Thursday, October 13, 2011

Eidul Adha


Eidul Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan juga Hari Raya Qurban. Ini kerana di dalam perayaan ini terdapat dua amalan yang sangat besar fadhilatnya iaitu ibadah Haji sebagai salah satu daripada rukun Islam yang lima dan juga ibadah Qurban. Tidak lengkap keislaman seseorang selagi dia tidak melengkapkan pakej Islamnya, jika dia berkemampuan untuk menunaikan ibadah Haji tetapi tidak melaksanakannya. Itulah satu kerugian yang SANGAT BESAR. Berapa ramai dikalangan kita yang mempunyai kemampuan baik daripada segi fizikal mahupun mental serta kemampuan kewangan masih tidak dapat menunaikan ibadah ini. Alasan seperti ‘belum sampai seru’ sentiasa kedengaran apabila sering diajukan soalan mengapa masih tidak pergi menunaikan ibadah Haji walaupun berkemampuan.



Kadang-kadang menjadi pelik apabila kita melihat orang kampung yang tidak berapa senang dapat pergi ke Tanah Suci Makkah tetapi orang kaya yang ‘zahiriah’ kita lihat lebih mampu tidak pula dapat pergi ke sana. Semuanya adalah dengan pilihan daripada Allah swt. Rupanya duit bukan segala-galanya. Sekiranya tiada taufik dan hidayat daripada Allah swt, duit yang banyak tidak mampu membawa kita ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji.


Menjadi harapan kita semua agar kita dipilih menjadi tetamunya pada musim Haji yang terdekat ini atau pada masa akan datang. Mulai sekarang, kita perlu menabung dengan istiqamah agar niat suci murni itu tercapai. Usaha ke arah itu perlu dibuat sekarang. Ayuh! Jangan bertangguh lagi untuk menunaikan ibadah Haji. Ini kerana pada usia yang masih muda dan bertenaga amat digalakkan untuk menunaikannya. Ibadah ini memerlukan banyak pergerakan fizikal. Jangan tunggu tua atau pencen untuk ke sana kerana belum tentu kita mampu untuk hidup esok! Takut–takut kalau kita dijemput ke sanun (alam barzakh) terlebih dahulu sebelum kita ke sana (tanah suci Makkah).

No comments:

Post a Comment