Wednesday, September 7, 2011

Adab Menegur Seseorang



Pengalaman menjadi ketua di sesebuah organisasi menjadikan kita tidak terlepas daripada menghadapi kerenah kakitangan bawahan, makin ramai kakitangan, makin banyak ragam. Walaupun rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Itu hakikatnya insan yang bernama manusia.
Itulah cabaran sebagai ketua di dalam organisasi kecil seperti sebuah fakulti, selepas mengetuai sebuah keluarga. Cabarannya masih tetap sama, bagaimana ingin menegur kakitangan bawahan dengan cara berhikmah.

Perkataan ‘hikmah’ mudah disebut tapi sukar untuk dipraktikkan. Ada yang fikir hikmah itu hanya berlemah lembut.  Tidak kurang pula yang fikir hikmah itu jika buruk dibalas buruk, seperti hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh, pukul dibalas dengan pukul dan seumpamanya. Justeru, orang yang berkasar dalam percakapan perlu ditegur dengan teguran yang kasar juga?


Samakah kita?
Adakah wajar jika kawan kita bercakap kasar dengan kita, maka kita juga bercakap kasar dengan mereka? Adakah itu dinamakan hikmah? Atau mungkin itukah dinamakan keadilan? Kalau kita pun buat sama sebagaimana mereka buat, sebenarnya kita tiada beza dengan mereka, bukan? Ramai daripada kita menuntut keadilan tetapi tidak pernah terfikir untuk memberi keadilan. Masyarakat hari ini sibuk menuntut hak mereka tapi lupa bagaimana untuk memberi hak? Orang yang memberi sebenarnya jauh lebih mulia disisi Allah swt berbanding dengan orang yang meminta-minta.

Jangan Terus Percaya
Sebagai ketua, sama ada ketua keluarga atau ketua organisasi, kita jangan cepat percaya cakap-cakap orang. Sebaliknya, kita perlu periksa terlebih dahulu. Kita perlu siasat. Kita sendiri yang lakukan siasatan bukannnya menggunakan orang lain. Jangan terus percaya apa yang kita dapat apatah lagi jika datangnya daripada satu sumber sahaja. Cuba dapatkan maklumat daripada sumber yang lain juga. Sebagai contoh, cuba kita teliti cerita di bawah.
Musa dan Ahmad bekerja di syarikat A. Musa sangat iri hati pada Ahmad. Ahmad selalu mendapat pujian, anugerah dan sebagainya daripada majikan dan juga pelanggan syarikat. Ini kerana sikap Ahmad yang mudah mesra dengan pelanggan. Ahmad juga seorang yang rajin.
Berbeza pula dengan Musa. Musa seorang yang pemalas, selalu curi tulang. Dia cuba berusaha untuk menjatuhkan Ahmad. Suatu hari, Musa mempunyai suatu idea bagaimana untuk kenakan Ahmad. Dia telah menyebarkan satu fitnah tentang Ahmad yang dikatakan mempunyai perempuan simpanan. Semua rakan sepejabat dengan Ahmad memandang serong dengan Ahmad.
Tindakan Anda
Sebagai ketua, apakah tindakan anda? Pertama, anda mungkin akan memecat Ahmad kerana dikatakan telah mencemar nama baik syarikat. Kedua, anda mungkin tidak terlalu zalim, iaitu anda memberi pilihan sama ada untuk dia mengambil cuti tanpa gaji atau anda akan menggantungkannya daripada hadir bekerja dalam tempoh masa yang tertentu. Ketiga, anda menyiasat terlebih dahulu perkara tersebut dan meminta penjelasan daripada Ahmad tentang kebenaran khabar angin tersebut.

Islam cukup adil dalam menangani isu ini. Sebagai majikan yang beragama Islam, maruah seorang Islam perlu dijaga. Ahmad sepatutnya diberi ruang untuk membela diri. Cuba bayangkan jika kita berada di tempat Ahmad. Tentunya kita juga meminta agar diberi peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Berani kerana benar! Jika Ahmad bersalah, mungkin Ahmad sendiri akan meletakkan jawatan atau ‘menghilangkan’ diri atau ‘ghaib’ daripada syarikat kerana malu dengan kawan-kawan. Tetapi jika Ahmad cuba mempertahankan dirinya yang beliau dianiaya, ada baiknya jika kita bersangka baik. Ahmad mungkin terlepas di dunia ini tetapi tidak sekali-kali di akhirat sana.

