Saturday, March 2, 2013

Muhammad SAW - Insan Teristimewa

Latar belakang Rasulullah SAW
Muhammad bin Abdullah (Rasulullah SAW) dilahirkan pada hari Isnin bersamaan 12 Rabiul Awal pada tahun Gajah. Kelahirannya dikatakan telah memadamkan api sembahan penganut Majusi. Kelahirannya juga membawa berita gembira ke seluruh alam. Pakcik baginda, iaitu Abu Jahal dikatakan salah seorang yang begitu gembira di saat itu. Tetapi dialah juga menjadi orang pertama yang menentang Nabi SAW dalam kerja-kerja dakwah. Namun begitu, Nabi SAW tidak pernah berputus asa merayu dan memujuk pakciknya agar menerima Islam. Nabi tidak hanya menggunakan perkataan yang baik sahaja, bahkan turut dizahirkan dengan akhlak yang mulia dan terpuji.

Oleh kerana akhlak Nabi SAW yang sangat mulia, terdapat ramai orang yang terkesan dan tertarik dengan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Mereka ini digelar sebagai sahabat-sahabat nabi yang mana kasih dan sayang mereka kepada Nabi SAW melebihi kasih dan sayang mereka kepada keluarga mereka sendiri, bahkan juga melebihi diri mereka sendiri. Subhanallah!! Kita sebagai seorang Islam wajib kasih dan cinta kepada Nabi SAW mengatasi cinta kita kepada ibu bapa, pasangan hidup dan keluarga kita. Cinta pada Nabi kedudukannya adalah selepas cinta kita kepada Allah swt.

Akhlak Nabi SAW
Nabi SAW digelar sebagai al-amin kerana sifar amanah baginda. Baginda sangat disenangi oleh masyarakat Arab pada masa tersebut kerana sifat amanahnya. Apabila mereka ingin bermusafir, mereka akan meminta Nabi SAW menyimpan wang atau barang-barang berharga mereka. Mereka amat mempercayai Nabi SAW.

Kepintaran Nabi SAW dapat dilihat dalam satu peristiwa untuk meletakkan Hajaratul Aswad ke tempat asalnya, Nabi SAW telah terpilih dalam kalangan masyarakat Arab sebagai orang yang diberikan kemuliaan untuk berbuat demikian. Pada mulanya, setiap kabilah bergaduh dalam memilih siapa yang layak untuk meletakkan Hajaratul Aswad di tempat asalnya. Mereka bersetuju untuk memilih orang yang mula-mula sekali masuk melalui suatu pintu untuk meletakkan Hajaratul Aswad di tempat asalnya. Oleh itu, mereka masing-masing  mengharapkan orang daripada kabilah mereka akan memasuki pintu tersebut. Tiba-tiba Nabi SAW yang masuk dari pintu tersebut. Oleh itu, Nabi telah terpilih dan diberi kemuliaan untuk meletakkan Hajaratul Aswad ke tempat asalnya.

Kebijaksaan Nabi SAW jelas terbukti apabila Nabi SAW mencadangkan agar setiap kabilah diberi kemuliaan untuk meletakkan batu tersebut dengan memegang di setiap penjuru sehelai kain. Batu tersebut di letakkan di atas sehelai kain, kemudian kain tersebut diangkat oleh wakil setiap kabilah tersebut. Di sini nampak ketokohan Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin walaupun pada masa tersebut masih belum diangkat menjadi Nabi. Nabi menerima wahyu ketika berusia 40 tahun. Ketika itu, barulah Nabi dilantik secara rasmi sebagai Rasulullah oleh Allah swt.

Tinggalkan Dakwah, Tidak Sekali-kali
Nabi SAW pernah diugut untuk bunuh selepas kematian pakciknya, Abu Talib. Baginda diminta agar menghentikan kerja-kerja dakwah. Sebelum itu, masyarakat Arab Quraisy takut untuk mengusik dan mengganggu Nabi SAW. Ini kerana masyarakat Arab Quraisy begitu segan dan sangat menghormati Abu Talib, kerana Abu Talib adalah ketua Bani Hashim. Pernah ketika hayat Abu Talib, penentang dakwah Nabi SAW telah melantik seorang wakil bertemu Abu Talib untuk merayu agar menjadi  orang tengah bagi menasihatkan Nabi SAW meninggalkan kerja-kerja dakwah. Mereka sanggup menawarkan takhta (kuasa), wanita dan harta kepada Nabi SAW jika Nabi berhenti daripada menyebarkan dakwah. Apa jawab baginda (mafhumnya), "jika matahari diletakkan di sebelah tangan kanan dan bulan tangan kiri, untuk tinggalkan kerja  dakwah tidak sekali-kali." Begitulah penegasan Nabi SAW apabila diminta untuk tinggalkan kerja dakwah.

Maafkan Musuh
Nabi SAW tiada kompromi dalam kerja dakwah. Usaha dakwah Nabi SAW menyeru manusia kepada Allah dipergiatkan lagi daripada dakwah secara sembunyi kepada terang-terangan. Tentangan semakin hebat lagi apabila Nabi SAW yang mulia dan sahabat baginda menjalankan dakwah secara terang-terangan. Nabi pernah dimaki, dicaci, dibaling dengan najis dan batu, serta banyak lagi ujian dalam kerja dakwah tersebut. Namun mereka tidak patah semangat, bahkan merasakan kemanisan iman di saat mereka diuji oleh Allah swt. Pernah suatu ketika Nabi SAW dibaling dengan batu sehingga berdarah ke seluruh badan sehingga kasut baginda dipenuhi dengan darah. Peristiwa ini berlaku semasa nabi SAW berhijrah ke Taif. Bani Taqif menentang dakwah baginda. Nabi SAW telah ditawarkan oleh malaikat untuk menghancurkan Bani Taqif tetapi Nabi SAW lebih bersifat pemaaf bahkan mendoakan agar zuriat keturunan mereka menerima Islam suatu masa nanti.

