Friday, July 22, 2011

Ramadhan yang dirindui..




Ramadhan yang dirindui..
Kehadiranmu dinanti orang beriman
Digeruni orang yang ‘tidak siuman’
Kerana nafsu sukar dipenuhi
Ramadhan tanda sayang Ilahi
Untuk hambanya agar didekati
Supaya senang apabila mati
Dapat ke syurga di akhirat nanti
Segala puji bagi Allah dan syukur padaNya yang masih memanjangkan usia kita kerana masih diberi peluang bertemu Ramadhan pada kali ini.
Antara ciri orang yang beriman ialah begitu ghairah menanti ketibaan Ramadhan sebagaimana seorang isteri yang menunggu kepulangan kekasihnya, sang suami yang dirindui pulang daripada perantauan. Setelah berpisah dengan Ramadhan yang dikasihi selama 11 bulan yang lalu, kini tibalah masa dan saat yang dinanti-nantikan untuk bertemu kembali kekasih hati, iaitu Ramadhan. Alangkah begitu rindunya pada Ramadhan. Saat pertemuan semakin hampir dan tidak sabar lagi rasanya untuk bertemu.
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang:
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Namun sebaliknya pula bagi orang yang jiwanya kotor, gelap dan penuh maksiat. Kehadiran bulan Ramadhan adalah sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, tiada bezanya. Bahkan langsung tidak memberi sebarang kesan pada dirinya. Paling menyedihkan lagi ialah apabila kehadiran Ramadhan dirasakan begitu membebankan. Kerana kehadiran Ramadhan menjadi kehidupannya begitu sempit dan sukar. Dulu nafsunya bebas, kini terpaksa pula dikekang. Bagi mereka bulan Ramadhan adalah satu bulan yang fobia kerana banyak pantang larangnya.
Itulah perbezaan yang nyata di antara orang-orang yang benar-benar beriman dan tidak. Antara orang yang yang kaya jiwanya dengan agama dan orang yang papa jiwanya. Begitulah bezanya antara ahli ibadah dan ahli maksiat, macam langit dengan bumi bahkan lebih jauh lagi.
Ramadhan untuk orang yang beriman
Bulan Ramadhan begitu istimewa bagi orang-orang yang beriman. Kalau Jumaat adalah penghulu segala hari, Ramadhan pula adalah penghulu segala bulan. Apa istimewanya Ramadhan?
Pada bulan Ramadhan disyariatkan berpuasa pada siangnya dan disunatkan bertarawih pada malamnya. Puasa Ramadhan dan bertarawih hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja, tiada pada bulan yang lain.
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa."
Surah Al Baqarah, ayat 183
Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah ra, yang maksudnya:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Kepentingan Sahur
Menurut satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, disunnahkan untuk memulakan puasa dengan melaksanakan sahur. Sahurlah yang membezakan antara puasa orang Islam dan ahli Kitab. Menurut Amru bin Ash ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Beza antara puasa kami dengan puasa ahli Kitab ialah makan sahur”.
Rasulullah SAW juga menitik beratkan sahur walaupun sedikit kerana di dalam sahur terdapat keberkatan. Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."
Disunatkan juga untuk kita melewatkan makan sahur dan menyegerakan berbuka. Melambatkan sahur bermaksud bersahur pada waktu yang lebih mendekati Subuh. Pada hemat saya, waktu yang paling sesuai adalah sekitar 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Dan mempercepatkan berbuka maksudnya membatalkan puasa setelah masuknya waktu Maghrib. Sunat untuk dimulai berbuka dengan makan beberapa buah tamar (kurma), jika tidak ada maka cukup dengan meminum air. (Hadith riwayat Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)
Apa istimewanya Ramadhan?
Janji Keampunan dan Pembebasan dari Neraka
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Syaitan dan Jin Dirantai
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadr?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikat semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadhan).”
Hadith riwayat At-Tirmizi, dan Ibnu Majah
Beruntungnya hamba Allah yang dapat dibebaskan daripada neraka kerana keberkatan Ramadhan. Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."
Doa tidak ditolak
Orang yang berpuasa mendapat satu lagi ganjaran iaitu doanya akan dimakbulkan oleh Allah swt. Doanya tiada penghalang atau hijab di sisi Allah sebagaimana doa orang yang teraniaya.
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."
Kita digalakan berdoa kepada Allah swt terutamanya sewaktu makan sahur dan juga sebelum berbuka puasa. Diberitakan bahawa doa pada masa tersebut amat mustajab sekali. Gunakanlah peluang yang ada di sepanjang bulan Ramadhan yang akan datang ini untuk memanjatkan doa kepada Allah swt.
Berdoalah dengan doa yang mahal-mahal iaitu doa memohon keampunan, ditetapkan iman, diberi taufik dan hidayat selalu, mati dalam husnul khatimah, bahagia di dunia dan juga di akhirat. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka. Dan jangan sekali-kali kita lupa mendoakan kedua ibu bapa, ahli keluarga kita, saudara mara, guru-guru, sahabat-handai serta seluruh muslim dan muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Ganjaran Pahala yang Besar

