramadhan yang lalu di surau berhadapan rumah saya.

“Bunyi lori sampah tu”, jawab saya.

Saya menjengah ke tingkap surau tersebut untuk mendapatkan kepastian.Benar sekali tekaan saya! Lori sampah datang memungut sampah pada waktu Maghrib. Persoalan yang bermain di fikiran saya adalah bagaimana solat magrib mereka? Bagaimana puasa mereka?

Friday, September 30, 2011

Masalah cinta




Azmi bukan nama sebenar. Seorang pelajar yang mengikuti kelas aku. Datang jumpa aku untuk meminta pandangan berkenaan cinta. Masalah dengan ibu ‘buah hati’nya. Ibu buah hatinya tidak berkenan padanya kerana dia bukan daripada pelajar beraliran agama. Di universiti, dia belajar IT bukannya jurusan pengajian Islam.

Dia menceritakan masalahnya padaku. Aku dengar. Menurutnya, ibunya memang berkenan dengan perempuan tersebut. Perempuan tersebut pernah dibawa ke rumah berjumpa ibunya. Aku dengar lagi. Dalam hati kecil aku nak tanya je, macamana boleh bawa sampai ke rumah, naik bas ke, naik kereta ke, berdua ke?

Wednesday, September 7, 2011

Adab Menegur Seseorang



Pengalaman menjadi ketua di sesebuah organisasi menjadikan kita tidak terlepas daripada menghadapi kerenah kakitangan bawahan, makin ramai kakitangan, makin banyak ragam. Walaupun rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Itu hakikatnya insan yang bernama manusia.
Itulah cabaran sebagai ketua di dalam organisasi kecil seperti sebuah fakulti, selepas mengetuai sebuah keluarga. Cabarannya masih tetap sama, bagaimana ingin menegur kakitangan bawahan dengan cara berhikmah.

Perkataan ‘hikmah’ mudah disebut tapi sukar untuk dipraktikkan. Ada yang fikir hikmah itu hanya berlemah lembut.  Tidak kurang pula yang fikir hikmah itu jika buruk dibalas buruk, seperti hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh, pukul dibalas dengan pukul dan seumpamanya. Justeru, orang yang berkasar dalam percakapan perlu ditegur dengan teguran yang kasar juga?

Thursday, August 25, 2011

Bayan Masturat jemaah tabligh

Bayan Masturat
Pembayan: Jemaah 2 bulan masturat yang hendak ke New Caledonia & New Zealand pada 2 Disember 2007.
Tempat : Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur.
Tarikh :29 November 2007 @ 5.30pm.

Ringkasan.

Usaha dakwah seperti air hujan. Jika hujan di tempat yang kontang seperti padang pasir pun maka tempat itu akan subur menjadi wadi. Tetapi jika hujan tidak turun walaupun di tempat yang subur dan hijau, maka lambat laun tempat itu akan menjadi kontang dan mati.
Satu jemaah dari Pakistan telah dihantar ke Rusia dan telah bertemu dengan seorang ulama. Ulama itu menceritakan bahawa pada satu masa dulu semasa kominis, 60 ulama di tempatnya telah dibunuh dengan memasukkan mereka ke dalam mesin pemecah batu di lombong batu. Dia telah terselamat kerana sentiasa membawa botol arak sebagai helah. Selepas itu ulama tersebut telah menangis dan menangis dan berkata bahawa ulama2 tersebut telah dibunuh kerana tidak buat kerja seperti yang kamu buat sekarang.

Tentang Tabligh


Orang Tabligh,
Ntah sape la yg bagi nama, Sedangkan kita sumer kan sama,
Umat Nabi SAW semuanye,Kerja dakwah kan tanggungjawab bersama,
Nabi dah xde, kalau kita tak buat, sape pula,
x kan la keje ustaz dan ulama saja,
Yg kita nih, xkan nak goyang kaki saje2?

Wednesday, August 24, 2011

Yang Salah Itu Benar?




“Pakcik pencen masa umur berapa tahun?”, tanya saya pada seorang Pakcik. “Ketika genap umur pakcik 56 tahun.” Jawab Pakcik tersebut ikhlas.

Kenapa awal sangat Pakcik, Pakcik kan muda lagi?” tanya saya lagi untuk mengetahui lebih lanjut. Jawabnya, “Banyak masalah kalau Pakcik teruskan lagi servis”. Pakcik tersebut mula bercerita lanjut. Saya cuba pasang telinga dan cuba untuk faham kata-kata Pakcik tersebut.
Itulah di antara perbualan saya dengan seorang pakcik yang baru sahaja pencen pada usia 56 tahun. Alasannya jelas sekali mengapa beliau pilih untuk pencen awal. Padahal beliau boleh memilih option 58 tahun untuk pencen.

Saturday, August 20, 2011

Majlis Berbuka Puasa bersama DYMM Sultan Selangor




Syukur pada Allah swt kerana pada malam tadi saya dapat berbuka puasa secara berjemaah bersama DYMM Sultan Sharifudin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Baginda sudi untuk mencemar duli bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar KUIS dan penduduk di sekitar Bangi dan juga Hulu Langat.