Bagaimana pula nabi SAW melayan musuh? Rasulullah SAW boleh maafkan musuh yang menghunus pedang kepada Nabi dengan niat untuk membunuh baginda semasa Nabi SAW sedang berehat di bawah pokok. Musyrikin tersebut bertanya, "Wahai Muhammad, siapakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada pedang ini". Jawab Rasulullah SAW, "Allah". Lalu pedang tersebut terjatuh daripada tangan Musyrikin tersebut. Lantas Rasulullah SAW segera mengambil pedang tersebut dan menghunuskan kepada musyrikin tersebut. Musyrikin tersebut meminta agar dimaafkan serta dibebaskan. Lalu Rasulullah SAW melepaskan musyrikin tersebut.

Bagaimana pula semasa fatah Mekah. Orang kafir takut kerana mereka fikir Nabi SAW akan berdendam. Nabi berkata, pergilah kamu.., kamu bebas untuk mengikut agama kamu. Nabi dakwah dengan begitu hikmah sekali, tiada paksaan. Akhirnya, mereka sendiri telah datang kepada Islam dan mengucap dua kalimah syahadah.

Keistimewaan Nabi SAW
Di depan kaabah ada satu tempat yang digunakan sebagai tempat duduk khas Abdul Mutalib, iaitu pembesar Mekah yang juga merupakan datuk baginda. Tempat tersebut dilengkapi dengan permaidani khas. Orang lain sangat takut dan tidak dibenarkan sama sekali duduk di situ. Pernah suatu ketika, ketika Nabi SAW masih kanak-kanak, baginda duduk di tempat tersebut. Apabila ada orang hendak pindahkan Nabi SAW, Abdul Mutalib berkata, "Jangan pindahkan dia, biarkan dia. Suatu masa nanti dia akan menjadi seorang yang hebat".

Akhlak dengan Isteri
Pernah Siti Aisyah RA ditanya tentang bagaimana keadaan Nabi SAW di rumah? Jawab Aisyah RA, kami macam pasangan suami isteri yang lain. Nabi SAW menjahit baju dan kasut sendiri. Nabi orang yang paling baik terhadap isteri baginda. Nabi memanggil Aisyah dengan panggilan manja, Humaira'. Nabi tegas dalam perkara tertentu. Pernah suatu ketika Nabi SAW sedang bercakap dengan Aisyah di dalam rumah tetapi apabila azan kedengaran, air muka Nabi SAW terus berubah dan cepat-cepat pergi ke masjid.

Rendah Diri
Nabi SAW sendiri pernah melantik orang tengah apabila berlaku krisis dengan Aisyah, walaupun baginda seorang Nabi. Nabi SAW yang mulia juga pernah ditunggangi oleh Syaidina Hassan di belakang Nabi, Syaidina Hussin pula semasa kanak-kanak pernah terkencing di atas dada Nabi SAW.

Nabi SAW juga menjadi sumber ketenangan kepada isteri Baginda. Bagaimana Nabi menenangkan Siti Khadijah RA apabila mendapat anak pertama perempuan, anak kedua pun perempuan. Nabi SAW berkata bahawa ini adalah hadiah daripada Allah. Sedangkan pada masa itu, apabila mendapat anak perempuan seolah-olah sesuatu yang sial atau bernasib malang.

Sahabat Mengikut Nabi SAW
Sahabat Nabi SAW cuba sedaya upaya untuk mengikut sunnah Nabi SAW 100% dalam kehidupan meereka. Abdullah bin Masud tunduk ketika melalui di bawah sebatang pokok sebab ketika hayat Nabi SAW pernah tunduk ketika melalui di bawah pokok tersebut, walaupun selepas Rasulullah wafat pokok tersebut telah tiada. Apatah lagi dalam perkara yang lain, mereka begitu teliti dalam mempratikkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan mereka, daripada bangun tidur hingga tidur semula, daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Semuanya dalam lingkungan sunnah Nabi SAW. Begitu cinta sahabat Nabi SAW kepada baginda. Bila kita cinta kepada seseorang, kita akan taat pada orang tersebut dan cuba sedaya upaya untuk menggembirakannya. Tiada yang lebih menggembirakan Rasulullah SAW melainkan jika kita ikut sunnah baginda SAW dalam kehidupan kita. Inilah bukti kecintaan kita kepada Nabi SAW.

Menuntut Ilmu, Belajar Dengan Guru Mursyid
Untuk kita mendalami ilmu agama, sanad penting dalam memperoleh ilmu yang sahih. Ia bertujuan agar susur galurnya hingga kepada Rasulullah SAW. Kita bukan sahaja tengok apa yang dia cakap, tapi sebaliknya kita tengok siapa yang cakap. "Fenomena sekarang ini ialah kita ada 'Syeikh Google'. Orang yang menjadikan cd, kaset, buku, internet sebagai gurunya, silapnya lebih banyak daripada betulnya", menurut Syeikh Habib Ali Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment