Wednesday, August 24, 2011

Yang Salah Itu Benar?




“Pakcik pencen masa umur berapa tahun?”, tanya saya pada seorang Pakcik. “Ketika genap umur pakcik 56 tahun.” Jawab Pakcik tersebut ikhlas.

Kenapa awal sangat Pakcik, Pakcik kan muda lagi?” tanya saya lagi untuk mengetahui lebih lanjut. Jawabnya, “Banyak masalah kalau Pakcik teruskan lagi servis”. Pakcik tersebut mula bercerita lanjut. Saya cuba pasang telinga dan cuba untuk faham kata-kata Pakcik tersebut.
Itulah di antara perbualan saya dengan seorang pakcik yang baru sahaja pencen pada usia 56 tahun. Alasannya jelas sekali mengapa beliau pilih untuk pencen awal. Padahal beliau boleh memilih option 58 tahun untuk pencen.


Menurut beliau, banyak sangat benda yang tak betul! Banyak tuntutan palsu, banyak curi tulang dan pelbagai lagi. Contohnya tuntutan kerja lebih masa, tuntutan perbatuan apabila out station dan juga tuntutan penginapan/hotel. Katanya, kalau dia tak claim, kawan-kawan yang lain akan pulaukan dia. Kalau dia tidak membuat tuntutan kerana tidak out station atau tidak tidur di hotel, kawan-kawan yang lain akan marah dia. Ini kerana telah menjadi trend untuk membuat tuntutan walaupun tidak layak atau tidak sepatutnya dituntut. Menurutnya lagi, sebahagian mereka boleh ‘membeli’ resit hotel dengan mudah sekali untuk tujuan claim. Terkejut saya mendengarnya!

Pengalaman saya begitu berbeza. Saya tidak pernah buat kerja seperti ini. Saya claim mengikut apa yang telah saya buat. Kalau saya tidur di hotel, maka saya claim hotel. Pengalaman saya mengesahkan tuntutan kakitangan fakulti dulu, rasanya tiada kes tipu resit. Tak tahulah saya jika ada staf yang melakukannya! Saya bersangka baik dengan mereka. Saya pernah meminta mereka betulkan borang tuntutan atau isi semula borang baru jika berlaku kesilapan yang besar dan ketara tetapi tiada kes tipu resit!

Cerita pakcik tersebut menyebabkan saya terfikir, buat yang betul pun dianggap salah? Benar, dianggap salah apabila dilihat dari kaca mata orang yang salah. Orang yang selalu buat salah akan merasa kesalahan itu sebagai satu kebiasaan. Apabila sesuatu itu menjadi kebiasaan, ia akan dirasai benar. Tindakan mereka dirasakan betul! Bagi orang lain yang tidak pernah melakukannya, mereka akan merasakan ini sebagai satu kesalahan! Makan rezeki haram.

Sebagai contoh, orang yang selalu datang lambat ke pejabat akan merasakan seperti satu keanehan apabila datang awal ke pejabat. Hari-hari Ali datang ke pejabat jam 9.00 pagi. Tiba-tiba pada suatu hari dia terpaksa datang awal kerana ada perkara yang perlu diselesaikan.  Semua pekerja lain akan memandang dengan penuh tanda tanya kenapa En Ali datang awal ke pejabat hari ini. Sedangkan waktu pejabat yang sebenarnya adalah pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Adakah En Ali salah untuk datang ke pejabat seawal jam 8.00pagi? Jawapannya sama sekali TIDAK SALAH. Yang salahnya ialah apabila beliau datang lambat.

Seorang lelaki yang akhil baligh, sepatutnya solat fardhu lima waktu di masjid atau di tempat azan dilaungkan. Tetapi En Abu selalu solat di rumah. Tiba—tiba, suatu hari dia pergi ke masjid untuk solat berjemaah. Tentunya jemaah masjid yang lain akan menjeling beliau. Tidakkah begitu? Inilah apabila amalan yang BETUL tidak dilaksanakan dengan cara yang betul.

Satu kesalahan akan menjadi satu kebiasaan apabila selalu dilakukan. Apabila ramai orang melakukannya ia menjadi satu budaya dan budaya ini dianggap sebagai betul dan diterima ramai pula. Bersalam-salaman antara bukan mahram misalnya. Dari pemimpin besar negara hinggalahlah ke rakyat jelata melakukannya, ia dianggap sebagai sesuatu yang betul. Saya lihat amalan bersalam-salaman (berjabat tangan) ini lebih ketara lagi apabila ziarah menziarahi di hari raya. Dulu saya ada seorang sepupu perempuan. Sepupu perempuan saya bersalam dengan semua orang, termasuk lelaki yang bukan mahram ketika ziarah menziarahi. Perbuatannya tersebut menyebabakan dia dianggap seolah-olah seorang yang sopan dan baik. Pakcik dan makcik saya merasa bangga kerana anaknya menghormati orang tua. Tapi sebenarnya, menurut Islam, perbuatan itu nyata SALAH sama sekali.

Bukannya mudah untuk mengubah amalan SALAH yang telah menjadi budaya dan dianggap BETUL dalam masyarakat. Ia adalah satu cabaran besar. Perjuangannya memerlukan kita bersedia menghadapi tribulasi-tribulasi serta ranjau dan liku yang penuh berduri. Kata-kata kesat dan nista mungkin akan hinggap ke gegendang telinga lantaran masyarakat yang tidak faham apatah lagi untuk cuba memahaminya. Berdoalah kepada Allah agar kita dan mereka dikurniakan kefahaman Islam yang sebenarnya. Maaf dan sabar kerana mereka tidak faham agama dengan erti kata yang sebenarnya. Kita sendiri pun sebenarnya juga banyak kekurangan.

Saya tertarik apabila membaca buku “Akhirnya Kutemui Cinta-Mu.. Lalu Aku Pun Memeluk Islam”, terbitan Utusan Karya Sdn Bhd. Ada di kalangan masyarakat bukan Islam memandang serong terhadap Islam kerana amalan orang Islam itu sendiri yang tidak faham agamanya. Amalan orang Islam yang bercanggah dengan kehendak agama. Bagaimana kita ingin berdakwah kepada orang bukan Islam, sedangkan ramai lagi orang Islam ‘baka’ yang masih tidak faham Islam? Islam hanya pada nama. Dari segi praktikal dan amalanya sama seperti orang bukan Islam. Orang bukan Islam fikir, apabila masuk Islam, maka mereka perlu tukar nama kepada Melayu. Oleh itu, apabila masuk Islam bererti masuk Melayu. Itulah fahaman orang bukan Islam di negara ini. Mereka tidak ingin menukar identiti bangsa mereka.

Sebenarnya ajaran Islam jauh berbeza daripada tanggapan dan persepsi mereka. Mereka keliru di antara orang Melayu dan orang Islam. Sebabnya, ada sesetengah orang Melayu tidak seperti orang Islam. Mereka keliru juga adakah Islam itu Melayu, atau Melayu itu Islam? Pada pandangan saya, jawapannya mudah sahaja, Islam itu Islam! Melayu itu Melayu! Islam itu untuk semua kaum, bangsa dan puak! Islam itu bukannya untuk Melayu SAHAJA!

Yang salah itu tetap salah!

Katakanlah kebenaran walaupun ianya pahit!

No comments:

Post a Comment