Friday, August 19, 2011

Kasihnya Ibu..

Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah tak sanggup berpisah..


Suatu Petang Di Pekan Nilai
Petang Selasa yang lepas, tanggal 26 Julai 2011, saya ke Pekan Nilai kerana menguruskan beberapa perkara. Amalan rutin setiap hujung bulan. Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutamanya berkaitan hutang. Dikatakan bahawa Rasulullah SAW tidak sembahyang jenazah umatnya yang berhutang. Begitu pentingnya untuk kita selesaikan hutang kerana jika tidak diselesaikan di sini, kita terpaksa selesaikan di sana. Penghitungan di sana (akhirat) lagi sukar dan amat memenatkan. Daripada A hingga Z, semuanya akan dipersoalkan oleh Allah swt. Bersediakah kita? Lebih baik kita selesaikan di sini terlebih dahulu.. menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Thursday, August 18, 2011

Berbuka Puasa bersama MB


“Semua yang tidak menerima bantuan, sila duduk di bahagian belakang”. Itulah arahan daripada seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus agar tidak duduk bersama dengan penerima bantuan.
Pada 17 Ogos 2011, bersamaan 17 Ramadhan 1432 hijrah, saya dan bapa mertua saya hadir ke program berbuka puasa bersama YAB Dato’ Seri Mohammad bin Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan di Felda Serting Hilir Kompleks, Jempol Negeri Sembilan.


Thursday, August 4, 2011

Allah 'Tuan' Kita

Mengantuk sungguh!! Mengantuk yang amat sangat!!!. Dan tidak dapat dikawal lagi.. Aku perlukan rehat nampaknya..
Itulah hakikat manusia yang begitu lemah. Tidak mampu melawan mengantuk. Akibatnya, tertidur seketika walaupun berhadapan dengan komputer. Walaupun tadi tangan sedang menaip menggunakan papan kekunci komputer.

Malam tadi saya tidur jam 2.30 pagi. Ada kerja yang perlu dibereskan. Sebagai gantinya, petang ini saya mengantuk yang amat sangat. Tidak dapat dikawal lagi. Saya cuba melawan untuk tidak tidur, nampaknya saya gagal. Manusia begitu lemah berbanding Allah SWT, pencipta manusia. Allah tidak mengantuk apatah lagi tidur. Firman Allah swt yang maksudnya:

Friday, July 29, 2011

Muhasabah diri


Alhamdulillah.. Pagi tadi, 29 Julai 2011, saya berkesempatan hadir ke bengkel pemurnian kurikulum Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian).

Antara yang hadir adalah Prof Dr Mohamad Othman daripada UPM, En Wan Asrul Effendi daripada Telekom Malaysia, En Irwan Nayan, Puan Azian Masiron dan Puan Maziana selaku ketua jabatan.

Syukur, banyak input daripada Prof, selaku panel penasihat akademik dan juga En Asrul selaku panel industri daripada Telekom Malaysia. Secara jujur, saya katakan bahawa saya gembira bekerjasama dengan mereka kerana mereka mempunyai sifat yang mulia, ingin membantu kami. Kami pensyarah muda, perlu banyak belajar daripada pensyarah senior. Pengalaman kami sangat cetek berbanding dengan pengalaman dan ilmu Prof, dan juga En Asrul yang selalu menggunakan rangkaian komputer setiap hari.

Wednesday, July 27, 2011

Pencuri yang sebenar..

“Tolong! Tolong! Pencuri, dia curi beg tangan saya”.



Jerit seorang wanita sambil menunjukkan arah pencuri tersebut melarikan diri.
Begitulah jeritan seorang wanita muda ketika saya dan keluarga sedang makan malam di sebuah restoran berhampiran bus stand di sebuah negeri pantai timur pada penghujung 2008. Perempuan tersebut agak terkejut dan mungkin beliau tidak akan dapat melupakan pengalaman ngeri tersebut. Beliau baru sahaja tiba daripada Alor Star. Nampak daripada raut wajahnya, beliau agak trauma dengan peristiwa tersebut. Kami cuba mengejar pencuri tersebut tapi pencuri itu jauh lebih pantas daripada kami kerana mereka menunggang motorsikal. Mereka jauh meninggalkan kami sehingga tiada lagi nampak kelibat mereka. Macam lipas kudung mereka melarikan diri. Kesian.

Tuesday, July 26, 2011

Nak bagi pinjam atau bagi percuma?



