Thursday, August 4, 2011

Allah 'Tuan' Kita

Mengantuk sungguh!! Mengantuk yang amat sangat!!!. Dan tidak dapat dikawal lagi.. Aku perlukan rehat nampaknya..
Itulah hakikat manusia yang begitu lemah. Tidak mampu melawan mengantuk. Akibatnya, tertidur seketika walaupun berhadapan dengan komputer. Walaupun tadi tangan sedang menaip menggunakan papan kekunci komputer.

Malam tadi saya tidur jam 2.30 pagi. Ada kerja yang perlu dibereskan. Sebagai gantinya, petang ini saya mengantuk yang amat sangat. Tidak dapat dikawal lagi. Saya cuba melawan untuk tidak tidur, nampaknya saya gagal. Manusia begitu lemah berbanding Allah SWT, pencipta manusia. Allah tidak mengantuk apatah lagi tidur. Firman Allah swt yang maksudnya:

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KeupayaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa pun daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar"
[al-Baqarah, ayat 255]
Siapalah aku hendak melawan ketatapan Allah swt. Aku tewas, terlelap juga akhirnyna. Manusia yang hebat sekalipun juga perlukan rehat. Tiada orang yang hebat sehingga tidak perlukan tidur dan rehat. Tidur sebenarnya adalah sebahagian daripada rehat. Sebab itu hikmahnya Allah ciptakan siang dan malam.

SIANG DAN MALAM
Secara fitrahnya, pada waktu siang manusia bekerja. Manakala pada waktu malam pula manusia rehat dan tidur. Apa akan jadi sekiranya manusia cuba mengubah fitrah tersebut? Sebagai contoh, pemandu bas ekspres atau pengawal keselamatan yang bekerja di malam hari dan tidur di siang hari. Atau pekerja kilang yang terlibat dengan shift malam. Mereka ini tentunya seperti kelawar yang tidur di waktu siang dan mencari makanan di waktu malam. Melanggar dan berlawanan dengan sunnatullah. Kerja yang mereka lakukan ini akan menyebabkan kehidupan harian mereka berasingan dengan masyarakat. Mereka hidup dalam dunia yang berasingan walaupun pada zahirnya masih di dunia ini.

Malam yang Allah swt ciptakan dengan suasana yang sejuk dan nyaman yang sesuai untuk rehat dan tidur. Berbanding dengan siang yang memancar sinaran mentari, panas dan terang benderang. Oleh yang demikian, waktu siang sesuai untuk bekerja kerana ketika bekerja kita tidak memerlukan bantuan lampu lagi. Cuba bayangkan kalau semua kita menukar waktu kerja di sebelah malam manakala waktu siang kita berehat. Cuba bayangkan berapa banyak lampu diperlukan untuk menerangi kawasan bekerja. Bagaimana pula dengan keselamatan wanita yang bekerja di waktu malam?

Untuk rehat di waktu malam, kita sememang tidak memerlukan cahaya atau lampu. Mungkin itulah sebahagian daripada hikmah Allah swt menciptakan malam untuk manusia rehat dan tidur dengan tenang.

Sebenarnya hanya segelintir sahaja daripada kita yang terpaksa bekerja malam. Sebahagiannya adalah untuk kebaikan dan keselamatan negara. Sebagaimana polis, bomba, doktor yang sentiasa berjaga-jaga jika ada kes-kes kecemasan. Begitu juga dengan pengawal keselamatan yang terpkasa berjaga malam untuk menjaga keselamatan walaupun keselamatannya sendiri belum tentu terjamin. Usaha dan susah payah mereka sepatutnya dihargai oleh semua orang, di samping mendapat upah atau gaji.

KERJA KERANA ALLAH
Semua pekerjaan yang kita lakukan perlulah diniatkan untuk mendapat redha Allah, bukannya untuk mendapat habuan dunia semata-mata. Apabila kita bekerja kerana Allah, kita akan pastikan semua urusan kerja adalah selari dengan kehendak Allah swt. Sebagai contoh, kita tidak sekali-kali bertolak ansur tentang solat. Jangan kerana kerja, kita terpaksa tinggalkan solat.