Besar ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amalan kebaikan pada bulan Ramadhan. Amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadhan mendapat ganjaran sebagaimana amalan fardhu yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain manakala amalan fardhu yang lakukan pula digandakan sebanyak 70 kali ganda. Subhanallah! Begitu besarnya ganjaran yang ditawarkan oleh Allah swt kepada hambaNya. Tidakkah kita ingin berlumba-lumba mendapatkannya? Oleh itu seharusnyalah kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat-solat sunat, tadarus Al-Quran, berzikir (bertahlil, bertasbih, bertakbir, bertahmid), dan bersedekah.

Kepentingan Sedekah

Bersedekahlah setiap hari pada bulan Ramadhan, besar pahalanya kerana kelebihan, keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri. Bersedekah di bulan puasa, dicurahkan rahmat oleh Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga dan terjauh dari bala bencana.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud "Sedekah itu adalah sesuatu yang paling besar (diulangi oleh baginda sebanyak 3 kali)" al-Hadith.
Hadith daripada Abu Hurairah ra. katanya, "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir". Kata seorang sahabat; "Ya Rasulullah bahwa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir?' Jawab nabi : "Bahawa mereka adalah makhluk Allah. Sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat Tuhan yang Rahman".
Kata ulama'; Sedekah itu 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat.
5 di dunia :
  • menyucikan harta
  • menyucikan badannya
  • menolak bala' dan penyakit
  • menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
  • berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya
di akhirat :
  • dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari kiamat ketika sangat panas
  • ringan hisabnya
  • berat timbangan amalannya di akhirat
  • mudah melalui titian sirot
  • bertambah darjatnya di dalam syurga
Lailatul Qadr dan Iktikaf
Pada bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, bersamaan 83 tahun 4 bulan. Malam ini tiada pada bulan-bulan yang lain. Paling kurang kita perlu ada keinginan untuk bertemu dengan Lailatul Qadr sekali seumur hidup kita. Malam Qadr ini sebenarnya adalah hadiah daripada Allah swt kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mana umurnya pendek-pendek. Dengan anugerah ini, umat nabi Muhammad SAW dapat menandingi amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh umat-umat Nabi terdahulu walaupun umur mereka panjang sehingga beratus-ratus tahun. Bersediakah kita untuk memburu Lailatul Qadr? Amalan yang perlu dibanyakkan dalam bulan ini juga adalah ibadah iktikaf di masjid, sunnah Rasulullah SAW. Terutamanya malam 10 yang akhir Ramadhan. Menurut hadith Abu Hurairah ra: “Rasulullah SAW beriktikaf setiap bulan Ramadhan sepuluh hari, dan pada tahun beliau wafat, beliau beriktikaf selama dua hari lamanya”. (HR Bukhari)
Marilah kita sama-sama memeriahkan bulan Ramadhan ini dengan amal kebaikan. Kita lepaskan rindu pada Ramadhan yang berkunjung selepas 11 bulan menghilang. Ramadhan, kehadiran mu dinanti..

No comments:

Post a Comment