Monday, July 25, 2011

Amanat untuk pensyarah sempena hari pekerja 2009



Amanat ini telah saya hantar kepada semua pensyarah fakulti pada 8 mei 2009, sempena Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia, iaitu pada 1 Mei setiap tahun.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua pendidik dan pembaca. Mungkin sebahagiannya berkaitan dan boleh diambil pengajaran. Dan sebahagiannya pula mungkin boleh dibuang.
Salam,

Semua rakan-rakan pensyarah yang dikasihi sekalian,

WAKTU KERJA, KITA KERJA
Di sini saya ingin memesan diri saya dan rakan-rakan sekalian berkaitan dengan masa bekerja di KUIS. Waktu kerja adalah daripada jam 8.00am - 5.00pm @ 9.00am - 6.00pm. Ini WAKTU KERJA yang telah tercatat dalam offer letter tuan-puan. Sebagai amanah, waktu ini perlu diisi dengan urusan kerja yang berkaitan dengan KUIS. Waktu kerja tetap waktu kerja. Kita perlu amanah. Dan amanah ini akan dipersoalkan.
Nabi s.a.w. bersabda; ”Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahkan kepadamu dan jangan kamu khianati orang yang mengkhianatimu.”
Riwayat Muslim & Abu Dawud
Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
"Tidak sempurna iman bagi sesiapa yang tiada amanah pada dirinya dan tiada agama bagi orang yang tidak dipercayai janjinya".
Riwayat Imam Ahmad, al-bazar at-tabrani

Namun begitu, KUIS memberi sedikit kelonggaran seperti untuk keluar bersarapan, itu pun janganlah sampai lebih daripada setengah jam. Kalau pergi bayar bil api dan air atau pergi ke bank, perlulah mengambil cuti halfday bila lebih daripada 2 jam. SEPATUTNYA, 1 jam pun dah perlu kita ambil cuti halfday. Tapi, KUIS tidak sezalim itu.
Apa yang ingin saya kongsi di sini adalah terdapat SEGELINTIR pensyarah yang menggunakan waktu kerja dengan keluar pergi shopping, balik rumah selepaslunch dan datang semula pada waktu petang untuk punch out. Sungguh tidak ADIL dan ZALIM!! Anda dibayar gaji, dan sepatutnya bertanggungjawab dengan gaji yang anda terima. Sesungguhnya ALLAH amat mengetahui. Walaupun Dekanatau KJ tidak mengetahui apa yang anda lakukan.

Bila membicarakan soal CUTI, kita sangat berkira untuk habiskan cuti tahunan kita, sedangkan apa yang kita lakukan semasa waktu bekerja tidak setimpal dengan gaji yang kita terima dan banyak cacat celanya di sana sini. Sebab itu, saya selalu nasihatkan agar jangan kita ghairah untuk menghabis CUTI TAHUNAN kita semata-mata kerana takut cuti tersebut 'burn' begitu sahaja. Tapi, kita lupa banyak masa kerja kita yang kita isi dengan perkara yang tidak sepatutnya. Sekurang-kurangnya, CUTI tersebut dapat menampung masa yang kita 'curi tulang' tersebut. Atau ada sebahagian pensyarah yang menggantikannya dengan mengadakan kelas di hujung minggu, malam dan sebagainya. Terpulang kepada kebijaksanaan kita menguruskan masa dan meng'qada'kannya.