“Sul mu ade duit 300. Kalu ade blh dok aku pinjam dulu hari sabtu ni atau hari ahad aku byr blk sebab aku nok wat bayar api esok, sebab patutnya api kene ptg doh hari ni tp tak de org kat umoh, aku tkt laki aku tahu, kalu laki aku tahu mati aku”
Itulah mesej daripada salah seorang sepupu aku yang perempuan pada 17 Julai yang lepas, jam 5.27 petang.
Apa aku nak buat? Nak balas ke tidak mesej ni atau biar macam tu je.. Ada beberapa perkara yang aku fikirkan.
Pertama, aku fikir tentunya dia terdesak nak pakai duit. Kalau tidak, tentunya dia tak minta tolong dengan aku. Ramai lagi adik beradik dia yang kaya raya, banyak harta pusaka dan tanah berekar-ekar.

Monday, July 25, 2011

Amanat untuk pensyarah sempena hari pekerja 2009



Amanat ini telah saya hantar kepada semua pensyarah fakulti pada 8 mei 2009, sempena Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia, iaitu pada 1 Mei setiap tahun.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua pendidik dan pembaca. Mungkin sebahagiannya berkaitan dan boleh diambil pengajaran. Dan sebahagiannya pula mungkin boleh dibuang.
Salam,

Semua rakan-rakan pensyarah yang dikasihi sekalian,

WAKTU KERJA, KITA KERJA
Di sini saya ingin memesan diri saya dan rakan-rakan sekalian berkaitan dengan masa bekerja di KUIS. Waktu kerja adalah daripada jam 8.00am - 5.00pm @ 9.00am - 6.00pm. Ini WAKTU KERJA yang telah tercatat dalam offer letter tuan-puan. Sebagai amanah, waktu ini perlu diisi dengan urusan kerja yang berkaitan dengan KUIS. Waktu kerja tetap waktu kerja. Kita perlu amanah. Dan amanah ini akan dipersoalkan.
Nabi s.a.w. bersabda; ”Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahkan kepadamu dan jangan kamu khianati orang yang mengkhianatimu.”
Riwayat Muslim & Abu Dawud

Friday, July 22, 2011

Ramadhan yang dirindui..




Ramadhan yang dirindui..
Kehadiranmu dinanti orang beriman
Digeruni orang yang ‘tidak siuman’
Kerana nafsu sukar dipenuhi
Ramadhan tanda sayang Ilahi
Untuk hambanya agar didekati
Supaya senang apabila mati
Dapat ke syurga di akhirat nanti
Segala puji bagi Allah dan syukur padaNya yang masih memanjangkan usia kita kerana masih diberi peluang bertemu Ramadhan pada kali ini.
Antara ciri orang yang beriman ialah begitu ghairah menanti ketibaan Ramadhan sebagaimana seorang isteri yang menunggu kepulangan kekasihnya, sang suami yang dirindui pulang daripada perantauan. Setelah berpisah dengan Ramadhan yang dikasihi selama 11 bulan yang lalu, kini tibalah masa dan saat yang dinanti-nantikan untuk bertemu kembali kekasih hati, iaitu Ramadhan. Alangkah begitu rindunya pada Ramadhan. Saat pertemuan semakin hampir dan tidak sabar lagi rasanya untuk bertemu.

Wednesday, July 20, 2011

Sarung, oh Sarung!

Mukadimah
Pada minggu lepas saya sempat mendengar satu majlis bayan (masjlis penerangan) di surau Taman Ramal Desa, Sg Ramal Dalam, Kajang berkenaan ‘usaha atas iman dan amal’. Dalam majlis tersebut ada disentuh berkenaan dengan kehidupan kita sebelum di dunia dan selepas di dunia ini.
Alam Roh dan Alam Rahim
Sebenarnya, Allah swt menciptakan roh kita lebih dahulu daripada jasad. Pada alam roh, semua roh-roh kita mengakui dan berikrar bahawa Allah lah satu-satunya rob (Tuhan) kita. Selepas itu roh-roh ini dimasukkan ke dalam sarung masing-masing dan berbeza-beza mengikut kelahiran. Roh ini dimasukkan selepas janin berusia 4 bulan. Dengan erti kata lain roh ini akan mula memasuki sarungnya apabila kandungan berusia 4 bulan. Kehidupan ini dipanggil dengan nama alam rahim, bukan lagi alam roh. Setiap janin akan mengalami proses pembesaran dengan membentuk tangan, kaki, muka, hidung, telinga dan sebagainya. Janin ini tentunya merasakan kurang selesa berada di dalam tempat yang sempit dengan dibekalkan kaki dan tangan yang langsung mereka tidak gunakan semasa alam rahim. Apa yang penting bagi mereka pada masa itu adalah tali pusat yang menjadi sumber pemakanan mereka untuk mendapat gizi yang sihat. Setiap makanan yang dimakan oleh ibu mereka akan sampai kepada mereka melalui tali pusat.

Tuesday, July 19, 2011

Bila orang kaya memberi..

Jumaat lepas, 15 Julai 2011 saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Bangi Lama, Selangor. Di sebelah kanan saya adalah Ustaz Dato’ Daud Che Ngah manakala di sebelah kiri saya pula adalah Dr Wan Hashim Wan Teh, bekas TNC UKM dan juga bekas wakil rakyat atau bekas ahli parlimen Grik, kalau tak silap.