Wednesday, July 20, 2011

Sarung, oh Sarung!

Mukadimah
Pada minggu lepas saya sempat mendengar satu majlis bayan (masjlis penerangan) di surau Taman Ramal Desa, Sg Ramal Dalam, Kajang berkenaan ‘usaha atas iman dan amal’. Dalam majlis tersebut ada disentuh berkenaan dengan kehidupan kita sebelum di dunia dan selepas di dunia ini.
Alam Roh dan Alam Rahim
Sebenarnya, Allah swt menciptakan roh kita lebih dahulu daripada jasad. Pada alam roh, semua roh-roh kita mengakui dan berikrar bahawa Allah lah satu-satunya rob (Tuhan) kita. Selepas itu roh-roh ini dimasukkan ke dalam sarung masing-masing dan berbeza-beza mengikut kelahiran. Roh ini dimasukkan selepas janin berusia 4 bulan. Dengan erti kata lain roh ini akan mula memasuki sarungnya apabila kandungan berusia 4 bulan. Kehidupan ini dipanggil dengan nama alam rahim, bukan lagi alam roh. Setiap janin akan mengalami proses pembesaran dengan membentuk tangan, kaki, muka, hidung, telinga dan sebagainya. Janin ini tentunya merasakan kurang selesa berada di dalam tempat yang sempit dengan dibekalkan kaki dan tangan yang langsung mereka tidak gunakan semasa alam rahim. Apa yang penting bagi mereka pada masa itu adalah tali pusat yang menjadi sumber pemakanan mereka untuk mendapat gizi yang sihat. Setiap makanan yang dimakan oleh ibu mereka akan sampai kepada mereka melalui tali pusat.
Alam dunia
Seleaps genap 9 bulan 10 hari, sarung ini dan roh akan berpindah ke alam baru iaitu alam dunia. Dunia adalah satu alam yang baru bagi mereka. Mereka mula nampak kegunaan kaki, tangan dan pelbagai lagi yang sebelum ini kurang penting bagi mereka. Kalau dulu semasa alam rahim tali pusat adalah tampat pergantungan mereka, kini tali pusat tiada lagi. Bidan yang menyembut kelahiran mereka akan segera memotong tali pusat sebaik sahaja dipindahkan ke dunia baru.
Bayi ini akan belajar menggunakan tangan dan kaki hingga pandai. Akhirnya barulah mereka tahu kegunaan tangan dan kaki untuk membantu dan memudahkan kehidupan mereka di dunia ini. Apabila besar, mereka juga diingatkan tentang pentingnya amalan agama seperti solat, zikir, quran dan sebagainya. Kerana amalan ini akan membantu mereka untuk kehidupan mereka menuju ke alam seterusnya. Namun pada hari ini, ramai di kalangan kita yang pentingkan sarung semata-mata. Kita berusaha untuk dapatkan rumah yang cantik, kereta yang besar, sofa dan tilam yang empuk.. semuanya adalah untuk keselesaan sarung tadi. TAPI kita lupa yang satu lagi iaitu isi kepada sarung tersebut iaitu ROH.. roh juga perlu dijaga dan dibelai sebagaimana kita menjaga sarung tadi. Cara kita menjaga roh kita perlulah berlandaskan agama. Kita beramal dengan perintah Allah. Kita buat amalan yang wajib dan kita banyakkan amalan yang sunat serta kita tinggalkan perkara yang haram.
Hari ini, kita tidak nampak kepentingan solat, quran, zikir dan amalan agama yang lain. Kepentingannya akan diketahui apabila kita mula berpindah ke alam berikutnya, sebagaimana janin yang di dalam rahim ibu yang tidak nampak kepentingan tangan dan kaki pada masa itu.
Berpisah daripada sarung
Apabila sampai masanya, tidak akan dilambatkan atau dicepatkan. Itulah kematian. Kematian berlaku apabila roh berpisah daripada sarungnya(jasad). Sarung yang dulunya kita jaga masa di dunia tidak berguna lagi. Buktinya, sarung ini menjadi kaku dan tidak bergerak lagi. Sarung ini dipanggil sebagai mayat atau jenazah. Dulunya kita sibuk memberi makanan yang enak kepada sarung ini kini tidak berguna lagi. Ahli keluarga kita pun tidak akan menyimpan sarung ini di rumah. Mereka semua akan tanam sarung tersebut di tanah perkururan dan sarung tersebut akan hancur. Di alam ini, amalan agama yang dulunya macam tidak penting, kini mula nampak kepentingannya. Setiap transaksi yang berlaku di alam ini(alam barzah) tidak lagi menggunakan duit. Jika kita ada mewariskan amalan yang soleh dan ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh/solehah maka beruntunglah kita. Kita tinggal di sini (alam kubur) menunggu kiamat sahaja sedangkan pahala daripada sumber-sumber tadi mencurah-curah untuk kita dan begitulah jika sebaliknya..
Saham akhirat dan pencen kubur
Bagi yang bujang jika sebelum ini memasang niat untuk tidak berkahwin, fikir-fikirkanlah. Manakala bagi yang sudah berkahwin dan memiliki anak dan isteri, jaga dan didiklah anak dan isteri dengan sebaiknya agar dapat membantu kita di dalam kubur nanti. Anak yang soleh/solehah menjadi saham yang besar untuk ibu bapanya di alam barzah nanti. Moga bukannya mendatangkan bala pula untuk kita di alam sana. Atau dengan kata lain mendatangkan beban atau ‘liabiliti’ pada ibu bapa di alam barzah. Ingat! Apa yang kita semai di sini akan dituai di sana. Segala amalan kita di sini, akan mendapat balasannya di sana. Jika amalan baik yang kita kerjakan di sini, maka tunggulah natijah/hasil yang baik di sana. Allah swt akan menghitung dari sekecil-kecil perkara yang kita lakukan hinggalah sebesar-besar perkara. Perkara baik dibalas dengan kebaikan (pahala) manakala perkara buruk akan dibalas dengan keburukan (dosa).
Sedekah dan amalan jariah juga dapat membantu kita di alam kubur nanti. Jika ada orang datang meminta derma untuk membina madrasah atau masjid, marilah kita sama-sama bersegera dalam membantu. Jangan banyak soal. Terus bagi sumbangan kita dan yang penting keikhlasan. Terpulang pada mereka sama ada tipu atau tidak. Yang penting sumbangan kita mestilah ikhlas walaupun dengan jumlah yang kecil. Sesungguhnya Allah swt tidak melihat berapa banyak wang yang kita sumbangkan tetapi sejauhmana keikhlasan hati kita dalam memberi. Kadang-kadang saya rasa malu juga bila saya yang berkereta memberi rm5 tetapi yang bermotosikal memberi rm10. Mungkin juga kerana orang yang bermotosikal banyak duit kerana duitnya tidak digunakan untuk membayar hutang kereta dan rumah setiap bulan berbanding dengan orang yang berkereta besar dan berumah besar. Hutang pun besar.
Bersederhanalah..

No comments:

Post a Comment