Thursday, August 18, 2011

Berbuka Puasa bersama MB


“Semua yang tidak menerima bantuan, sila duduk di bahagian belakang”. Itulah arahan daripada seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Jempol, Negeri Sembilan Darul Khusus agar tidak duduk bersama dengan penerima bantuan.
Pada 17 Ogos 2011, bersamaan 17 Ramadhan 1432 hijrah, saya dan bapa mertua saya hadir ke program berbuka puasa bersama YAB Dato’ Seri Mohammad bin Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan di Felda Serting Hilir Kompleks, Jempol Negeri Sembilan.



Saya menemani bapa mertua saya untuk menerima bantuan khas sempena hari raya yang akan tiba. Bapa mertua saya pula menerima bagi pihak anaknya atau abang ipar saya yang OKU kerana lumpuh sejak berumur 20an. Usia beliau sekarang adalah 44 tahun.
Alhamdulillah, saya tiba di perkarangan masjid tersebut pada jam 5.30petang, lewat setengah jam daripada masa yang tercatat pada surat jemputan iaitu 5.00 petang. Inilah kali pertama saya menjejak kaki di Felda Serting Hilir Kompleks iaitu berdekatan dengan Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Air Hitam.
Memang saya dah duga, majlis tersebut belum bermula. Saya pimpin tangan bapa mertua saya kerana beliau ada sedikit masalah penglihatan. Saya tanya salah seorang kakitangan RELA, “Assalamualaikum!, Kat mana daftar untuk penerima bantuan?” Jawabnya, “Ambil tampat dulu, nanti daftar”. Saya dan bapa mertua saya mengambil tempat di bahagian penerima bantuan. Saya lihat masih banyak lagi tempat duduk yang kosong, sedangkan jam telah melewati 6.00 petang.
Selepas jam 6.20 petang, barulah ada beberapa orang pegawai pejabat agama datang untuk membuat pengesahan penerima bantuan. Saya terfikir, kalau 6.20 petang baru nak buat pengesahan penerima bantuan, majlis penyampaian bantuan oleh Menteri Besar akan bermula jam berapa? MB pula akan sampai pukul berapa? Semasa pengesahan tersebut, saya dan beberapa orang yang lain diminta untuk duduk berasingan kerana tempat itu dikhaskan untuk penerima bantuan sahaja. Saya akur dengan arahan tersebut dengan duduk berasingan dengan bapa mertua saya.
Pada jam 6.40 petang, Menteri Besar tiba. Seperti biasa, seorang MB akan disambut oleh orang ramai dan juga petugas-petugas dalam majlis tersebut. Selepas MB duduk, majlis pun bermula dengan bacaan doa untuk mendapatkan kerahmatan dan keberkatan majlis tersebut daripada Allah swt. Doa tersebut agak panjang.
Selepas bacaan doa, MB dijemput untuk menyampaikan bantuan kepada masjid-masjid di sekitar daerah Jempol dan juga hadiah pelajar terbaik dalam peperiksaan baru-baru ini. Semua nazir masjid yang berkenaan tampil untuk menerima bantuan tersebut. Begitu juga dengan pelajar yang menerima hadiah pelajat terbaik. Saya nampak mereka begitu ceria sekali walaupun penat berpuasa. Saya difahamkan sumbangan tersebut adalah daripada Baitul Mal dan juga Felda peringkat negeri Sembilan.
Untuk penerima bantuan kebajikan pula seperti keluarga fakir dan miskin, OKU, ibu tunggal dan sebagainya agak berbeza sedikit. Mereka tidak perlu tampil untuk menerima bantuan daripada MB sebaliknya MB yang pergi ke meja-meja mereka untuk menyampaikan bantuan tersebut. Saya rasa pendekatan ini agak menarik. Sepatutnya pemberi bantuan yang mencari penerima, bukannnya penerima yang meminta-minta. Allah lebih suka orang kaya yang pemurah dan orang miskin yang tidak meminta-minta, tidak meminta dengan makhluk Allah. Ini kerana makhluk Allah sendiri berhajat pada bantuan Allah. Oleh itu, mintalah, mohonlah bantuan atau sebarang hajat padaNya. Mintalah pada Allah! Nescaya Allah akan bantu. Khazanah Allah sangat luas, tidak seperti Khazanah Nasional!* Khazanah Nasional tiada apa-apa di sisi Allah jika hendak dibandingkan dengan Khazanah Allah. Khazanah Nasional juga adalah milik Allah swt. Sebenarnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi adalah milik Allah swt.
Satu lagi yang menarik perhatian saya dalam majlis tersebut adalah kemesraan yang ditunjukkan oleh MB yang bersifat natural, bukannya seperti dibuat-buat. Hadirin yang hadir dapat merasakan kepenatan mereka hilang kerana menunggu lama apabila melihat MB yang begitu mesra dengan mereka. Hampir semua hadirin yang hadir disapa dan disalami oleh MB. MB nampak ikhlas. MB nampaknya menggunakan kesempatan turun padang untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat akar umbi. Mungkin juga tanda pilihanraya tak lama lagi! Gaya lambai tangan MB pada orang ramai yang hadir seolah-olah lambaian seorang artis kepada peminat-peminatnya. Beliau begitu pandai berkomunikasi dengan orang ramai sehingga masuk waktu berbuka pada jam 7.22 malam. MB dan orang ramai yang hadir solat Maghrib secara berjemaah di masjid tersebut dengan diimami oleh seorang Syeikh jemputan daripada Timur Tengah.
Apa yang saya dapat belajar pada hari ini, sebagai pemimpin kita perlu dengar masalah orang bawahan secara terus dan cuba bertanya khabar pada mereka. Wujudkan kemesraan antara pemimpin dan rakyat serta kurangkan gap antara mereka. Saya jarang berjumpa pemimpin di peringkat negeri seumpama beliau.
*Khazanah Nasional adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia yang memiliki beberapa ekuiti syarikat-syarikat besar seperti TNB, Telekom, Maybank, TV3, MAS dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment