Antara Hidup dengan Mati Tulisan Jawi
Sejarah Bahasa Melayu
Tulisan Bahasa Melayu dahulunya
mempunyai pengaruh India iaitu Pallava, Kawi dan Nagari. Pallava adalah
merupakan tulisan Sanskrit (Faizuri, 2014). Kemudian, tulisan pengaruh Arab dan
Parsi telah mengambil tempat setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Tulisan
tersebut adalah tulisan Jawi yang mana digunakan secara meluas dalam kehidupan
seharian.
Jenis Tulisan di Alam Melayu
Sumber : Sulaiman, S.
(2016).
Kebanyakan golongan cerdik pandai
pada zaman dahulu menggunakan medium tulisan Jawi sepenuhnya dalam persuratan
dan penghasilan karya mereka. Boleh dikatakan pada masa itu, tulisan Jawi
digunakan secara meluas bagi skrip Bahasa Melayu dan berfungsi sebagaimana
peranan yang dimainkan oleh sistem ejaan Rumi pada hari ini. Sehinggakan orang
Inggeris pun terpaksa belajar bagi menggunakan tulisan Jawi untuk mengutus
surat kepada raja-raja dan pembesar Melayu pada masa itu. Bahasa Melayu
dipanggil sebagai lingua franca, iaitu sebagai bahasa perantaraan dalam
kalangan pedagang dan penggunaannya sangat meluas sebagaimana Bahasa Inggeris
pada hari ini.
Antara bukti awal penggunaan
tulisan Jawi di alam Melayu adalah dengan penemuan Batu Bersurat Piagam
Terengganu (BBPT) yang bertarikh 22 Februari 1303 Masihi. Bukti ini menunjukkan
bahawa tulisan Jawi telah wujud sejak tahun 1300 Masihi di Alam Melayu. Ia
dikatakan telah digunakan sepenuhnya sejak abad ke-14 Masihi atau mungkin lebih
awal lagi.
Tulisan Jawi yang kita lihat pada
hari ini sebenarnya telah mengalami proses revolusi. Perkembangan tulisan Jawi
berlaku secara berperingkat-peringkat sehingga apa yang kita lihat pada hari
ini. Ada teori yang menyatakan bahawa ianya mendapat pengaruh daripada
Arab, pengaruh Parsi dan akhirnya pengaruh masyarakat setempat. Ini dapat
dilihat daripada kajian sarjana-sarjana sebelum ini dengan beberapa teori
perkembangan tulisan Melayu seperti Amat Juhari Moain, Kang Kyoung Seok, Hamdan
Abdul Rahman, Hashim Musa dan Wan Mohd Shaghir.
Perkembangan tulisan Jawi ini berhubung
kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Arab dan Parsi. Abjad Arab
yang diperkenalkan ini diubahsuai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik.
Tulisan Jawi ditulis seperti Bahasa Arab iaitu dari kanan ke kiri, serta
ditambah dengan 6 huruf yang tiada dalam Bahasa Arab, iaitu چ (ca),
ڤ (pa), ڬ (ga), ڠ
(nga), ۏ (va) dan ڽ (nya). Penambahan huruf yang tiada
dalam Bahasa Arab adalah mengesahkan teori bahawa tulisan Jawi adalah pengaruh
daripada gabungan Arab dan Parsi. Ini kerana huruf-huruf tambahan tersebut
adalah sebahagiannya daripada Parsi.
Isu Tulisan Jawi Kini
Isu tulisan Jawi dibangkitkan
baru-baru ini adalah rentetan daripada dasar kerajaan terdahulu yang ingin
memperkenalkan Tulisan Jawi dan Khat bagi matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di seluruh sekolah
rendah termasuklah di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan
India. Perancangan tersebut akan mula dilaksanakan pada sesi persekolahan 2020
untuk Tahun 4, sesi persekolahan 2021 untuk pelajar Tahun 5 dan seterusnya pada
sesi persekolahan 2022 untuk pelajar Tahun 6.