Saya tertarik bagaimana seorang wanita yang telah berzina menemui Rasulullah SAW. Wanita tersebut datang menyerah diri kepada Rasulullah untuk dihukum. Padahal jika beliau tidak mengadu pada Rasulallah tentunya dia tidak dihukum. Oleh kerana wanita tersebut seorang yang beriman dan percaya pada janji-janji Allah, beliau sanggup untuk dihukum di dunia ini agar bebas di akhirat sana. Beliau tidak ingin bebas di dunia ini tapi dibelenggu dengan hukuman yang lagi berat di akhirat sana. Bijak pilihan wanita tersebut. Bijaksana! Bukan bijak sini!

Selepas hukuman dilaksanakan, dikatakan bahawa Khalid ibnu Walid begitu benci dengan wanita tersebut lalu membaling sesuatu ke arah wanita tersebut. Rasulullah SAW menegur Khalid. Wanita itu telah diampun oleh Allah swt atas ketelanjurannya. Apa yang menarik, Rasulullah saw tidak menanyakan siapa lelaki yang telah berzina dengan perempuan tersebut. Tentunya lelaki tersebut bebas dan mungkin juga telah bertaubat pada Allah swt.

Jangan Tegur Di Hadapan Orang Ramai
Antara pantang larang dalam menegur kesilapan seseorang adalah jangan sekali-kali kita menegur seseorang di hadapan orang lain. Ini sebenarnya boleh memalukan orang yang ditegur. Jika kita berbuat demikian, sebenarnya kita telah mengaibkan dia. Kita sendiri tidak ingin diri kita dimalukan di hadapan orang lain, begitu juga dengan orang yang kita tegur. Mereka juga tidak ingin diri mereka dimalukan di hadapan orang lain.

Kesannya, mereka agak sukar untuk menerima teguran kita walaupun apa yang kita katakan itu betul. Sebaliknya mereka akan kecil hati, dan lebih teruk daripada itu mereka akan berdendam dengan kita. Saya pernah tegur pelajar saya di dalam kelas. Ada seorang pelajar yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada kawannya di hadapan saya. Saya kata kepadanya, “Kamu tiada adab dengan guru! Mengeluarkan kata kesat di hadapan guru walaupun kepada kawan kamu”. Mukanya terus berubah. Daripada senyum menjadi merah padam mukanya. Lantas dia minta maaf dengan saya. Saya pula tanpa segan silu memohon maaf kepadanya kerana menegur kesilapannya di hadapan rakan-rakan yang lain. Kita jangan malu untuk meminta maaf!

Walaupun niat kita baik untuk menegur di hadapan kawan-kawan yang lain untuk dijadikan pengajaran, namun hati dan perasaan orang yang kita tegur perlu diambil kira juga. Kita jangan fikir tentang teguran tersebut sahaja, air muka orang yang kita tegur juga perlu dijaga.

Jangan Sekali-Kali Meninggikan Suara
Tegurlah dengan lemah lembut, selagi kesalahan yang mereka lakukan tidak sampai ke tahap menyekutukan Allah atau mensyirikkan Allah. Kadang-kadang kita tidak bijak dalam menegur. Dengan kesalahan yang kecil, kadang-kadang kita punya marah seolah-seolah kesalahan yang dilakukan terlampau besar. Kerana marah nyamuk, kelambu kita bakar! Bijakkah kita? Marah kita perlu berpada-pada. Niat baik kita untuk menegur kesalahan seseorang perlu selari dengan tindakan kita yang betul. Tegur dengan penuh adab. Tegur dengan bijaksana. Bagaimana dengan air yang lembut dapat memberi kesan dan bekas kepada batu. Air dapat melekukkan batu yang keras. Sifat air yang lembut itu perlu kita contohi. Air tidak pernah putus asa untuk menitik dan mengalir daripada atas ke bawah. Akhirnya batu tewas. Batu yang keras tadi dapat dibentuk dengan air yang lembut.

Tegur Sebagaimana Kita Ingin Ditegur
Apabila kita ingin menegur seseorang, tegurlah sebagaimana kita ingin diri kita ditegur. Atau tegur sebagaimana kita inginkan anak kita ditegur. Ada sesetengah guru melayan muridnya begitu kasar sekali. Pengalaman saya menjadi murid dulu (semasa darjah satu) memang menggerunkan. Saya takut pergi ke sekolah kerana layanan guru yang macam ‘gangster’ pada masa itu. Saya menjadi phobia untuk ke sekolah. Bukan kerana rakan-rakan yang nakal tetapi kerana cikgu yang begitu garang, langsung tiada hikmah dalam menegur. Saya takut bila time kelas cikgu tersebut. Bukan semua guru begitu, hanya segelintir sahaja. Tetapi, bilangan yang kecil ini akan merosakkan profesien perguruan.

Bersangka Baik
Dalam menegur, kita perlu memasang niat yang betul. Tegurlah dengan ikhlas. Penting untuk kita bersangka baik terhadap orang yang kita tegur kerana mungkin mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan. Selepas ditegur, kita mengharapkan mereka akan berubah.

