Tuesday, July 19, 2011

Bila orang kaya memberi..

Jumaat lepas, 15 Julai 2011 saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Bangi Lama, Selangor. Di sebelah kanan saya adalah Ustaz Dato’ Daud Che Ngah manakala di sebelah kiri saya pula adalah Dr Wan Hashim Wan Teh, bekas TNC UKM dan juga bekas wakil rakyat atau bekas ahli parlimen Grik, kalau tak silap.
Apa yang saya dapat lihat daripada mereka berdua adalah orang yang pemurah. Apabila tong derma lalu di hadapan mereka, mereka mengeluarkan dompet masing-masing untuk menyumbangkan sumbangan kepada masjid. Saya yang datang sehelai sepinggang ke masjid tanpa membawa dompet merasa begitu kerdil kerana di kiri dan di kanan saya masing-masing meyumbang derma untuk masjid tetapi tidak saya. Inilah apabila ada suasana derma, kita pun rasa nak menderma juga. Apabila orang kaya pemurah.. ramai orang mendapat rahmat, orang miskin pun dapat menumpang kesenangan.
Orang kaya yang paling baik adalah berada di pintu rumah orang miskin. Iaitu orang kaya yang mencari-cari orang susah dan miskin untuk memberi bantuan. Tiada lagi program ‘bersamamu’ di TV3. Hari ini orang kaya, wakil rakyat, NGO dan pelbagai lagi akan berada di hadapan rumah orang miskin apabila mendapat liputan media. Apabila derma mereka dihebahkan atau mendapat publisiti. Jauh daripada yang dituntut oleh Islam agar apabila tangan kanan memberi, tangan kiri pun tak tahu..
Ya Allah !! Jadikanlah hambaMu ini sebagai tergolong dalam golongan orang yang mendapat perlindungan arashMU dipadang mahsyar nanti. Salah satu golongan adalah orang dermawan yang bersedekah dengan menggunakan tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kirinya.
Pentingnya kita bersedekah secara senyap-senyap agar menjaga keikhlasan hati. Dan ini tidak bermakna orang yang bersedekah secara terang-terangan tidak ikhlas pula.

No comments:

Post a Comment