Isu ini telah menjadi viral di
media sosial dan banyak dibincangkan secara terbuka. Ia menjadi kekhuatiran
kepada ibu bapa terutamanya yang bukan beragama Islam mungkin kerana beberapa
sebab sebagaimana yang diperkatakan oleh Mujibu Abd Muis dalam artikelnya di
ruangan akhbar Sinar Harian keluaran 8 Ogos yang lepas iaitu “Ketakutan pada
tulisan Jawi ini barangkali dapat disimpulkan atas tiga perkara; satu ia
dikatakan tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sepertimana yang
didakwa, kedua ada kerisauan yang ia akan menambah beban para pelajar dan
terakhir kegusaran bahawa ia adalah langkah Islamisasi terhadap bukan Islam.”
Dr Maszlee Malik selaku Menteri
Pendidikan telah menjawab persoalan tentang pembelajaran Jawi dan seni khat
dengan berkata, “masyarakat sewajarnya tidak harus melihat pengenalan Jawi
sebagai suatu bentuk asimilasi budaya sebaliknya sebagai usaha untuk mengenali
warisan dan identiti negara. Seterusnya, kerajaan juga tidak mengarahkan
pembelajaran tulisan Jawi secara menyeluruh, malah ia turut tidak dimasukkan
dalam mana-mana peperiksaan”.
Jawapan Menteri Pendidikan itu
sepatutnya telah memberi gambaran yang jelas kepada golongan penentang tulisan
Jawi. Bagi golongan bukan Islam yang tidak faham peranan tulisan Jawi yang
lebih bersifat sebagai skrip Bahasa Melayu sahaja seperti juga tulisan Rumi,
mereka membuat andaian bahawa perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
adalah satu proses Islamisasi ke atas pelajar-pelajar sekolah vernakular yang
dijalankan secara terancang.
Saya tertarik apabila ramai sarjana
Barat seperti Annabel Teh Gallop daripada Perpustakaan British dan Ian
Proudfoot daripada Universiti Kebangsaan Australia yang mana mereka bukan daripada
orang Melayu yang beragama Islam, namun mahir untuk membaca tulisan Jawi.
Bahkan mereka juga adalah pengkaji dengan penuh minat manuskrip-manuskrip
Melayu lama bertulisan Jawi.
Daripada Korea, Dr. Kang Kyoung
Seok juga adalah seorang pengkaji tulisan Jawi bahkan tajuk tesis Doktor
Falsafah beliau adalah berkaitan teori perkembangan tulisan Jawi. Kini, beliau
ada melahirkan kebimbangan berkenaan nasib tulisan Jawi pada masa kini
terutamanya apabila golongan generasi muda yang ramai buta huruf untuk membaca
Jawi.
Yamamoto Hiroyuki daripada
Universiti Kyoto Jepun juga bukannya seorang Islam yang berbangsa Melayu. Namun
beliau adalah salah seorang pengkaji manuskrip Melayu Jawi iaitu Majalah Qalam
(1950-1969) dengan kerjasama daripada Klasika Media daripada Malaysia. Beliau
boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Jawi dengan begitu
baik.
Lim Kit Siang juga menyatakan
bahawa orang Cina tidak akan menjadi bangsa yang khianat kepada bahasa dan
budaya mereka apabila belajar tulisan Jawi. Liew Chin Tong (Timbalan Menteri
Pertahanan) pula mengakui pernah belajar kursus Bahasa Melayu Klasik dan
tulisan Jawi semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Australia. Beliau sendiri
mengakui bertuah kerana dapat menambah pengalamannya melalui kursus tersebut. Menurut
beliau, tulisan Jawi bukanlah satu bahasa, tetapi sekadar sejenis tulisan.
Walaupun tulisan Jawi dikatakan
berasal daripada tulisan Arab dan juga seperti fon al-Quran, namun tulisan ini
tidak boleh mengislamkan pembacanya jika artikel atau manuskrip yang mereka
baca tidak langsung berkaitan dengan agama Islam.
Jika belajar Jawi boleh menyebabkan
masuk Islam, tentunya nama-nama besar seperti Dr. Lee Kim Sai (mantan Menteri
Kesihatan), Lee Kuan Yew (mantan Perdana Menteri Singapura) telah lama memeluk
Islam kerana mereka telah awal belajar Jawi daripada kita. Jelaslah di sini
bahawa Jawi itu hanya sekadar tulisan atau skrip bagi Bahasa Melayu yang
berperanan sama seperti tulisan Rumi.
