Tuesday, July 26, 2011

Nak bagi pinjam atau bagi percuma?



“Sul mu ade duit 300. Kalu ade blh dok aku pinjam dulu hari sabtu ni atau hari ahad aku byr blk sebab aku nok wat bayar api esok, sebab patutnya api kene ptg doh hari ni tp tak de org kat umoh, aku tkt laki aku tahu, kalu laki aku tahu mati aku”
Itulah mesej daripada salah seorang sepupu aku yang perempuan pada 17 Julai yang lepas, jam 5.27 petang.
Apa aku nak buat? Nak balas ke tidak mesej ni atau biar macam tu je.. Ada beberapa perkara yang aku fikirkan.
Pertama, aku fikir tentunya dia terdesak nak pakai duit. Kalau tidak, tentunya dia tak minta tolong dengan aku. Ramai lagi adik beradik dia yang kaya raya, banyak harta pusaka dan tanah berekar-ekar.
Kedua, aku fikir yang dia fikir aku ni ‘bankers’, banyak duit dan tempat buat ‘loan’. Dengan kata lain, dia ingat aku ni kaya, pensyarah universiti. Mudah-mudahan apa yang disangkanya itu menjadi kenyataan. Dan Allah mudahkan aku untuk tolong orang dalam kesusahan suatu masa nanti. Amin. Seronok apabila dapat tolong orang, rasa kepuasan kerana dapat meringankan beban orang yang kita tolong.
Nak bagi pinjam atau tidak?
Teringat aku satu hadith nabi SAW tentang ikram muslimin yang mafhumnya :
"Barangsiapa yang dapat menyempurnakan keperluan saudara muslimnya maka itu adalah lebih baik baginya dari mengerjakan iktikaf sepuluh 10 tahun. Sesiapa yang melakukan iktikaf untuk sehari kerana mencari keredhaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menjauhkan dia dari api Neraka sejauh tiga 3 parit dan satu parit jaraknya adalah di antara langit dan bumi.”
Riwayat At-Tabrani.
Aku bukannya tak nak bagi pinjam, tapi aku takut duit yang aku RM300 tu tak dapat balik. Aku pernah bagi pinjam pada saudara aku RM1000, dia bayar balik RM500 sahaja manakala RM500 lagi aku halalkan. Aku tengok dia pun macam segan nak jumpa aku. Dah lama sangat aku tunggu lalu aku bagi tahu dia tak perlu bayar la RM500 lagi sebab dia banyak tolong aku.
Bagi Percuma
Aku teringat Mantan PM dalam satu ceramah politik, beliau kata ada kawan-kawan datang nak pinjam duit. Dia tak bagi sebab bila dia tak bayar, dia malu dan segan nak jumpa kita. Kita hilang kawan. Jadi, kalau ada kawan nak pinjam RM1000, jangan bagi pinjam tapi bagi percuma je RM100. RM100 tak perlu bayar. RM900 lagi dia kena pinjam dengan orang lain la. Aku rasa bagus juga cadangan PM ni. Kalau dia jumpa 10 orang yang macam ni, tentunya dia tak perlu pinjam RM1000, sebaliknya dia dapat percuma je RM1000. Cuba bayangkan kalau ada 10 orang kawan yang pemurah, dengan setiap orang menyumbang RM100, jumlah terkumpul menjadi RM1000. Itulah rahmatnya disebalik bantuan yang diberi.
Kisah benar
Terkenang jasa baik seorang bapa saudara, Mansur@Johan bin Muda (kini allahyarham). Suatu masa dahulu mak aku datang jumpa beliau hendak pinjam duit sebab aku nak masuk ke sekolah berasarama di Kuala Terengganu. Mak aku nak pinjam RM50 sahaja tapi dia bagi RM100 tanpa perlu bayar balik. Hebat..dia sayang keluarga kami. Tapi kini dia tiada lagi. Belum sempat aku tamat pengajian di universiti, beliau telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Allah lebih sayangkan dia. Biasanya orang baik akan pergi lebih dulu. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama roh-roh orang yang soleh. Amin. Marilah kita sama-sama sedekahkan Al Fatihah untuk beliau.
Allah Maha Adil
Mungkin hari ini kita tolong orang tapi suatu masa nanti orang lain pula akan menolong kita ketika kita memerlukan bantuan. PASTI! Saya tertarik dengan kisah atau analogi yang diberi oleh Ust Pahrol. Apabila kita beri laluan pada orang yang tersilap lorong, kita terpaksa mendahuluikan mereka sedangkan kita ada hak untuk menggunakan laluan tersebut terlebih dahulu. Kita sanggup bagi giliran kita pada orang lain dahulu. Peristiwa ini selalu berlaku di plaza tol apabila ada ‘orang kampung’ yang tiada kad touch and go menggunakan highway. Mereka fikir mereka ‘betul’ kerana memilih lorong yang tiada kereta (biasanya lorong touch and go dan lorong smart tag) berbanding lorong tunai yang banyak kereta berbaris untuk membayar tol.
Kita meneruskan perjalanan seterusnya, sampai di satu persimpangan lampu isyarat giliran kita pula tersilap lorong. Kita pun memberi isyarat agar diberi ruang untuk kita mencelah. Adakah orang yang kita tolong tadi akan menolong kita? Tentunya tidak! Orang yang kita tolong di plaza tol tadi entah ke mana. Allah swt akan menggerakkan hati orang lain pula untuk menolong kita.
Begitulah dengan kehidupan kita. Orang yang kita tolong hari ini belum tentu dapat menolong kita suatu masa nanti. Tetapi selagi kita masih hidup di dunia ini, kadang-kadang kita berhajat dengan pertolongan seseorang. Inilah masanya Allah swt menggerakkan hati orang lain pula untuk membantu kita ketika di dalam kesusahan.
Maha suci Allah! Allah sentiasa membantu hambaNya yang dalam kesusahan.

No comments:

Post a Comment