Saturday, August 20, 2011

Majlis Berbuka Puasa bersama DYMM Sultan Selangor




Syukur pada Allah swt kerana pada malam tadi saya dapat berbuka puasa secara berjemaah bersama DYMM Sultan Sharifudin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Baginda sudi untuk mencemar duli bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar KUIS dan penduduk di sekitar Bangi dan juga Hulu Langat.


Majlis yang bermula pada jam 6.30 petang itu dimulakan dengan penyampaian bantuan raya kepada asnaf miskin, fisabillah (untuk pelajar), dan juga untuk mualaf (saudara baru yang memeluk Islam). Saya kurang pasti berapa orang yang menerima bantuan tersebut. Daripada pemerhatian saya, jumlahnya agak ramai termasuklah muallaf. Lebih daripada 30 orang muallaf hadir untuk menerima bantuan tersebut.

Turut hadir mengiringi Sultan Selangor ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid bin Ibrahim dan juga Exco Agama YB Dato’ Dr Hasan bin Haji Ali. Kelihatan juga YB Adun Bangi, Dr Syafie turut serta ke program tersebut. Dato’ Mufti tiba lebih awal kerana saya bertemu dengan beliau sedang membaca Al Quran di dalam masjid sebelum jam 6 petang lagi. Nampaknya beliau menggunakan masa yang terluang untuk menunggu DYMM Sultan tiba dengan membaca Al Quran. Pada fikiran saya, Dato’ Mufti ada target untuk menghabiskan bacaan Al Quran beliau ada hari itu. Mungkin satu juzuk satu hari atau lebih daripada itu.

Apa yang saya ingin highlight di sini ialah bantuan kepada asnaf muallaf. Jika sebelum ini saya menghadiri program di Negeri Sembilan, saya tidak nampak bantuan kepada muallaf (mungkin pada sesi lain), tetapi pada hari ini saya lihat ada bantuan yang disampaikan kepada asnaf tersebut.

Tujuan utama bantuan zakat kepada asnaf muallaf adalah untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Mereka merasa diri mereka dibantu apabila mereka sanggup berkorban meninggalkan agama nenek moyang mereka dan berhijrah kepada Islam. Pengorbanan mereka patut dihargai. Islam begitu teliti dalam pengagihan zakat. Inilah cantiknya Islam. Kalau orang kafir dikenakan cukai, orang Islam dikenakan zakat. Zakat pula adalah dana terbesar bagi membantu asnaf yang layak menerimanya. Jika tidak layak, mereka tidak pula digelar asnaf.

Pada pandangan saya, usaha untuk membantu asnaf ini adalah tugas yang sangat besar. Bukannya hanya dengan menyampaikan bantuan zakat sahaja bahkan lebih daripada itu. Muallaf ini perlu dibimibng agar mereka tidak kembali semula kepada agama asal mereka setelah mendapat taufik hidayat daripada Allah swt. Saya perhatikan kesedaran ini masih kurang di kalangan masyarakat kita untuk melakukan tugas-tugas murni ini. Kita serah bulat-bulat pada PERKIM dan badan-badan NGO yang lain.

Saya fikir ada baiknya jika setiap ketua masyarakat atau imam di sesuatu qaryah mengambil tanggungjwab ini. Mereka sebenarnya lebih dekat dengan muallaf ini. Mereka lebih tahu hal ehwal berkenaan muallaf ini. Tugas ini juga boleh dibantu oleh AJK masjid yang lain. Jadikan agenda untuk membimbing muallaf ini sebahagian daripada tugasan masjid. Barulah masjid berperanan lebih luas lagi tidak hanya untuk melaksanakan solat berjemaah sahaja, atau ceramah agama sekali sekala.

Jika kita tahu ganjaran dan saham yang besar untuk membimbing muallaf ini, sudah tentu kita akan berebut-rebut untuk mendapatkannya. Cuba kita bayangkan jika muallaf ini mengamalkan apa yang kita ajar kepada mereka dan juga mengajarnya pula pada anak-anak dan isteri mereka, Subhanallah! Besar ganjarannya. Kita akan dapat pahala sebagaimana melakukan amalan tersebut tanpa mengurangi pahala pelaku amalan tersebut. Inilah perniagaan yang tidak akan rugi!

Semua peniaga tidak ingin rugi. Inilah saatnya untuk kita menggunakan peluang umur dan masa kita sebagai modal untuk menjalankan perniagaan ini. Perniagaan untuk mendekatkan manusia kepada Allah. Perniagaan untuk mengenalkan makhluk kepada Penciptanya iaitu Allah swt. Pulangannya bersifat kekal dan dibayar di akhirat kelak. Perniagaan yang membawa pulangannya yang berlipat kali ganda. Tidak berebutkah kita? Firman Allah swt:


Maksudnya :
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(Fushshilat: 33)

Jelas di sini bahawa tiada perkataan yang lebih baik daripada mengajak manusia kepada Allah. Mengajak manusia agar kenal kepada Penciptanya.

Mudah-mudahan Allah swt pilih kita dan ahli keluarga kita untuk melaksanakan kerja ini. Kerja mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran. Iaitu kerja nabi-nabi yang telah diutuskan oleh Allah swt sebelum ini. Kerja yang sangat mulia di sisi Allah swt. Kerja inilah yang saya maksudkan perniagaan yang tidak akan rugi bahkan mendapat untung yang besar di sisi Allah swt. Kalau keuntungan dunia yang sementara kita berebut-rebut di antara satu sama lain, oleh itu keuntungan akhirat yang bersifat kekal sepatutnya kita lebihkan lagi. Saya menyeru agar kita semua menyahut cabaran ini, cabaran menjadi peniaga yang ulung, penyebar agama Allah di muka bumi ini. Amin.


Tanggal 19 Ramadhan 1432H bersamaan 19 Ogos 2011


No comments:

Post a Comment