Namun isu ini dijadikan modal
politik kepartian. Masing-masing parti politik mengambil peluang untuk
menunjukkan yang mereka menjadi hero dalam memperjuangkan isu ini baik daripada
parti kerajaan mahupun parti pembangkang.
Bukan sahaja parti politik, bahkan
juga NGO Cina seperti Dong Zong dan NGO India
juga turut terlibat dalam menyatakan bangkangan mereka dalam pelaksanaan dasar
kerajaan tersebut. NGO ini sebenarnya masih tidak faham letak duduknya tulisan
Jawi dalam Bahasa Melayu. Ini diibaratkan mereka boleh menerima Bahasa Melayu
sebagai bahsa Kebangsaan namun tidak boleh menerima tulisan Jawi sebagai salah
satu dariapada sistem penulisannya. Ini seperti orang yang berkahwin boleh
menerima pasangan masing-masing tetapi tidak boleh menerima keluarga mentua
mereka. Adakah ini analogi yang tapat?
Mengapa Jawi semakin layu?
Menurut Abd. Rahim Abd. Rashid (2004),
“Jika tulisan Jawi pupus, maka lenyaplah satu warisan yang pernah mewarnai dan
menggemilangkan tamadun bangsa Melayu. Semakin maju dunia hari ini,
semakin tulisan itu dilupakan oleh orang Melayu.”
Kerisauan kita berkaitan nasib tulisan Jawi
pada masa dulu nampaknya memang ada betulnya pada masa kini. Tulisan Jawi sering
dimomokkan tidak begitu mantap dan tidak konsisten kerana terdapat banyak jenis
sistem ejaan Jawi daripada satu zaman ke satu zaman dan kadang-kadang lebih
daripada satu sistem pada zaman yang sama. Jika dilihat kepada sistem ejaan
Jawi yang terkini adalah Sistem Ejaan Jawi yang Disempurnakan. Sistem ejaan ini
telah mantap dan diperkemaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sistem ejaan Jawi
dalam penulisan Bahasa Melayu
Sumber : Sulaiman, S. (2016)
Menurut Amat Juhari (1996), usaha
Wilkinson untuk mengelirukan orang Melayu dalam penggunaan tulisan Jawi
nampaknya telah berjaya dengan menjadikan orang Melayu kurang berminat dengan
sistem tulisan ini kerana terlalu banyak homograf dan kekeliruan. Kata homograf
merujuk pada kata yang sama ejaan tetapi berlainan sebutan. Dalam Jawi moden,
perkataan ini telah dapat dikurangkan yang dipanggil sebagai homograf hakiki.
Contohnya perkataan بيليق (bilik dan belek) , ڬولوڠ (gulung dan golong), كليه (kuliah dan kelih).
Lantaran itu, orang
Melayu merasa lebih selesa dengan sistem ejaan Rumi yang kononnya
dikatakan lebih mantap. Sebenarnya, tulisan Rumi juga mengalami proses revolusi
dan kematangan sehingga kita dapat melihat ejaannya sebagaimana hari ini.
Terdapat juga homograf dalam Rumi seperti perkataan bela, sepak, rendang,
semak, perang, sela, tekad, selak, reda dan lain-lain lagi yang mempunyai
sebutan dan maksud yang berbeza.
Hakikatnya, orang Melayu lemah
dalam mempertahankan tulisan Jawi. Menurut Mahmood Zuhdi, masyarakat
Melayu perlu melakukan perubahan. Bukan cakap-cakap sahaja tetapi banyakkan
bertindak. Jika kita lambat bertindak, tidak mustahil suatu masa nanti tulisan
Jawi akan berkubur.
Antara cadangan beliau adalah
wujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan Jawi kekal hidup dan
relevan dengan perkembangan zaman. Menurut beliau, sesuatu ilmu itu tidak boleh
hidup tanpa persekitaran yang kondusif.
Orang Melayu sendiri perlu ada
kesedaran tentang pentingnya Jawi dalam kehidupan seharian. Bukan hanya pada
logo halal JAKIM atau slogan-slogan tertentu sahaja. Kita perlu perbanyakkan
kain rentang, sepanduk, bunting, papan tanda, iklan, yang menggunakan tulisan
Jawi. Dicadangkan juga lebuhraya-lebuhraya di seluruh Malaysia menggunakan
tulisan Jawi pada papan tanda mereka.
