Friday, September 30, 2011

Masalah cinta




Azmi bukan nama sebenar. Seorang pelajar yang mengikuti kelas aku. Datang jumpa aku untuk meminta pandangan berkenaan cinta. Masalah dengan ibu ‘buah hati’nya. Ibu buah hatinya tidak berkenan padanya kerana dia bukan daripada pelajar beraliran agama. Di universiti, dia belajar IT bukannya jurusan pengajian Islam.

Dia menceritakan masalahnya padaku. Aku dengar. Menurutnya, ibunya memang berkenan dengan perempuan tersebut. Perempuan tersebut pernah dibawa ke rumah berjumpa ibunya. Aku dengar lagi. Dalam hati kecil aku nak tanya je, macamana boleh bawa sampai ke rumah, naik bas ke, naik kereta ke, berdua ke?


Dia bercerita lagi. Sebagai seorang guru, aku mengangguk dan kadang-kadang berkata ya.. sebagai menandakan aku faham ceritanya dan juga agar dia menyambung ceritanya.
Itulah ragam pelajar universiti. Baru semester 1 di universiti sudah fikir pasal cinta. Daripada cerita beliau, seolah-olah masalah cinta adalah masalah yang besar sekarang ini. Macam masalah yang melanda dunia!

Selepas dia selesai menceritakan masalahnya, aku dapat buat beberapa kesimpulan:
  • 1-      Dia baru kenal dunia cinta
  • 2-     Dia takut bakal ibu mertuanya tidak berkenan dengannya
  • 3-     Dia takut untuk berdepan dengan ibu buah hatinya
  • 4-     Dia takut buah hatinya dikebas orang, kerana menurutnya buah hatinya begitu cantik
  • 5-     Buah hatinya selalu diganggu oleh lelaki lain semasa di dalam kelas

Sebaik sahaja dia selesai menceritakan masalahnya, perkara pertama yang aku tanya adalah sama ada dia nak kahwin sekarang (dalam masa terdekat) atau sebaliknya. Jawabnya, “Bukan sekarang tapi selepas habis belajar nanti”. Aku terus menasihatnya supaya jangan terlalu risau dan bimbang dengan masalah cinta yang begitu kecil ini. Cinta sesama makhluk. Sepatutnya cinta Allah dan Rasul yang patut kita buru terlebih dahulu. Apabila kita dapat cinta Allah dan Rasul, maka mudah untuk kita mendapat cinta makhlukNya. Andai gagal mencintai Allah dan Rasul, maka cinta sesama makhluk ini tidak berguna. Cinta ini akan merosakkan kita!

Jika tahun satu di universiti kita asyik fikir soal cinta, tahun dua dan tahun yang mendatang, memang ia akan mengganggu pelajaran kita. Ia juga memberi impak yang besar kepada iman kita. Aku katakan padanya bahawa 3 perkara yang sememang telah ditetapkan oleh Allah swt sejak azali lagi adalah :
  • 1-      Ajal maut
  • 2-     Rezeki
  • 3-     Jodoh

Oleh kerana semua ini telah ditetapkan oleh Allah swt, kita tidak perlu risau tentang perkara ini. Ini tidak bermakna kita tunggu sahaja kesemua ini datang kepada kita. Apa yang aku ingin highlight di sini ialah agar tidak terlalu fokus untuk mendapatkan cinta manusia sehingga kita lupa untuk mendapatkan cinta kepada yang empunya cinta tersebut, zat yang maha hebat iaitu Allah swt.

Kalau kita memang seorang yang baik akhlaknya, tinggi budi pekertinya, kita tidak perlu risau berkenaan jodoh kita! InsyaAllah, kita akan mendapatkan jodoh yang baik. Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik, kan? Oleh itu jadilah kita lelaki yang baik! Hari ini kaum lelaki yang bujang sibuk ingin mencari wanita baik seperti Saidatina Fatimah AzZahrah RA tetapi tidak pastikan dirinya menjadi seperti Saidina Ali RA terlebih dahulu. Dengan erti kata lain, kita patut cermin diri kita terlebih dahulu.

Yang ditakuti
Apa yang aku khuatir ialah pergaulan pasangan ini sepanjang mereka berada berdekatan iaitu dalam satu kampus walaupun fakulti yang berlainan. Kata P Ramle, dunia ana yang punya. Daripada mula-mula keluar bersama, aku takut mereka akan pergi lebih jauh lagi. Lebih jauh daripada itu. Aku bertegas dengan beliau menyatakan bahawa jangan sekali-kali keluar berdua-duaan kerana itu mengundang fitnah. Lebih bahaya daripada itu, ada satu makhluk asing yang akan cuba menggoda kita untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk. Hari ini kita mungkin boleh menyatakan tidak! tetapi esok belum tentu lagi.

Larangan mendekati zina
Islam cukup teliti dalam perkara ini. Islam melarang kita menghampiri zina. Firman Allah swt yang berbunyi :


Maksudnya :
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah Al-Isra’, ayat 32)
Kalau menghampirinya pun dilarang masakan boleh berlaku zina kerana perbuatan zina itu memerlukan sentuhan dan pelukan erat. Berlaku zina dan ramai anak di luar nikah kerana larangan hampir zina itu diabaikan.

Semoga Allah swt menjauhkan kita, anak, cucu serta keturunan kita daripada amalan zina yang keji dan hina. Amin.

No comments:

Post a Comment