Thursday, February 20, 2014

Agama dan Kesannya Di dalam Jiwa Manusia (Bahagian 1)

Apabila kita kupas akan punca yang menyebabkan kesusahan seorang manusia dan segala resah gelisahnya serta porak-peranda susunan hidupnya, maka kita akan dapati adalah berasal dari kerana jahilnya terhadap Tuhannya dan jahilnya terhadap dirinya sendiri atau lebih tegasnya kerana lemah imannya. Biasanya manusia sentiasa diruntun oleh hawa nafsu dan kerana desakan ini ia akan berkedudukan serba salah di antara menyahut seruan hawa nafsu dan kelemahannya pada ketika hendak menghasilkan apa yang dituntut oleh hawa nafsu itu. Dari sini timbullah perasaan resah gelisah – serba dibuatnya serba tak kena.

Tetapi sekiranya ia telah mengetahui bahawa ia ada mempunyai Tuhan yang Maha Kuasa yang telah mengaturkan alam ini, dan yang telah menyusun baginya undang-undang yang tidak boleh ditukar-ganti, kemudian ia cuba mempelajari akan undang-undang tersebut, nescaya ia akan dengan mudahnya akan mencapai kehidupan yang penuh dengan bahagia dan sejahtera.

Sungguh besar kesan agama di dalam membentuk jiwa manusia. Agama Islam telah mengangkat pemeluk-pemeluknya ke setinggi-tinggi mercu kemuliaan tatkala mereka mempelajarinya dan beramal dengannya. Pada zaman yang lampau, tatkala umat-umat Islam telah bersungguh-sungguh
menjalankan perintah agama maka dapatlah mereka memerintah dunia ini dan meleburkan beberapa kerajaan yang besar yang hendak menghalang kemaraannya. Tidaklah mereka dapat mencapai kedudukan yang tersebut jika tidaklah kerana kuat iman mereka terhadap Tuhan pencipta alam dan penuh keyakinan kepadanya.



Pada satu masa salah seorang telah datang mendapatkan Rasullullah (SAW) dengan tujuan hendak masuk Islam dan belajar Quran. Rasullullah pun menyuruh seorang sahabatnya mengajar akan dia. Setelah belajar Fatihah ia pun telah diajarkan surah “Al-Zalzāl” maka sebaik-baik sahaja ia tiba kepada ayat yang mafhumnya:
“Maka barangsiapa beramal setimbang zarah daripada amal kebajikan nescaya dapat ia melihatnya dan barangsiapa beramal setimbang zarah daripada amal kejahatan nescaya dapat ia melihatnya”. 

Sampai di sini ia pun berhenti tak mahu belajar lagi kerana katanya sudah cukup. Sahabat Rasullullah pun mengadukan hal itu kepada baginda. Setelah didengar pengaduan itu, baginda bersabda:

“Atraqūh faqad tafaquh fī`ddīn”
“Tinggalkanlah, sesungguhnya dia telah “dalam” ilmu agamanya.

Bolehkah dia dengan hanya mengetahui dua surah yang jumlah ayatnya tidak lebih daripada lima belas ayat dikatakan telah dalam ilmu agamanya? Sebenarnya ilmunya yang safliah itu telah dibilangkan tinggi iaitu dipandang daripada azamnya hendak beramal dengannya, dan hendak bercermat mengira tiap-tiap gerak langkahnya serta kerana azamnya inilah pada suatu masa ia lebih gemar mendalamkan ilmunya yang sedikit itu kepada sebanyak-banyaknya.
Demikianlah halnya orang-orang Islam pada zaman dahulu, belajar agama kerana hendak beramal bukan kerana memperniagakan ilmunya seperti hal kebanyakan kita pada hari ini. Satu bandingan daripada caranya orang-orang Islam kita pada masa lampau yang mempelajari agama dan mengamalkan ilmunya:

Seorang ulama yang terbesar bernama Shaqiq al-Balaghī telah menyiasat ilmu seorang muridnya yang bernama Hātim al-Asim dengan katanya: Berapa lama engkau telah berdamping dengan aku? Tiga puluh tiga tahun. Jawab muridnya. Sekian lamanya engkau telah menuntut, apa bendanya yang engkau dapati?

..delapan masalah”

bersambung..


Oleh Abdullah Basmeh
Majalah Qalam, Bil 1, 1950

No comments:

Post a Comment