Jika kita tidak mahu berubah,
lihatlah dalam dunia moden hari ini tulisan Jawi seolah-olah dianak tirikan. Di
zaman revolusi industri 4.0, Jawi dilihat lemah dan tidak mampu bergerak
seiring dengan arus kemajuan. Ianya nampak tiada nilai ekonomi pada hari ini.
Penggunaannnya begitu terhad, hanya dalam program-program yang berkaitan agama
Islam dan diajar di sekolah-sekolah sahaja.
Usaha kerajaan Johor harus dipuji
dalam memperluaskan penggunaan tulisan Jawi di bawah Jabatan Agama Islam Johor
(JAIJ) bermula 1 Januari 2020 termasuklah anak-anak syarikat JAIJ juga di
peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks
ucapan jabatan tersebut. Siapakah yang ingin memperjuangkan nasib tulisan Jawi,
jika tidak kita?
Sikap orang Melayu yang sangat berlembut
menyebabkan terdapat sesetengah masyarakat dan NGO begitu berani dan tidak
gentar mempersoalkan tentang perkara asas yang mana status tulisan Jawi sebagai
salah satu daripada skrip tulisan Bahasa Melayu yang telah lama diguna pakai
dalam masyarakat Melayu daripada sebelum merdeka lagi. Kita perlu bertegas
dalam memperjuangkan hal ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Tiada lagi
gunanya apabila nasi telah menjadi bubur.
Cadangan Memperluaskan Dan
Memperkasakan Penggunaan Tulisan Jawi
Berikut adalah beberapa cadangan
dan strategi menambah baik penggunaan tulisan Jawi agar ia kekal relevan dan digunakan
secara meluas.
- Perlu wujudkan persekitaran
yang mesra Jawi di mana-mana. Tulisan Jawi sepatutnya dipaparkan di
mana-mana seperti di billboard, ruangan menunggu seperti di hospital,
lapangan terbang dan sebagainya. Letakkan juga bahan-bahan bercetak seperti
majalah, buku-buku dalam tulisan Jawi.
- Perluaskan penggunaan Jawi
bukan sahaja dalam institusi agama dan sekolah-sekolah sahaja, bahkan
dalam apa jua program, aktiviti atau upacara yang berkaitan dengan
kerajaan.
- Penggunaan papan tanda Jawi
untuk premis perniagaan dan papan tanda arah jalan, lorong, kampung, nama
tempat dan sebagainya seperti Kedah, Johor dan Negeri Pantai Timur (Negeri
Kelantan, Pahang dan Terengganu)
- Memperbanyakan iklan di
televisyen dan media sosial yang menggunakan tulisan Jawi
- Banyakkan bahan bercetak dalam
Jawi. Masyarakat Melayu perlu memberi sokongan dalam membeli buku-buku dan
majalah-majalah dalam tulisan Jawi.
- Kerajaan Malaysia melalui JAKIM
dan agensi yang berkaitan perlu memainkan peranan dalam menyelaraskan
tulisan Jawi pada peringkat yang lebih luas lagi dengan kerjasama dengan
negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei Darussalam,
Singapura dan Selatan Thailand.
- Hari Jumaat sebagai hari
penggunaan tulisan Jawi - Datuk Seri Mujahid.
Rujukan
Faizuri Abdul Latif, F. (2014). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi:
Analisis Mengenai Teori Kang Kyoung Seok. Jurnal al-Tamaddun Bil, 9(2),
1-15.
Hamdan Abdul Rahman. (1999). Panduan Menulis dan Mengeja Jawi (1
ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Musa. (2006). Epigrafi Melayu : Sejarah Sistem Tulisan
Tangan dalam Bahasa Melayu (2 ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Moain, A. J.
(1996). Perancangan bahasa: sejarah aksara Jawi. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Seok, K. K.
(1986). Perkembangan Tulisan Jawi Didalam Masyarakat Melayu.
Universiti Malaya.
Sulaiman, S. (2016). Kaedah ejaan Jawi dalam
surat Melayu lama abad ke-16 hingga abad ke-18 (Doctoral dissertation,
Universiti Pendidikan Sultan Idris).