Pengalaman isteri saya bekerja kilang selepas SPM dulu amat menyedihkan. Menurutnya, beliau terpaksa korbankan solat kerana tidak dapat rehat untuk menunaikan solat. Bila isteri saya tanya kawan-kawan yang lain tentang solat, mereka kata balik rumah nanti boleh qada la.. Kesian sungguh! Begitu mudah mereka berfikir! Sedang solat itu hanya boleh diqada’ jika tertidur dan terlupa. Satu hari sahaja sempat bekerja, kemudian terus berhenti. Tahniah! Itu adalah tindakan yang bijak. Tapi itu cerita dulu, tahun 90an. Kini mungkin majikan mula sedar tentang kebajikan perkeja. Kebajikan di sini bukan sahaja bantuan kewangan tetapi masa untuk amal agama, iaitu ibadah. Jangan kita gadaikan kehidupan dan kesenangan kehidupan akhirat kita dengan kehidupan dunia sedikit ini yang sifat hanya sementara.

PENIAGA PASAR MALAM
Saya juga pernah bertanya beberapa orang peniaga pasar malam di sekitar Bandar Seri Putra tentang solat maghribnya. Alhamdulillah, sebahagian mereka bergilir-gilir untuk menunaikan kefardhuan solat maghrib walaupun dalam keadaan yang tidak selesa.

Ada cadangan daripada peniaga pasar malam agar disediakan satu surau khas atau surau kabin untuk mereka solat kerana surau yang sedia ada agak jauh daripada tapak pasar malam. Mohon pihak berkuasa tempatan memandang serius cadangan ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib lagi banyak pelanggan yang datang. Semuanya ujian daripada Allah swt. Tiada pelanggan pun ujian, ramai pelanggan pun ujian juga! Allah ingin lihat sejauhmana hambaNya bersyukur. Adakah mereka ingat pada Allah dalam keadaan sibuk dengan perniagaan mereka? Allah rakamkan dalam al-Quran tentang pemuda yang tidak dilalaikan oleh perniagaanya.

Allah telah berfirman:
“Orang-orang yang tiada dilalaikan oleh perniagaan dan penjual beliannya daripada berzikir kepada Allah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.”
[an-Nur, ayat 37]

REZEKI YANG HALAL LAGI BARAKAH
Amat menyedihkan juga apabila melihat orang yang bekerja mati-matian tetapi ‘lupa’ solat. Kerja mereka telah melalaikan mereka daripada menunaikan kewajipan yang maha penting pada Allah swt. Mereka ini berusaha keras untuk mendapatkan rezeki yang halal tetapi mereka lupa satu lagi aspek yang penting iaitu barakah.
Perkataan ‘Barakah’ tiada dalam kamus agama lain. Dalam kamus Islam, barakah bemaksud rezeki yang kita peroleh semakin mendekatkan diri kita kepada Allah. Anak-anak juga merupakan rezeki yang barakah jika kita mandidiknya dengan sebaik-baiknya. Pendapatan kita juga merupakan rezeki yang barakah jika datangnya daripada sumber yang hahal tanpa melanggar syariat Allah serta tidak dilupakan untuk membayar zakat apabila cukup haul dan hisabnya.
Pada hari ini, masalah sosial yang berlaku di kalangan anak-anak muda adalah disebabkan oleh rezeki yang tidak barakah dan mungkin juga tidak halal. Kita sibuk menyalahkan anak-anak apabila perkara ini berlaku tetapi kita lupa melihat ke dalam diri kita. Dari sumber mana kita dapat rezeki tersebut dan bagaimana cara kita peroleh dan ke mana pula kita belanjakannya. Semuanya kita perlu teliti dan hati-hati. Jangan pakai tangkap muat. Kerja apa pun tak kisah walaupun terpaksa menjual arak sebagaimana pekerja yang bekerja dikedai 24 jam. Moga Allah pelihara kita dan zuriat keturunana kita daripada pekerjaan seumpama itu.

ALLAH PEMBERI REZEKI
Sesetengah manusia yang tidak solat kerana leka bekerja atau terlibat dengan pekerjaan yang haram sebenarnya tidak tahu siapa pemberi rezeki yang sebenarnya. Siapa tuan punya dunia ini? Siapa tuan yang memiliki kerajaan langit dan bumi? Allah! Allah! Tuhan sekalian alam.
Allah bersifat dengan ar-Raziq. Allah pemberi rezeki yang sebenar-benarnya. Bukannya majikan atau bos kita. Bagaimana kita boleh mendapatkan gaji jika pekerjaan kita bertentangan dengan perintah tuannya?

Kita lupa siapa ‘tuan’ kita yang sebenarnya!

Perintah Allah mendahului segala amalan yang lain.

No comments:

Post a Comment