Friday, July 29, 2011

Muhasabah diri


Alhamdulillah.. Pagi tadi, 29 Julai 2011, saya berkesempatan hadir ke bengkel pemurnian kurikulum Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian).

Antara yang hadir adalah Prof Dr Mohamad Othman daripada UPM, En Wan Asrul Effendi daripada Telekom Malaysia, En Irwan Nayan, Puan Azian Masiron dan Puan Maziana selaku ketua jabatan.

Syukur, banyak input daripada Prof, selaku panel penasihat akademik dan juga En Asrul selaku panel industri daripada Telekom Malaysia. Secara jujur, saya katakan bahawa saya gembira bekerjasama dengan mereka kerana mereka mempunyai sifat yang mulia, ingin membantu kami. Kami pensyarah muda, perlu banyak belajar daripada pensyarah senior. Pengalaman kami sangat cetek berbanding dengan pengalaman dan ilmu Prof, dan juga En Asrul yang selalu menggunakan rangkaian komputer setiap hari.



Mereka rendah diri orangnya. Daripada komunikasi bersama mereka, saya dapat rasakan mereka tawadhu' orangnya, tidak sombong walaupun berjawatan tinggi dan berpengetahuan luas. Inilah sebenarnya sifat orang yang berilmu, sebagaimana padi, semakin berisi semakin tunduk. Begitulah juga dengan orang yang berilmu, semakin berilmu semakin tawaduk. "The more you are knowledgeable, the humble you are."

Review dan Muhasabah
Kurikulum perlu direview (disemak)? Manusia pula bagaimana? Setelah selesai bengkel tersebut, saya mula terfikir mengapa kita perlu review kurikulum? Sudah tentunya jawapannya untuk menambahbaik kurikulum yang sedia ada supaya menjadi lebih baik. Kalau kurikulum perlu diupdate, manusia pula macamana? Tidak perlu diupdate dan review ke?

Jawapannya, tentu sekali MESTI diupdate selalu! Bagaimana antivirus yang ada dalam komputer, jika tidak diupdate akan menyebabkan komputer tersebut akan terdedah dengan virus-virus baru. Komputer kita akan berada dalam keadaan bahaya. Begitu juga dengan manusia. Manusia perlu diupdate selalu. Perlu bertaubat selalu dan setiap hari menjadi orang 'baru'. Orang yang sentiasa muhasabah diri, sentiasa menyemak diri agar tidak terlencong dari jalan agama, jalan yang sebenar.

Manusia Buat Kesilapan
Selagi kita bergelar hamba Allah, kita tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Sepatutnya hari-hari kita 'semak' diri kita sebelum tidur. Tiru amalan saidina Umar Al khatab yang menghisab diri sebelum dihisab oleh Allah. Muhasabah selalu. Banyak silap yang kita buat. Semua manusia membuat kesilapan dan sebaik-baik manusia adalah orang yang bertaubat, meminta ampun pada Allah swt.

Allah Maha Pengampun
Allah sentiasa mengampun dosa dan kesalahan hambaNya. Dengan syarat nyawa berada dihalqum, ghargolah. Saat nyawa berada dihujung tanduk. Hujung kehidupan hamba Allah di dunia. Begitu maha pengampunnya Allah swt. Hanya kita sahaja tidak mengambil peluang untuk memohon ampun pada Allah. Siapa yang rugi? Tentunya kita! Dosa kita adalah tanggungjawab kita! Kita akan dipersoalkan oleh Allah swt kelak. Oleh yang demikian, saya meyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian agar kita menggunakan peluang yang ada ini, selagi nyawa dikandung badan dan selagi kita dapat bernafas di bumi ini.

Kesilapan dengan manusia
Selain dosa kita dengan Allah, kita juga harus ingat terdapat dosa yang kita lalkukan sesama makhluk. Hubungan dengan Allah dan manusia, kedua-duanya perlu dijaga dengan baik. Sebagai hamba Allah, Hablu minallah dan hablumminannas.


Hamba Allah
Marilah kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Jangan tunggu tahun baru sahaja untuk kita mulakan azam baru. Sepatutnya setiap hari adalah tahun baru bagi kita. Azam baru untuk menjadi hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Barulah kita tidak menjadi orang yang rugi.


No comments:

Post a Comment