Jangan sekali-kali kita sangka buruk pada seseorang. Boleh jadi orang yang kita sangka buruk tersebut jauh lebih baik daripada kita. Kadang-kadang kita terlalu cepat menafsir luaran atau fizikal seseorang. Saya tertarik dengan cerita seorang ayah dan 2 orang anaknya menaiki LRT menuju ke Kuala Lumpur. Seorang berusia 7 tahun dan seorang lagi 5 tahun.

Sebaik sahaja menaiki LRT, si ayah terus mengambil tempat dan bersandar lalu memejamkan mata sebagai tanda untuk rehat, iaitu tidur sekejap. Sedangkan si anak pula membuat bising dan bermain-main di dalam LRT yang sedang bergerak menuju ke KL itu. Si ayah pula seolah-olah buat tidak tahu apa yang berlaku.

Ada seorang penumpang yang tidak berpuas hati melihat gelagat anak-anak tersebut lantas mengejutkan si ayah dan menegur si ayah tersebut agar mengawasi anak-anaknya dengan baik. Penumpang tadi begitu marah pada ayah kanak-kanak tersebut kerana tidak tahu menjaga anak-anaknya dengan baik.

Apa kata ayah tersebut kepada penumpang yang begitu marah kepadanya, bunyinya begini :

“Maafkan Pakcik wahai anak muda! Sebenarnya Pakcik tak sampai hati nak menegur anak-anak Pakcik pada hari ini. Pakcik nampak mereka begitu gembira sangat hari ini. Semalam, Pakcik dapat call daripada pihak hospital yang mengizinkan Pakcik membawa anak Pakcik menziarah ibu mereka yang terlantar di hospital kerana barah. Semenjak ibu mereka dimasukkan ke hospital 2 bulan yang lepas, mereka tidak dibenarkan bertemu dengan ibu mereka atas sebab-sebab kesihatan. Pakcik tinggalkan mereka di rumah jiran apabila Pakcik pergi menziarahi ibunya. Dah hampir 2 bulan Pakcik tidak pergi bekerja kerana berulang alik ke hospital. Selepas pulang daripada hospital, Pakcik menjaga anak-anak pula di rumah. Itulah rutin Pakcik selama 2 bulan.
Sebelum ini mereka begitu murung kerana tidak dapat berjumpa ibu mereka. Anak sulong Pakcik yang berusia 7 tahun tak nak ke sekolah sejak ibunya dimasukkan ke hospital. Manakala anak yang berusia 5 tahun pula asyik menangis siang dan malam. Semalam, mereka sangat gambira apabila mendapat tahu yang hari ini mereka dapat bertemu ibu mereka. Sebelum naik ke LRT tadi, Pakcik dapat satu panggilan yang membawa berita sedih iaitu ibu mereka telah pergi buat selama-lamanya. Pakcik tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan berita yang Pakcik baru terima tadi kepada mereka”.

Terkedu penumpang yang menegur Pakcik tadi.

Moralnya, tegurlah dengan hikmah! Jangan cepat kita membuat tafsiran pada pandangan zahir kita sahaja.

Beri peluang
Kadang-kadang kita sukar untuk memaafkan orang. Sebenarnya perkataan maaf mudah disebut tetapi tidak semudah itu pada hakikatnya. Sebab itu, ada unggapan forgive but not forget. Ini tidak betul, bukan kemaafan namanya. Kemaafan menjadikan kita bersih hati dan bukannya menjadikan kita berdendam pula. Kita juga perlu memberi peluang untuk mereka berubah. Jangan cepat melenting. Nabi Muhammad SAW tidak pernah jemu untuk mendakwahkan kebenaran.

Dalam kita menegur seseorang, kita memang mengharapkan perubahan yang positif daripada orang yang kita tegur. Tetapi sabagai insan, tugas kita hanya mampu menegur sahaja. Untuk memberi taufik dan hidayat adalah kerja Allah. Kita buat kerja kita, tegur dan setersunya doa agar Allah swt memberi taufik dan hidayat kepada kita dan orang yang kita tegur.

Jangan Putus Asa
Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya berputus asa dalam memberi teguran walaupun hasilnya amat mengecewakan. Di akhirat nanti Allah swt tidak akan tanya hasil daripada teguran kita tetapi yang akan ditanya sama ada kita membuat kerja tegur menegur atau tidak? Adakah kita menegur kawan-kawan yang kita yang buat silap? Adakah kita tegur orang yang buat kemungkaran? Moga kita dapat menjawabnya suatu masa nanti.


Amin.

No comments:

Post a Comment