Wednesday, July 27, 2011

Pencuri yang sebenar..

“Tolong! Tolong! Pencuri, dia curi beg tangan saya”.



Jerit seorang wanita sambil menunjukkan arah pencuri tersebut melarikan diri.
Begitulah jeritan seorang wanita muda ketika saya dan keluarga sedang makan malam di sebuah restoran berhampiran bus stand di sebuah negeri pantai timur pada penghujung 2008. Perempuan tersebut agak terkejut dan mungkin beliau tidak akan dapat melupakan pengalaman ngeri tersebut. Beliau baru sahaja tiba daripada Alor Star. Nampak daripada raut wajahnya, beliau agak trauma dengan peristiwa tersebut. Kami cuba mengejar pencuri tersebut tapi pencuri itu jauh lebih pantas daripada kami kerana mereka menunggang motorsikal. Mereka jauh meninggalkan kami sehingga tiada lagi nampak kelibat mereka. Macam lipas kudung mereka melarikan diri. Kesian.


Camera litar tertutup
Pencuri itu seolah-olah tahu tempat tersebut dipasang CCTV kerana gerak gerinya agak mencurigakan saya. Dia adalah salah seorang pelanggan yang berdiri menunggu order dengan memakai helmet. Tambah menghairankan saya ialah wajahnya yang cuba disorok dengan menggunakan musk seperti seorang doktor yang merawat pesakitnya atau ketika negara heboh dengan wabak H1N1, selsema babi suatu masa dulu. Pada masa tersebut, ramai orang memakai topeng keselamatan untuk mengelakan daripada jangkitan penyakit merbahaya tersebut. Manakala kawan pencuri tersebut sedang menunggu di atas motosikal tanpa mematikan enjin dan juga mengenakan helmet. Pada hemat saya, pencuri tersebut memang tahu kewujudan kamera litar tertutup. Boleh jadi tempat tersebut sering menjadi tumpuan penyagak, pencuri dan pemeras ugut. Sungguh berani mereka dalam mengerjakan kejahatan. Alangkah baiknya jika keberanian mereka disalurkan untuk agama. Berani yang kena pada tempatnya. Berani menegakkan yang hak dan bukannya berani dalam perkara yang batil!

Kecuaian
Sememangnya tidak dapat nafikan yang pencuri itu mengambil kesempatan di atas kecuaian dan kelalaian mangsanya. Wanita tersebut meletakkan beg tangannya di atas meja semasa menunggu makanan. Kadang-kadang kita memberi peluang untuk pencuri melakukan aktiviti terkutuk tersebut. Banyak kempen keselamatan diadakan sama ada di media cetak ataupun media elektronik. Penting untuk kita mencegahnya daripada berlaku. Sebagai contoh, barang berharga seperti laptop dan duit, jangan ditinggalkan dalam kereta, walaupun sekejap. Semuanya bakal mengundang kecelakaan jika kita pandang remeh nasihat tersebut.

Kereta kena pecah
Pada 19 Julai yang lepas, pelajar saya kehilangan laptop dan barang-barang berharga lain yang mana anggaran jumlah kerugian RM6000. Semua ini gara-gara beliau meninggalkan barang-barang tersebut di dalam kereta untuk pergi ke pasar malam. Siapa sangka, pencuri durjana dapat menghidu barang-barang berharga tersebut.
Pengalaman saya sendiri pun sama. Kereta saya dipecahkan ketika saya menghadiri kenduri kahwin seorang pelajar saya di Felda Bukit Cerakah, Selangor. Duit bapa saya RM1000 lesap. Duit tersebut dikirim oleh bapa saya untuk disimpan di dalam bank bagi tujuan mengerjakan haji. Walhal isteri saya telah menyorok ‘hand beg’nya di bawah ‘seat’ penumpang. Selepas makan kenduri dan bergambar bersama pengantin, terkejut saya dan isteri serta anak apabila melihat kereta kami dipecahkan cermin penumpang sebelah kiri. Subhanallah! Padahal kala itu, saya nampak ada RELA yang bertugas ulang alik menjaga parking ke tempat kenduri. Jarak parking ke tempat kenduri lebih kurang 100 meter sahaja. Anak saya yang berusia 5 tahun ketika itu mengatakan bahawa jahat betul pencuri tersebut..sampai hati dia pecahkan kereta papa. Saya hanya mampu menenangkan mereka, semua ini adalah ujian daripada Allah swt, tentu ada hikmahnya. Tidak berlaku sesuatu perkara melainkan dengan izin dariNya.

Sebenar-benar pencuri
Daripada duit hingga barang-barang berharga dicuri oleh perompak. Barang yang dicuri tentunya berharga. Kalau tidak berharga, tentu tiada pencurinya. Pencuri bijak menyelongkar rumah yang dimasuki semata-mata mencari barang yang berharga. Mereka pastikan yang usaha mereka untuk pecah masuk ke rumah mangsanya tidak sia-sia.
Namun begitu, kita lupa yang ada satu lagi pencuri yang boleh saya katakan sebagai ketua segala pencuri. Atau dengan erti kata lain juga, ia adalah pencuri yang sebenar-benarnya. Dia tahu mana yang PALING berharga dan yang mana tidak. Pencuri ini cukup berpengalaman luas kerana usianya yang panjang dan tidak pernah tidur. Paling penat lagi, kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar secara fizikal. Kerja pencuri ini tidak pernah rehat, 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Tiada cuti baginya. Siapakah pencuri ini? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah adalah SYAITAN.
Syaitan tidak mencuri harta kita, barang kemas atau wang kita di dalam bank. Kerana bagi syaitan, kesemua itu tiada manfaat baginya. Tiada nilai baginya. Apa yang cuba diusahakan oleh syaitan adalah untuk mencuri iman manusia. Tujuan utama syaitan adalah bagaimana untuk memastikan apabila hamba Allah ini mengadap Allah dalam keadaan imannya rosak. Ini kerana harga iman yang dibawa ketika berjumpa dengan Allah swt walaupun sebesar zarah akan diganjari dengan syurga yang saiznya sepuluh kali ganda dunia ini. Itu nilai iman yang sebesar zarah. Cuba bayangkan jika kita dapat usahakan iman yang lebih besar daripada itu. Berasa cukupkah kita dengan iman sebesar itu?

Pentingnya iman
Justeru itu, usaha untuk meningkatkan iman sangatlah penting. Lebih penting daripada usaha untuk mendapatkan makanan dan harta. Makanan dan harta adalah untuk kelangsungan hidup di dunia ini, tetapi iman adalah untuk kelangsungan hidup akhirat sana. Jika tiada iman, bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi untuk memasukinya. Tiada iman, tiada ertinya memiliki harta yang banyak. Tiada iman, sebenarnya adalah tiada segala-galanya.
Semoga Allah swt memelihara iman kita daripada dicuri oleh syaitan, Amin.

No comments:

Post a Comment