ORANG LAIN BUAT..
Ada yang memberi alasan bahawa orang lain pun buat. "Ala.. ramai orang buat". Itu skrip yang biasa kita dengar, memang SELALU kita dengar. Sungguh malang apabila ada staf kita berkata begitu, apatah lagi mempunyai PEMIKIRAN seumpama itu. "Ramai orang buat, jadi tak pe lah kalau kita pun buat". Alasan itu adalah alasan orang yang simplistik. Fikir mudah sahaja. Jawapan mudah untuk melepaskan diri daripada kesalahan. Adakah di akhirat nanti kita ingin memberi jawapan seumpama itu? Adakah jawapan kita, diterima oleh Allah swt? Apabila bukannya mulut kita yang berbicara tapi anggota badan kita akan berbicara dan tunggulah balasannya. Firman Allah swt dalam surah Yassin, Ayat 65 yang bermaksud :-
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.”
BUKA TINGKAP DEPAN, ELAKAN FITNAH
Untuk memudahkan urusan, dan mengelakkan daripada fitnah, semua pensyarah yang mempunyai bilik yang bertingkap di sebelah pintu masuk diminta untuk membuka apa yang ditampal sebelum ini. Ini sebenarnya dapat mengelakkan daripada fitnah apabila pensyarah lelaki didatangi oleh pelajar perempuan secara bersendirian atau sebaliknya. Masa hendak solat, bolehlah untuk ditutup barang seketika, tiada masalah.
Lagipun, apa tujuan sebenarnya tingkap kecil bercermin itu dibina? Lebih baik kalau disimenkan sahaja. Sudah PASTI ada tujuannya. Jadi, fahamilah maksud KEWUJUDAN tingkap kecil tersebut. Hargailah KEWUJUDANNYA!!
Memo / circulation daripada pentadbiran juga meminta supaya semua pensyarah membuka tingkap kecil bercermin tersebut daripada ditampal. Pengawal keselamatan juga ada memohon kerjasama pensyarah untuk berbuat demikian atas tujuan keselamatan. Semasa ketiadaan kita, pengawal keselamatan senang untuk membuat rondaan dan menjenguk ke dalam bilik jika terdapat sesuatu yang mencurigakan.

Bagi bilik yang tiada tingkap kecil tersebut seperti bilik di bahagian bawah, sila buka pintu bilik anda semasa berurusan dengan pelajar terutama yang berlainan jantina. Tambahan pula, sebahagian pensyarah kita masih bujang. Banyak risikonya, banyak terdedah dengan fitnahnya. Jangan biarkan diri kita berpeluang untuk terdedah dengan FITNAH.

PELAJAR BARU, ROLE MODEL
Di dalam keghairahan kita menerima KEMASUKAN pelajar baru, janganlah kita lupa bahawa ianya adalah SATU AMANAH yang besar untuk kita. Kita usahalah yang terbaik untuk mendidik mereka, dan anggaplah mereka macam adik-adik dan anak-anak kita. Jangan LAYAN mereka acuh tak acuh sahaja atau sekadar 'melepaskan batuk di tangga'. Buatlah yang terbaik untuk mereka sebagaimana kita buat yang terbaik untuk anak-anak kita dan adik-adik kita.
Kita jadikan diri kita sebagai role model kepada mereka. Tunjukkilah mereka dengan akhlak kita yang baik dan permudahkan urusan muamalahdanmuasyarah kita dengan mereka. Apa yang penting, "mereka mungkin gagal mengikuti apa yang kita cakap tapi mereka tidak pernah gagal daripada meniru apa yang kita buat". (Sekadar meminjam ayat daripada Ust Hasrizal, Saifulislam.com). Kalau kita minta mereka jaga masa mereka, kita perlulah jaga masa kita terlebih dahulu. Kalau kita mahu mereka menutup aurat dengan sempurna, mulakan dengan kita terlebih dahulu. Mudah-mudahan kita menjadi contoh yang terbaik untuk mereka.
JANGAN sekali-kali kita menjadi seperti 'ketam yang mengajar anaknya berjalan betul', walaupun ada yang menafikan bahawa ketam tidak pernah sekali-kali mengajar anaknya agar berjalan betul. Adakah kita ingin mendidik anak kita@murid kita sedangkan kita sendiri tidak terdidik dengan akhlak yang baik? Kita sendiri berakhlak buruk dan tidak selari dengan kehendak Islam. Semoga Allah mengampuni dosa kita. Kita perlu sentiasa berazam untuk memperibaiki akhlak kita agar menjadi seorang muslim dengan erti kata yang sebenarnya.

HARI PEKERJA
Mudahan-mudahan kita menjadi pekerja yang TERBAIK bukan sahaja di sisi majikan tetapi juga di sisi Allah swt. Mencari keredhaan Allah swt mengatasi keredhaan manusia pada kita. Mendapatkan keredhaan daripada Allah jauh lebih penting untuk diburu daripada penghargaan dan pujian serta sanjungan manusia. Semoga Allah swt sentiasa memelihara hati saya dan tuan/puan ke arah kebaikan dan kebajikan. Amin.

ALLAHlah majikan kita SEBENARNYA pun.

SELAMAT HARI PEKERJA!!


No comments:

Post a Comment